Artikel

Apa Cerita Saiful Nang Kali Ini Dalam Buku Kedua Beliau: Mat Jenin Sebenarnya Hero

oleh Nor Fatin Amira Salleh pada 17 May 2016

Orang tua-tua kata jangan berangan macam Mat Jenin. Bukan orang tua-tua sahaja, tetapi kebanyakan yang pernah dengar cerita tentang Mat Jenin pasti menghentamnya.

Besar sangatkah salah Mat Jenin yang suka berangan? Jikalau mentaliti ramai merendahkan Mat Jenin, berbeza pula dengan Saiful Nang.

Kata Saiful Nang Mat Jenin adalah hero. Bagaimana begitu? Saya petik satu ungkapan yang beliau tuliskan, “Orang yang berimaginasi seperti Mat Jeninlah yang membangunkan negara dan bangsa.

Cuma silap Mat Jenin adalah apabila bisnes ayam dia sudah jadi sekandang kambing. Bisnes kambing dia sudah jadi sekandang lembu dan bisnes lembu dia sudah jadikan dia kaya raya…satu yang buat dia jatuh adalah PEREMPUAN!”

Itulah kata Saiful Nang mengapa Mat Jenin yang suka berangan itu adalah hero dalam buku terbarunya Saiful Nang: Mat Jenin Sebenarnya Hero.

Buku kedua beliau itu diterbitkan selepas sambutan hangat pembaca terhadap buku pertama beliau, Kisah Orang Menang.

Bagi saya, buku kedua beliau ini sesuai dibaca oleh semua golongan terutama remaja dan dewasa.

Kisah-kisah yang diceritakan adalah pengalaman beliau sendiri dengan selitan nasihat untuk pembaca.

Isu-isu yang diketengahkan juga dekat dengan jiwa masyarakat Malaysia.

Penulis juga berani menyuarakan isu yang sensitif seperti politik tanpa menyebelahi mana-mana pihak. Isu sebegini memberi satu inspirasi baru buat para pembaca.

Segala kritikan terhadap sikap yang kurang baik berlaku dalam kalangan masyarakat kita juga diulas dengan terbuka dan mudah difahami.

Apa yang penting, kisah Saiful Nang seorang anak felda yang berjaya sehingga dikenali orang terkaya dunia dapat memotivasikan diri sekiranya ia dihayati.

Pengalaman beliau membesar di kawasan kampung dan kisah haji serta bagaimana beliau menaikkan taraf diri antara cerita menarik yang dikongsi beliau.

Satu perkara yang menarik lagi tentang buku ini adalah, 100 peratus royalti penulis telah diakad untuk kebajikan asnaf dan anak yatim Rumah Pengasih Warga Prihatin.

Rumah kebajikan itu diuruskan penulis sendiri bersama-sama kawan beliau. Ia bertepatan dengan apa yang beliau katakan,

“Menulis bukan untuk nama, menulis untuk menyampaikan pemikiran yang mungkin tidak sama.”

Mungkin perkara ini satu motivasi yang baik juga untuk pembaca membeli buku beliau. Moga dengan membeli buku ini kita mendapat juga saham akhirat, Insya Allah.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024