Artikel

Persiapan Menuju ke Alam Akhirat: 30 Wasiat Imam Syafi’i (Edisi Kemaskini 2015)

oleh Noor Hidaya Arshad pada 02 Feb 2015

“Tuntutlah ilmu sebanyak mungkin kerana ilmu akan menjaga kamu dan membuat kamu cemerlang di dunia dan akhirat, di samping ia menjadi amalan para nabi, rasul, dan orang-orang soleh.” Ini antara kata-kata hikmah daripada Imam Syafi’i untuk kita hayati dan ikuti.

Sebagai seorang manusia, kita sentiasa mahukan segala yang berlaku dalam hidup kita berjalan dengan lancar dan kita selalu berusaha sebaik mungkin bagi memastikan perkara yang kita usahakan itu membuahkan hasil.

Orang yang cerdik akan mencari sesuatu yang mampu memberi motivasi kepada diri mereka untuk menjadi lebih maju.

Melalui buku Wasiat Imam Syafi’i ini, penulis menjelaskan secara terperinci 30 wasiat daripada Imam Syafi’i. Nasihat-nasihat yang menjurus kepada pemacu kecemerlangan dunia dan akhirat.

Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w pada khutbah terakhir baginda: “Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku.”

Ajaran Islam dapat memberi jawapan kepada segala persoalan yang timbul di muka bumi ini. Nasihat daripada Imam Syafi’i, seorang ulama salaf ini, mampu mengejutkan hati-hati yang sedang lena dibelai nikmat dunia seterusnya akan mempersiapkan kita untuk menghadapi alam akhirat.

Buat yang sedang mencari kekuatan diri dan redha Ilahi, buku ini perlu ada berdekatan dengan anda setiap masa. Keimanan mesti berdasarkan ilmu yang benar dan perlu disertakan dengan tindakan.


 

 

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024