Artikel

“ARISTOKRA” Sebuah Naratif Mega Dari Ahmad Patria

oleh Bastian Affendy Marli pada 11 May 2016

Saya mula meminati karya-karya Ahmad Patria Abdullah sejak membaca buku-buku Saga Artakusiad sekitar penghujung tahun 1980an dan awal 1990an.

Maka apabila desas-desus tentang pendefinisian semula Saga Artakusiad mula timbul, saya amat teruja untuk mengetahui bagaimana penulis akan mengangkat kembali saga yang telah menambat hati ramai peminat novel fantasi tersebut ke dalam bentuk yang baharu.

Aristokra, buku pertama di dalam trilogi Kronika Nashan, mencoretkan titik permulaan untuk pembaharuan tersebut.

Kisahnya bermula dengan misi seorang pemerintah sebuah wilayah kecil di utara Aurora, untuk memohon bantuan daripada Artakus dan puak Armorikus untuk menghadapi suatu ancaman berbahaya terhadap wilayahnya.

Suatu permulaan cerita fantasi yang kedengaran amat biasa, namun saya tidak perlu menunggu lama untuk menyedari keistimewaan naratif Aristokra

Bagaimana penggunaan imbas kembali digunakan secara kreatif untuk mencantumkan peristiwa-peristiwa penting yang menyumbang kepada aliran utama naratif Aristokra.

Maka bayangan klise yang disangkakan pada awalnya terus diganti dengan bayangan lanskap naratif yang amat mega. Ketika ini, hati saya sudah mula terusik.

Aristokra sesungguhnya menunjukkan satu perubahan yang amat ketara berbanding novel-novel Ahmad Patria yang terdahulu.

Penulis telah jauh mengangkat Aristokra daripada segi kematangan penceritaan dan plot, perkembangan skop watak-watak, penggunaan bahasa yang indah dan berfalsafah namun tidak mengelirukan, serta wajah hadapan cereka fantasi dan sains fiksyen yang jauh lebih tinggi.

Aristokra mampu membawa pembaca melalui buaian emosi tanpa dipaksa, menjentik intelektual secara tidak sengaja, dan menerawang ke segenap pelusuk dunia fantasi ciptaan Ahmad Patria secara maya namun bagaikan hampir kepada suatu realiti, bukan lagi fantasi.

Naratif Aristokra berkisar tentang Melyn, aristokra Nashan yang digambarkan sebagai seorang pemerintah yang amat tajam mindanya, walaupun dia masih muda.

Ancaman Sursis terhadap wilayah Nashan telah mencetuskan rentetan peristiwa-peristiwa: kehadiran Mori, pahlawan misteri dari Armorikus, sejarah permulaan Nashan yang melibatkan Shilrung dan Bulwar serta persahabatan mereka, dan kisah mereka menentang Krodra, gergasi samudera yang menjurus kepada terciptanya sebuah rahsia terpenting buat Melyn di dalam usahanya untuk mempertahankan wilayahnya.

Kenangan lama muncul kembali apabila watak Merkia, seorang magia Arasis menunjangi naratif tentang sejarah Spiara Bulwar yang mendahului wilayah Nashan hampir sekurun sebelumnya.

Ternyata penulis telah mengangkat watak adi ini ke tahap yang amat tinggi berbanding Merkia yang saya kenali di dalam buku-buku Saga Artakusiad dahulu.

Bukan mudah bagi saya untuk menduga siasah dan tindakan Merkia: penulis melingkari perjalanannya dengan bahasa yang amat indah dan penuh dengan makna yang tersirat, seiring dengan falsafah pegangan Merkia.

Semuanya bagaikan perlu untuk mengekalkan misteri yang menemani perjalanan sunyi Merkia dalam usahanya memerangi kuasa Osria.

Sama ada didalam konteks interaksi diantara Melyn-Mori-Shirgen, persahabatan Shilrung dan Bulwar, mahupun interaksi diantara Merkia dengan semua watak tersebut.

Aristokra berjaya menarik pembaca untuk turut serta menyelami maksud dan tujuan bicara, bisikan hati yang bersempadan diantara rasa cinta dan hormat.

Tanpa disedari , pembaca sendiri akan mahu turut serta didalam runtunan perasaan diantara dua hati yang samar-samar, ataupun cahaya keikhlasan yang terbit didalam persahabatan dua manusia yang berlainan darjat.

Begitu juga didalam babak pertempuran, pembaca seolah-olah dibawa ke tengah-tengah medan peperangan yang getir, membawa persoalan hidup dan mati begitu hampir dan realistik.

Semuanya kerana kekuatan dan keindahan naratif yang Ahmad Patria telah nukilkan dalam Aristokra.

Aristokra mengemukakan persoalan tentang banyak perkara, diantaranya ialah pengertian Aristokra itu. Apakah aristokrasi itu wujud dalam bentuk material semata-mata, apakah ia boleh diwarisi, atau adakah sesiapa sahaja boleh menjadi seorang aristokra.

Melyn sudah pasti merupakan Aristokra yang dimaksudkan, namun tidak salah rasanya kalau saya menganggap, bahawa Shilrung juga tergambar sebagai seorang aristokra yang unggul, walaupun hanya berbekalkan keikhlasan hati dan semangat persahabatan yang suci.

Jiwa Aristokra juga sarat dengan mesej-mesej kerohanian, dimana watak-watak didalamnya sering bersemuka dengan persoalan tentang pertembungan diantara takdir Tuhan dan kehendak diri.

Disini dapat dilihat penulis bagaikan meniti di sempadan antara duniawi dan ukhrawi, menyalurkannya secara halus kepada pembaca tanpa  terlalu memaksa, namun cukup terkesan kepada sesiapa yang menyedari kewujudan isu tersebut.

Pendek kata, Ahmad Patria mampu membawa pembaca mendaki fantasi aras tinggi ke seluruh benua Imagina, namun pada masa yang sama, masih meletakkan kaki pembaca berjejak di bumi yang nyata.

Saya tertarik untuk mengupas satu lapisan tersembunyi di sebalik naratif mengenai Merkia. Perjalanan dan kembara hidupnya yang serba sunyi, serta falsafah pegangannya digambarkan sebagai sesuatu yang berlawanan serta agak ketinggalan  berbanding fahaman serta siasah percaturan Musuh.

Penulis bagaikan menyeru kepada pembaca yang menyedarinya  untuk membuat suatu perbandingan, tentang aliran kehidupan manusia yang sudah mula terlupa tentang hakikat penyerahan diri kepada Yang Maha Kuasa.

Kehidupan manusia yang semakin moden, semakin pantas, beserta peralihan aliran pemikiran kepada ideologi yang semata-mata berteraskan material, logik dan semantik yang berpandukan kebolehan minda telah menyebabkan sedikit demi sedikit, kita mula lupa bahawa semua perkara masih tetap tertakluk kepada keizinan Tuhan.

Seorang individu yang masih berpegang teguh kepada konsep penyerahan diri kepada Tuhan setelah bersuah-payah berusaha, kini sering ditafsir sebagai seorang yang lemah dan tidak meyakinkan, menjadikannya tersisih daripada arus pembangunan kehidupan manusia, ketinggalan apabila diukur daripada kacamata duniawi.

Penulis seolah-olah ingin memberitahu pembaca menerusi watak Merkia ini, bahawa setinggi mana sekalipun kehebatan manusia, akhirnya tetap harus akur kepada ketentuan Tuhan.

Walaupun siasah percaturan Merkia penuh diliputi dengan ilmu-ilmu berasaskan sains dan matematik aras tinggi, namun dia tetap surut didalam suatu penyerahan diri yang ikhlas, bahawa Tuhanlah yang sebaik-baik perancang, seperti mana yang dinoktahkan oleh penulis, “tadbir tidak mungkin dapat mengatasi takdir”.

Mungkin subjek diatas akan dilihat terlalu berat kepada para pembaca yang inginkan hiburan fantasi yang santai, namun keistimewaan Aristokra ialah ia mempunyai kesan dan pengisian yang berlapis-lapis.

Aristokra pada asasnya tetap sebuah novel fantasi dan bahan bacaan sains fiksyen yang boleh dinikmati diperingkat yang paling asas.

Untuk lapisan santai ini, bayangkan pertembungan diantara dunia fantasi Lord of the Rings dan Harry Potter, namun diadun dengan unsur-unsur kerohanian dan jiwa bangsa,

Maka pembaca akan mendapati dunia fantasi ciptaan Ahmad Patria juga amat kaya dan luas namun pada masa yang sama lebih dekat dengan jati diri kita.

Saya teruja untuk mengetahui tentang rahsia Perang Bayang, misteri Merkia dan Arasis dan kemuncak kemunculan Artakus di dalam Saga Artakusiad yang baharu nanti.

Ahmad Patria telah memberi bayangan yang amat luas kepada satu epik fantasi yang agung, dan Aristokra telah merintis jalan pertama ke arahnya. Saya tidak sabar untuk mengetahui tentang sambungan cerita ini di dalam buku-buku yang seterusnya.

Inilah waktu dan ketika yang amat sesuai untuk bermula kembali: kepada para pembaca Saga Artakusiad yang asal, Aristokra akan membawa kita mengimbau kenangan lama bersama pertambahan kematangan yang seiring dengan usia kita.

Untuk pembaca yang baharu, anda semua amat bertuah kerana turut serta di dalam pengembaraan ini, dan selamat datang ke dunia Imagina!

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024