Artikel

Wanita Ini Berkongsi Kisah Pengalaman 20 Tahun Bernikah Dengan Lelaki Negro

oleh Dr. Hayya Bilal pada 18 May 2016

Perkahwinan dibina di dalam syurga. Saya percaya dari kita dilahirkan, sehingga kita sudah sampai usia untuk berkahwin, kita masih tercari-cari siapa yang akan menjadi teman hidup.

Lainlah kalau macam adat sesetengah suku kaum, sejak bayi lagi sudah dijodohkan dengan seseorang.

Sehinggalah suatu hari kita bertemu dengan seseorang itu. Entah dari mana, bagaimana datangnya dan tiba-tiba kita jatuh tersuka dan akhirnya kita berjodoh.

Sungguh aneh kalau difikirkan bagaimana kita boleh jatuh suka dengan warga asing, dari benua jauh yang tidak kita ketahui siapa dia, kisah zaman kecilnya ataupun latar belakang didikannya.

Apakah yang menyatukan hati dua orang manusia yang mempunyai pelbagai perbezaan. Bagaimana perbezaan yang begitu jauh menjadi dekat.  

Saya ingin berkongsi kisah berkahwin dengan lelaki berkulit hitam. Pertemuan ketika kami sama-sama belajar di sebuah universiti.

Beliau mempunyai latar belakang agama Islam yang kukuh, ditambah dengan peribadinya yang lemah lembut dan penyabar.

Paling saya hormati ialah ilmu yang ada pada beliau. Macam-macam bidang yang ada dapat membantu saya bagi menjadi insan yang berilmu. Inilah konsep sekufu yang dianjurkan dalam mencari pasangan.

Mohon maaf saya katakan, saya perlu memilih lelaki berkualiti tinggi sebagai teman hidup, walaupun kulitnya hitam. Itulah yang saya faham daripada kuliah-kuliah yang saya hadiri.

Kita ini bukan sekadar bersuami ataupun beristeri untuk beranak, tetapi mencari teman hidup untuk segala isi dunia dan akhirat.

Baru saya tahu daripada kuliah yang saya dengar, di dalam syurga nanti kita akan berada bersama-sama dengan ahli keluarga, datuk, nenek dari generasi demi generasi di dalam syurga sebagai puak.

Terasa ‘agung’ puak saya di dalam syurga terdiri daripada orang Melayu dan Afrika yang soleh dan solehah. Haha

Kami ini bagai sungai dan laut. Bertemu di muara, menjadi satu, membina keluarga berasaskan agama.

Sikap tolak ansur yang tinggi dan sehinggalah perjalanan saya ke negara suami, Uganda untuk bertemu ahli keluarga mertua dan mempelajari budaya mereka, saya ceritakan satu per satu dalam buku Laki Aku Negro.

Perjalanan hidup yang panjang memperkenalkan saya kepada Afrika, Islam, kejadian, dan ciptaan Allah s.w.t. yang Maha Agung dan membuka minda.

Menjadikan saya sedar, hidup ini hanyalah perjalanan singkat yang diatur oleh Allah s.w.t.

Bertemu dengan keluarga mertua di Afrika dan mengetahui budaya mereka membuatkan saya sedar dan insaf.

Mereka juga manusia-manusia baik, ikhlas, dan jujur dalam kehidupan. Ada yang miskin dan kaya, susah dan senang, berpelajaran dan tidak, soleh dan solehah juga.

Manusia ini di mana-mana pun serupa. Ada darah merah yang mengalir di bawah kulit, punya hati dan perasaan dan inginkan kebahagiaan dan kesejahteraan dalam hidup.

Lalu, saya teringat kembali kenangan-kenangan sedih mempunyai empat orang anak berkulit hitam, berambut afro, dan menjadi mangsa buli di sekolah.

Pelbagai masalah dan cabaran yang kami tempuhi, menjadikan saya bersyukur yang tidak terhingga.

Allah s.w.t. memilih lelaki yang baik untuk saya sebagai hadiah seperti yang Dia janjikan dalam Al-Quran. “Lelaki yang baik untuk perempuan yang baik juga.”

Walaupun masyarakat kadangkala melihat dengan hina lelaki berkulit hitam yang kadang-kadang dengan kasar dipanggil Negro atau Nigger.

Saya perlu katakan, hanya orang yang kurang adab sopan akan menggunakan perkataan ini.

Selain itu, kita perlu belajar membezakan antara lelaki baik dan lelaki kurang baik dalam masyarakat biar apa warna kulitnya.

Kerana kulit tidak menjamin kita masuk syurga ataupun neraka. Tidak menjamin rezeki melimpah ataupun  tidak. Tuhan memandang kita melalui hati.

Cerita-cerita kecil ini saya muatkan dalam buku Laki Aku Negro dengan harapan ia menjadi besar dan mengubah persepsi kita terhadap ‘Negro’.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024