Artikel
Anda Tidak Perlu Kelulusan Kelas Satu
oleh Helmi pada 04 Aug 2005
Ada orang yang memiliki kelulusan akademik yang cemerlang tetapi tidak berapa berjaya dalam kerjayanya, manakala ada pula individu yang kelulusannya sederhana tetapi begitu berjaya dalam kerjayanya. Lazimnya orang ramai percaya kelulusan yang cemerlang menghasilkan kejayaan cemerlang, sebagai contoh, seorang mahasiswa perubatan yang mendapat ijazah kelas satu sepatutnya menjadi seorang doktor kelas satu yang bagus dan terkenal dalam bidangnya, manakala rakannya yang mendapat ijazah kelas tiga, iaitu cukup untuk lulus sahaja, akan menjadi doktor yang kurang bagus dan tidak terkenal. Tetapi, nampaknya, realiti tidak begitu.
Kajian oleh pakar psikologi seperti L. Hudson dan McKinnon mendapati mahasiswa-mahasiswa yang lulus kelas satu tidak menjadi pakar yang bagus dan terkenal dalam bidang mereka. Ramai orang memiliki pengetahuan yang serupa, kelulusan yang serupa dan kemahiran yang serupa tetapi masing-masing mencapai kejayaan yang berbeza-beza. Ada yang gagal, ada yang cukup makan dan ada yang berjaya dengan cemerlang. Pelajaran dan kelulusan hanyalah salah satu daripada banyak syarat berjaya dalam kerjaya dan kehidupan sebenar. Kejayaan dalam kerjaya dipengaruhi oleh faktor-faktor seperti keyakinannya terhadap keupayaannya sendiri, dan estimnya.
Walaupun seseorang itu lulus cemerlang tetapi jikalau dia tidak yakin pada keupayaan dan kemampuannya dalam melaksanakan tugasnya, dia akan gagal melakukannya. Begitu juga jikalau estimnya rendah, dia juga akan gagal melakukannya. Kedua-dua faktor ini mempengaruhi pengharapan seseorang terhadap diri sendiri. Keyakinan rendah pada keupayaan sendiri dan estim yang rendah akan merendahkan pengharapan seseorang terhadap dirinya sendiri, ertinya seseorang itu tidak mengharapkan dia akan berjaya dalam tugas yang bakal dilaksanakannya. Akibatnya, individu itu gagal walaupun dia memiliki pengetahuan, kelulusan dan kemahiran yang secukupnya bagi membolehkannya berjaya. Kalau mahasiswa kelas satu itu tidak yakin dia boleh menjadi pakar bedah yang bagus, dia tidak akan menjadi pakar bedah yang bagus, walaupun dia mempunyai ijazah yang sangat baik.
Pelajar yang lulus peperiksaan dengan cemerlang, kalau estim mereka rendah, mereka juga akan gagal menjadi bagus dan akan terkenal dalam kerjaya mereka. Orang yang memiliki estim rendah selalu meramalkan mereka akan gagal, disebabkan itu adalah apa yang mereka ramalkan maka itulah yang terjadi, di mana mereka betul-betul gagal. Mereka mempunyai keupayaan tetapi tidak yakin pada keupayaan mereka sendiri. Ini menyebabkan ramai remaja yang gagal mendapat keputusan baik di sekolah menengah tidak berani mencipta kejayaan dalam bidang-bidang yang tidak memerlukan kelayakan akademik tinggi. Akibatnya mereka mengambil keputusan memohon pekerjaan yang bergaji rendah.
Individu yang disukai oleh orang-orang lain lebih mudah mencipta kejayaan dalam kerjayanya kerana dalam dunia moden tidak ada kerja yang dapat dibuat sendiri, melainkan dengan bekerjasama dengan orang lain. Ramai pelajar yang kompetitif dalam mengejar kecemerlangan akademik tidak belajar cara-cara bagaimana menjadi orang yang mudah disukai oleh orang lain, malah ada individu yang percaya mereka tidak perlu disukai oleh orang lain untuk berjaya.  Apabila seseorang itu percaya orang lain tidak perlu suka kepadanya, dia akan bersikap dan berperilaku sebagai orang yang defensif dan meninggi diri, akibatnya orang lain betul-betul bersikap membencinya dan tidak suka kepadanya. Sebaliknya, apabila seseorang itu mempunyai pengharapan bahawa orang lain suka kepadanya, dengan sendirinya dia bersikap ramah mesra kepada orang itu, dan dia melihat orang lain bersikap ramah mesra kepadanya, hasilnya sikap dan tingkah lakunya menjadi lebih peramah, maka dia benar-benar disukai oleh orang lain.