Artikel
Minat Satukan Idea Dua Beradik
oleh Roziyah pada 01 Jul 2010
Minat yang mendalam dalam pembacaan komik telah meyatukan idea dua beradik sekaligus menjana sumber pendapatan kepada mereka.
Muhammad Afiq Abdul Salam dan Mohammad Nazry Abdul Salam menggunakan minat dan bakat bergabung tenaga bagi menghasilkan Komik M.
Nazry yang mulanya menjadi peminat tegar komik kemudiannya tertarik untuk melukis watak-watak dalam komik bagi mengisi masa lapang.
"Afiq 10 tahun muda daripada saya. Sejak afiq kecil lagi saya telah turunkan ilmu melukis komik ini kepada Afiq. Jadi afiq telah mendapat pendedahan awal mengenai lukisan komik ini," kata Tuan Nazry.
Sebelum ini, mereka juga banyak menyertai pertandingan bagi memantapkan kemahiran dalam menghasilkan komik. Sejak itu minat dalam menghasilkan komik semakin serius dan menimbulkan semangat untuk menerbitkan karya mereka.
"Kami sama-sama menghasilkan idea, tema. Semasa proses penghasilan komik juga kami akan mengadakan perbincangan untuk menghasilkan komik yang baik," kata Nazry lagi.
Mereka telah menghasilkan Komik M iaitu Aviasi Fantasi, Misi 8A dan Remaja@PTSONE 2010.
Kebanyakan idea diambil daripada pengalaman mereka sendiri. Misi 8A contohnya merupakan pengalaman peribadi Afiq yang ketika sedang bergelut dengan PMR.
"Komik ini unik kerana kita juga menyelitkan tips belajar yang boleh diamalkan. Kita juga ada menyediakan jadual yang boleh diambil dan diikuti pembaca dalam proses pembelajaran," jelas Nazry.
Bagi Nazry, dengan tips yang diberikan pembaca khususnya remaja dapat mengetahui cara-cara untuk belajar dengan betul agar mendapat keputusan yang cemerlang.
"Selain itu kita juga memberikan maklumat untuk pengetahuan pembaca. Sambil mereka berhibur ada juga ilmu yang boleh diajar kepada mereka," ujar Nazry.
Bagi Nazry komik ini tidak akan menjadi sesuatu yang melalaikan sekiranya pembaca sendiri tahu mengambil input daripada bahan bacaan tersebut.
Ibu bapa juga katanya harus memantau segala yang dibaca anak-anak agar mereka tidak membaca komik yang memberi kesan negetif kepada mereka.
Dua beradik ini dalam proses menghasilkan sambungan Aviasi Fantasi siri ke 2. Komik tunggal yang bakal dihasilkan pula berkaitan dengan matematik. Dalam komik ini, Nazry dan Afiq menjadikan matematik sebagai satu perkara yang menarik.
"Kebanyakan pelajar melayu tidak sukakan matematik. Dalam komik ini kita mahu menonjolkan yang komik ini sesuatu yang menarik," kata beliau yang menceritakan mengenai komik terbaru mereka.
Nazry dan Afiq juga akan mengadakan aktiviti dan promosi Misi 8A di Sekolah Menengah Taman Mutiara Runi, Skudai iaitu di sekolah Afiq sendiri pada sabtu ini.