Artikel

AKU SEUSAI 1957

oleh Nor Fadhilah Fauzan pada 30 Aug 2026

Malaya,

Engkau mata yang melihat darah aku tumpah di tanah ini.

Saat jemari kecilku menggenggam jari ibu yang lebih besar,

saat aku dibedung, ditepuk pinggulku agar aku beradu dalam tenang dan aman.

Tidak pernah sedetik pun tidurku terganggu dek dentuman misil, senapang

atau teriakan tetangga yang ketakutan dek rusuhan penjajah.

Sungguh, tidak pernah masa bermainku diasak kasar oleh tangan sang penjajah.

Demi Tuhan, 1957 itulah yang menghadiahkan aku masa kecil bersama teman-teman.

Kuala Lumpur,

Saksi aku bertatih langkah daripada mengenal hanya abjad dan angka,

beranjak dan mula mengenal warna pada jalur-jalur merah dan putih,

belajar melakar bintang dan bulan,

dan mengenal bahawa biru simbol perpaduan.

Semakin beranjak dewasa, aku mengenal Malaysia yang berjasa,

pejuang dan segala pengorbanan yang aku tumpang hingga sekarang.

Keamanan dan kesejahteraan bukan sekadar menemani waktu kecilku,

tetapi mengiringi aku berpijak di pentas sarjana

menjadi rakyat yang penuh bangga.

Malaysia,

Kini aku dewasa.

Jalur yang kuwarnai dulu kini kukibar dengan bangga.

Aku pasakkannya di tiang-tiang tanda kebanggaan

dan kupasakkan dalam diriku tanda kesyukuran.

Sedang yang lain bergelut meminta kebebasan,

rumah mereka direnggut tanpa maruah,

anak mereka dibunuh,

bapa mereka diseksa.

Sungguh, hadiah kemerdekaan itu amat besar maknanya

buat aku dan kami yang masih banyak keluh-kesah dan pilihan

dek diberikan kebebasan.

Biarlah ia menjadi sesuatu yang dapat dirasai oleh anak-anak yang belum lahir,

oleh generasi yang belum mengenal nama kita,

dan oleh mereka yang suatu hari nanti

akan berdiri di tempat kita berdiri hari ini.

Aku mungkin bukan generasi yang memperjuangkan kemerdekaanmu, Malaysia.

Tetapi aku adalah saksi

akan segala harga yang dibayar oleh pejuang kita

demi sebuah kebebasan.

Malaysia,

Aku akan menjadi anak yang engkau banggakan.

Mungkin aku tak mampu membalas jasa 69 tahun.

Tapi akan kupastikan bahawa 69 tahun yang seterusnya…

tidak sia-sia.

Selamat ulang tahun, Malaysia.

-pheobe, Ogos 2026

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (198801006125) © 2000 - 2026