Artikel
Anugerah Pilihan Pembaca Popular : Pak Latip Turut Tercalon
oleh Roziyah pada 01 Jul 2010
Karya penulis Novel Sejarah Islam nombor satu Malaysia, Tuan Abdul Latip Talib turut tercalon dalam Anugerah Pilihan Pembaca Popular Berita Harian untuk tahun 2010.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Pak Latip tercalon melalui buku Hulagu Khan : Khabar Hitam dari Timur terbitan PTS Litera yang tersenarai antara 10 buku bukan cereka.
Selain itu buku Bagaikan Khadijah di hati Rasulullah karya Tuan Zamri dan Tuan Imran turut disenaraikan dalam kategori yang sama. Buku Hamas Pejuang Kota Suci Baitulmaqaddis hasil tulisan Mazlee Malik juga tercalon dalam anugerah tersebut.
Pembaca yang berhasrat menyertai Anugerah Pilihan Pembaca Popular - Berita Harian 2010 perlu memilih pengarang pilihan mereka berdasarkan Kategori Cereka dan Bukan Cereka dengan masing-masing menyenaraikan 10 buku paling laris di pasaran bagi 2009.
Peserta perlu menggunakan borang rasmi yang disediakan dalam Dunia Buku, Sastera, Berita Harian yang terbit setiap Jumaat dan mereka boleh menghantar seberapa banyak penyertaan, namun salinan fotokopi tidak dibenarkan. Penyertaan dibuka dari 2 Julai sehingga 30 Julai ini.
Peserta juga boleh mendapatkan borang rasmi dari semua 64 cawangan Kedai Buku Popular di seluruh negara dan mereka mereka juga perlu menggunakan Borang Rasmi dalam Dunia Buku, Sastera, Berita Harian.
Johan anugerah akan menerima wang tunai RM1,500, kedua (RM1000), ketiga (RM500) dan semua pemenang akan diberi trofi, manakala 100 pembaca yang menjawab dengan tepat akan menerima baucer Popular bernilai RM50 dan keahlian selama setahun.