Apakah yang Membuatkan Rakyat Turki begitu Sayang kepada Erdogan?

oleh Asri Yussof pada 07 Dec 2016

erdogan_1

Pada tahun 1997, Kudeta tentera telah berjaya menguasai dan menggubal beberapa dasar baharu. Antaranya adalah dasar pendidikan, dimana semua anak-anak diwajibkan persekolahan selama lapan tahun berbanding lima tahun menurut undang-undang sebelumnya.

Sebelum ini, ibu bapa bebas menghantar anak-anak menyambung pengajian di peringkat menengah ke sekolah kebangsaan, vokasional ataupun agama termasuk sekolah İmam Hatip yang asalnya ditubuhkan bagi melahirkan imam dan pendakwah di masjid.

masjiddi turki

Sejak perubahan ini dibuat, ibu bapa sukar menghantar anak-anak ke sekolah agama.

Peperiksaan penilaian untuk kemasukan ke universiti juga diperketat bagi menyukarkan pelajar lulusan İmam Hatip mengikuti pengajian selain agama di universiti.

Tindakan ini berjaya mengurangkan kemasukan pelajar ke sekolah İmam Hatip dengan kadar dua peratus berbanding sebelas peratus pelajar sebelum dasar baru ini diperkenalkan.

Begitu juga, dengan kadar kemasukan ke universiti daripada lulusan İmam Hatip yang menurun secara drastik, iaitui 25 peratus berbanding 75 peratus orang pelajar sebelum ini.

Keadaan berubah apabila Erdoğan mula mengambil alih pemerintahan. Pada tahun kemenangannya iaitu 2002, seramai 65 000 orang pelajar mengikuti pengajian di sekolah İmam Hatip dan bilangannya meningkat kepada 658 000 orang pada tahun 2013.

imam hatip

Dilaporkan pada tahun 2015, bilangannya sudah mencecah sejuta orang. Perubahan ini berlaku apabila semua pelajar diwajibkan mengambil peperiksaan untuk masuk ke sekolah menengah,

kecuali bagi memasuki sekolah İmam Hatip. Sesiapa yang tidak melepasi peperiksaan berkenaan, tiada pilihan lain kecuali menyambung pengajian ke sekolah İmam Hatip.

Erdoğan bukan sahaja berjaya meningkatkan bilangan pelajar ke sekolah agama, bahkan memperkenalkan mata pelajaran Pendidikan Moral dan Budaya Beragama di semua sekolah yang mewajibkan hafazan beberapa ayat Al-Quran dan doa-doa.

MENARIK: Erdogan VS Gulen: Siapa Benar dan Siapa Salah?

MENARIK: Buku Erdogan Bongkar Siapa Sebenarnya Gulen

Hal ini diperjuangkan atas nama hak asasi, kenegaraan dan demokrasi.

erdogan

Kursus elektif juga diperkenalkan di sekolah-sekolah untuk pelajar sendiri memilih untuk mengikuti mana-mana mata pelajaran yang ditawarkan. Mata pelajaran Sirah Nabawi dan Pengajian Al-Quran adalah tawaran kursus elektif yang disediakan.

Semua tindakan ini tidak dibuat sewenang-wenangnya, namun secara berstrategi menurut undang-undang dalam usaha mengembalikan jati diri umat Islam Turki. Erdogan pernah berkata,

“Kami mahukan anak muda yang beragama, Apakah kamu mengharapkan parti konservatif demokrat AK Parti ini membesarkan generasi anak muda tanpa agama? Itu mungkin urusan kamu, misi kamu tetapi bukan kami. Kami akan membesarkan generasi anak muda konservatif dan demokrat yang mempunyai prinsip dan nilai teguh bangsa ini.”

Hal ini sebenarnya, membuat rakyat semakin tunduk berterima kasih kepada Erdogan kerana membawa mereka kembali kepada fitrah asal bangsa Turki yang sudah terbangun selama lebih 600 tahun di bawah kepimpinan khalifah Islam Uthmaniyah.

Nota Editor: Ahmad Azam Ab Rahman adalah penulis buku Erdogan Bukan Pejuang Islam. Buku ini ditulis bersama-sama Tuan Najmuddin Mohd Nawi dan Tuan Muhammad Suhail Ahmad. Ahmad Azzam adalah Presiden WADAH, beberapa organisasi antarabangsa seperti FGN dan UNIW.