Artikel

Aristokra Mirip Lord of the Rings Atau Pirates of the Caribbean: Dead Man’s Chest?

oleh Huzaifah Abd Jamil pada 26 Aug 2016

Ir Bulwar ien Nordain iea Dashan! Ranerir isir kun durunir!

Mereka yang mengikuti perkembangan karya Ahmad Patria, pasti jelas dan tahu di novel yang manakah boleh didapat dialog ini.

Penulis genre fantasi sains fiksyen ini kembali mewarnai dunia sastera melayu dengan novel terbaharu beliau, Aristokra. Novel ini boleh kita anggap sebagai kesinambungan kepada novel bersiri Saga Artakusiad keluaran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang mula ditulis pada tahun 1987.

Ahmad Patria

Bagi pembaca setia Ahmad Patria, sememangnya hasil tangan beliau sentiasa ditunggu-tunggu. Novel ini mendapat sambutan luar biasa di awal penerbitannya sekaligus menarik komen-komen positif pembaca.

Saya kira, ulasan tentang Aristokra yang dibayangi Lord of the Rings adalah antara daya penarik orang ramai untuk mendapatkan novel ini. Ia berikutan penggunaan dialog bahasa yang unik dan nuansa penceritaan itu sendiri.

Ini diperkuat dengan jawapan penulisnya sendiri ketika diwawancara Fadli Al-Akiti, mengatakan novel yang paling mengesankan beliau adalah Lord of the Rings karya JRR Tolkien.

The Lord of Rings

Berdasarkan pembacaan sendiri pula, saya lebih merasakan sedang menyaksikan tayangan filem Pirates of the Caribbean: Dead Man’s Chest. Dimana watak Krodra mahu dihapuskan oleh Bulwar sebagai menghapuskan sumpahan.

Pirates of the Caribbean: Dead Man’s Chest

Begitulah juga situasi yang dihadapi Captain Jack Sparrow yang cuba melawan Kraken. Apa yang membezakan, Jack Sparrow lari dari sumpahan sehingga Elizabeth Swann memaksanya untuk menghadapi Kraken, manakala Bulwar pula mencari sendiri Krodra untuk berhadapan dengan binatang sumpahan itu.

Bagaimanapun, pendapat saya ini terikat dengan salah satu situasi sahaja, dan bukan pada penceritaan secara keseluruhan. Terpulang kepada pembaca, apa pun pendapat anda.

Apa yang penting, sama-sama kita tunggu sekuel kedua dari Kronika Nashan ini: Wizra!

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024