Artikel

Al-Amin - Puisi Indah Untuk Kekasih Allah

oleh Hairul Faizal Adli Ab Ghani pada 23 Jan 2013

Al-Amin adalah sebuah puisi yang panjang tentang seluruh kehidupan Rasulullah. Riwayat terindah sang kekasih Allah ini, ditulis dengan bunga bahasa yang sangat indah. Kisah kehidupan seorang manusia yang sempurna diungkapkan dengan penuh kecintaan. Inilah puisi yang terindah, dikarang khusus buat kekasih yang amat dirindui. Untaian puisinya indah, lafaznya penuh syahdu, menyuburkan cinta, dan menyemarakkan rindu kepada Rasulullah s.a.w.

Puisi cinta ini dikarang oleh penulisnya dengan penuh kerinduan. Rindu yang memuncak ini diterjemahkan dalam bentuk tulisan yang dapat juga dirasai nikmatnya oleh para pembaca. Puisi ini membawa kita menjengah ke dalam kehidupan Rasulullah yang serba sederhana, namun sangat bermakna. Semakin kita hanyut dalam syahdunya puisi ini, semakin kita kenal akan peribadi Rasulullah.

Seperti yang diakui oleh penulisnya, Al-Amin hanyalah sekadar karya kecil yang sedaya upaya dikarang dengan sebaik mungkin untuk memartabatkan kisah hidup tentang seorang kekasih Allah. Penulisnya merasakan, betapa sia-sianya kehidupan ini sekiranya beliau tidak mencipta sesuatu yang akan mendekatkan dirinya dengan Rasulullah. Disebabkan terbatasnya penguasaan bahasa Arab, ilmu, dan upaya penulis sebagai seorang insan, beliau hanya berserah, menulisnya sebaik dan sekhusyuk yang terdaya, memilih kata-kata yang bersih dan jernih, membentuk frasa dan idiom yang indah, dan kemudian, menyerahkannya kepada penghayatan dan penilaian khalayak.

Apabila menelusuri puisi ini, diri kita terasa semakin kerdil kerana betapa luasnya ruang lingkup kehidupan Rasulullah yang kita tidak mampu kita kuasai walaupun di sepanjang hayat kita.

 Nikmatilah puisi ini, dan yang paling penting, hayatilah sebaik-baik puisi dan setepat-tepat fakta iaitu Al-Quran yang agung. Mudah-mudahan, usaha kita untuk mengenali Rasulullah dibalas oleh Allah dengan sebesar-besar nikmat, iaitu keredaan-Nya dan syurga-Nya yang penuh dengan nikmat yang tidak mampu dibayangkan oleh sesiapa pun.

Alangkah sempurnanya cinta Muhammad kepada ummah, tiada lagi alasan untuk kita tidak mencintai baginda. Ya Rasulullah, kami cinta padamu. Terimalah cinta kami, berikanlah syafaat kepada kami. Allahumma solli a’la Muhammad. 

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024