Artikel

Semua Ayah adalah Superhero!

oleh Huzaifah Abd Jamil pada 05 Dec 2016

Kasih ibu membawa ke syurga, kasih ayah sepanjang masa. Mutiara kata yang menggambarkan betapa pentingnya kedua-dua ibu bapa.

Seorang anak sentiasa menghargai ibu bapa mereka. Begitu juga dengan penulis-penulis Tunas Super.

Mereka kembali dengan Storymorie Certot #3 Ayahku Superhero. Antologi cerita kontot kali ini menampilkan sembilan penulis cilik daripada pelbagai negeri.

Masing-masing berkongsi pelbagai kisah penuh emosi dan pengajaran bagi tatapan pembaca. Dorongan imaginasi menjadikan kisah-kisah ini seakan berlaku di alam realiti.

Jalan cerita diolah dengan baik serta penggunaan gaya bahasa yang mudah dan santai, antologi ini amat bagus sebagai bahan bacaan kanak-kanak sekolah rendah.

Ia sekaligus menjadi daya penarik kepada kanak-kanak lain bagi memupuk minat membaca dan cuba menceburi bidang penulisan.

Antologi ini juga sesuai bagi meningkatkan daya imaginasi kanak-kanak, sesuai dengan tahap pemikiran mereka. Ini kerana ada sesetengah antologi bermain dengan imaginasi yang tidak kurang hebatnya.

Memandangkan cuti sekolah sudah tiba, saya amat menggalakkan ibu bapa menghadiahkan karya-karya terbaik penulis-penulis Tunas Super sebagai bahan bacaan musim cuti.

Sebagai makluman, penulis-penulis Tunas Super lahir daripada program Penulis Tunas Super yang mengetengahkan bakat menulis dalam kalangan pelajar sekolah rendah. Sejak 2013 sehingga kini, Tunas Super melahirkan 27 penulis cilik dengan 37 buah novel.

Dalam masa yang sama, pertandingan Certot Penulis Tunas Super Storymorie turut diadakan bagi membuka peluang kepada pelajar sekolah rendah berkarya. Ia juga menjadi platform untuk mencari penulis Tunas Super seterusnya.

Selamat membaca dan selamat berkarya, penulis muda!

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024