Artikel
Meraikan Penulis Tempatan: Mengangkat Karya, Menghargai Suara Anak Bangsa
oleh Nor Fadhilah Fauzan pada 19 Aug 2026
Setiap kali tibanya bulan Ogos, semangat untuk meraikan negara bukan sahaja diterjemahkan melalui kibaran Jalur Gemilang, tetapi juga melalui penghargaan terhadap mereka yang menyumbang kepada pembinaan bangsa melalui ilmu, kreativiti dan karya.
Bagi PTS Media Group, salah satu cara untuk meraikan semangat tersebut adalah menerusi kempen tahunan Meraikan Penulis Tempatan — sebuah inisiatif yang mengangkat karya dan memperkenalkan penulis tempatan kepada lebih ramai pembaca.
Kempen yang kini menjadi tradisi setiap bulan Ogos ini bertepatan dengan bulan kemerdekaan yang sarat dengan nilai identiti, jati diri dan kecintaan terhadap tanah air. Karya tempatan bukan sekadar cerita atau bahan bacaan, tetapi turut menjadi ruang untuk kita mengenali masyarakat, budaya, pemikiran dan pengalaman yang dekat dengan kehidupan sendiri.
Setiap tahun, PTS memperkenalkan barisan penulis tempatan yang berbeza agar lebih ramai nama dan karya dapat diberikan perhatian oleh pembaca. Untuk tahun 2026, PTS mengetengahkan penulis daripada pelbagai latar dan genre. Antaranya, Nazry Salam, Hanna Alkaf, Ben Wong, Ain Lavendra dan Daneen Nizar untuk kategori fiksyen. Manakala bagi kategori bukan fiksyen, kempen ini menampilkan Syamsul Amri A. Razak, Zamri Mohd, Aminahtul Mardiah Md Nor dan Siti Hawa Othman.
Kepelbagaian barisan penulis ini memberikan peluang kepada pembaca untuk meneroka lebih banyak karya tempatan daripada kisah fiksyen yang membawa pembaca ke dunia imaginasi, sehinggalah karya bukan fiksyen yang membuka ruang kepada ilmu, pemikiran dan perspektif baharu.
Menariknya, kempen ini tidak hanya tertumpu kepada promosi buku. Sepanjang kempen berlangsung, PTS dan imprint-imprint di bawahnya akan membawa sebahagian penulis yang terlibat ke sesi siaran langsung di platform media sosial rasmi PTS untuk berkongsi pengalaman dan perjalanan mereka sebagai penulis. Pembaca berpeluang mendengar sendiri cerita di sebalik sesebuah karya, mengenali latar belakang penulisan serta memahami proses kreatif yang dilalui sebelum sebuah manuskrip akhirnya berada di tangan pembaca.
Lebih daripada itu, sesi sebegini membuka ruang kepada pembaca untuk mengenali penulis secara lebih dekat dan memahami bahawa setiap karya mempunyai cerita tersendiri yang lahir daripada pengalaman, pemerhatian dan pemikiran seseorang penulis.
Sempena kempen tahun ini, PTS turut menyediakan tawaran istimewa untuk pembaca yang ingin mendapatkan karya pilihan daripada penulis yang diraikan. Pembaca yang membeli dua buah buku terpilih daripada kempen Meraikan Penulis Tempatan melalui kedai dalam talian rasmi PTS akan menerima diskaun 10% serta penanda buku percuma hanya dengan menggunakan gunakan kod RAIKANLOKAL26.
Kempen Meraikan Penulis Tempatan juga merupakan sebahagian daripada usaha PTS untuk memberikan ruang kepada penulis tempatan agar karya mereka terus dikenali, dibaca dan dihargai oleh masyarakat. Dalam dunia yang semakin terbuka dengan karya dari seluruh pelosok dunia, karya tempatan juga mempunyai tempatnya yang tersendiri. Daripada bahasa yang kita gunakan, latar masyarakat yang kita kenali hinggalah persoalan kehidupan yang dekat dengan pengalaman kita, semuanya menjadikan karya tempatan sesuatu yang wajar diberikan perhatian.
Jadi, sempena bulan kemerdekaan ini, marilah kita meraikan penulis tempatan dengan membaca karya mereka, mengenali pemikiran mereka dan berkongsi cerita yang mereka hasilkan. Ikuti media sosial rasmi PTS dan imprint-imprint PTS untuk mengetahui perkembangan terkini, sesi siaran langsung bersama penulis serta pelbagai kandungan menarik sepanjang kempen Meraikan Penulis Tempatan 2026.







