Artikel

Enrique Melaka: Melayu Pertama Mengelilingi Dunia

oleh Nik Aziz Afiq pada 11 May 2016

“Diatas Robohan Kota Melaka, Kita Bangunkan Jiwa Merdeka”

Pepatah keramat ini meluncur fasih dari mulut pejuang anti penjajah, Dr Burhanuddin Al Helmy (Almarhum). Apa perkaitan Kota Melaka dengan jiwa merdeka?

Itu teka teki yang memberat di dasar fikiran saya dan akhirnya terjawab juga sedikit sebanyak melalui novel sejarah ini.

Inilah kali pertama saya mengenal sosok bernama Enrique Melaka sepanjang hayat. Kenal, kagum dan akhirnya jatuh cinta.

Tak terbayang dalam fikiran bahawa saat Nusantara meraung dengan kejatuhan Melaka, ditakdirkan seorang budak istana diberi peluang melihat dunia.

Hasil dari pengalaman beliau melihat dunia itulah “jiwa merdeka” terbentuk. Jiwa merdeka dapat dilihat sebagai jiwa yang tidak terkongkong dan terperap dengan arus lama dan bermegah dengan kejayaan silam.

Jiwa merdeka adalah jiwa Islah dan jiwa dialektik. Sentiasa bermuhasabah dan mencari solusi untuk memperbaiki.

Kita asyik dibuai dengan kisah Melaka sebagai sebuah kerajaan kaya, pusat antarabangsa, bahasanya menjadi lingua franca ditutur seluruh dunia.

Penduduk Melaka ketika itupun pasti berasa demikian. Namun ini bukan jiwa merdeka. Terperangkap dalam keasyikan dengan kehebatan sendiri sehingga ia hilang dalam lipatan sejarah.

Buktinya bila Enrique pergi ke Lisbon di Portugal dan Seville di Sepanyol. Dua buah bandar pelabuhan besar di Eropah yang dilengkapi tembok-tembok besar sekeliling kota yang dapat dilihat dari jauh lagi dengan kelengkapan meriam, terdetik di hati Enrique mengenai Melaka yang tidak mempunyai sistem pertahanan seperti itu.

Bagaimana Melaka yang sungguh hebat tidak mempunyai sistem pertahanan yang ampuh? Kerana jiwa yang tidak merdeka dan sikap meninggi diri menjadikan Melaka tidak bersedia menghadapi ancaman.

Sesudah Portugis menawan Melaka barulah seluruh negeri Melaka dipagari tembok yang kini dikenali sebagai A Famosa.

Itulah saranan Dr Burhanuddin Helmy dan itulah rasa yang dilalui Enrique. Jika Melaka ketika itu menghantar ratusan perintis ke negara luar untuk mengkaji dan belajar dengan negara lain bagaimana persiapan mereka mempertahankan pelabuhan dan negeri.

Barangkali Melaka tidak akan tumbang ketika itu malah masih menjadi kuasa dunia kini jika research and development itu berlaku. (Walaupun ini hanyalah suatu angan-angan)

Sekali lagi buktinya saat Enrique pulang ke tanah air dan menyertai angkatan perang melawan Portugis. “Kebetulan” berlaku apabila angkatan perang Sultan Mahmud Shah yang berundur di Kopak disertai seorang “panglima misteri”.

Kubu di Kopak begitu ampuh sekalipun diserang banyak kali oleh Portugis kerana jasa “panglima misteri” tersebut.

Setelah “panglima misteri” itu meninggal dunia barulah kubu itu dapat ditawan. Mungkinkah “panglima misteri” itu adalah Enrique?

Jika benar maka terbuktilah gagasan jiwa merdeka tadi dan bayangkan jika Melaka mempunyai seratus pemuda seperti Enrique.

Konsep penulisan yang menggunakan kata ganti diri kedua dan ketiga lalu bertindak sebagai pencerita sehingga akhirnya watak Ferdinand Magellan lebih menonjol berbanding watak yang seharusnya utama iaitu watak Enrique. Ini barangkali sedikit kelemahan dalam novel ini.

Penggunaan kata ganti diri pertama iaitu terus berkisah sebagai Enrique pada hemat saya lebih dramatis dan memberikan impak mendalam pada pembaca.

Pun begitu, buku ini akan membuka lebih banyak minda manusia untuk berfikir dan bermuhasabah keatas sejarah melalui penghayatan jiwa yang merdeka!

Bukan bangga diri dan mengapikan semangat berbangsa-bangsa.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024