Artikel

Amalan Menjadi Muslim Bertakwa: Keimanan Adalah Paksi

oleh Asmaa Nabilah Abd Rashid pada 04 Nov 2013

Keimanan adalah senjata pertahanan seorang muslim dalam menongkah arus kehidupan yang kian mencabar.

Dunia yang semakin maju dan terdedah dengan kehidupan duniawi mampu mengheret manusia ke arah suatu lorong kelalaian.

Jika teguh imannya maka keseronokan duniawi ini mampu dibatasi. Namun, jika iman tersangat rapuh, maka musnahlah mereka.

Seorang khalifah dan hamba Allah perlu berpaksikan keimanan dalam melayari kehidupan agar tidak mudah goyah dengan dugaan dunia.

Pelbagai cabaran serta tekanan dihadapi mampu diatasi dengan sebaiknya jika hidup ini bersandarkan pengharapan kepada sang pencipta.

Daripada kasih sayang Allah s.w.t. itulah, kita mendapat pelbagai nikmat kehidupan dan keredhaan yang membahagiakan.

Buku motivasi dan pembangunan diri Keimanan Adalah Paksi bukan sahaja dapat membantu para pembaca mengenali tahap keimanan yang wujud dalam diri.

Malah, penulisan ini mampu memberi suatu pedoman berguna kepada kita dalam meneruskan kehidupan sebenar di muka bumi ini.

Penulisan hasil garapan Hilal Asyraf bersama penulis-penulis daripada Tim Langitilahi.com banyak menonjolkan motivasi dan inspirasi yang dapat membangunkan minda seseorang.

Mereka mengajak manusia bersama-sama memulakan langkah ke arah yang lebih positif.

Malah, mereka turut mendorong kita untuk mengubah paradigma lama menjadi suatu transformasi yang bersandarkan keimanan teguh kepada Allah s.w.t.   

Secara tidak langsung, perubahan positif yang cuba dilakukan ini mampu membantu kita merapatkan lagi jarak hubungan dengan sang pencipta.

 

 

 

 

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024