Artikel

Asas Kemahiran Berkomunikasi

oleh Helmi pada 27 Aug 2004

Manusia menggunakan bahasa sebagai alat perhubungan yang
penting dalam kehidupan sehari-harian. Ini kerana bahasa adalah salah satu perkara yang membezakan kita dengan haiwan. Selain itu, bahasa mempunyai suatu sistem yang sistematis, dinamis dan selalu berubah-ubah sesuai dengan perkembangan zamannya.

Halliday dalam bukunya bertajuk Explorations in the functions of language (1973) telah mengemukakan tujuh fungsi bahasa. Antara fungsi itu ialah:

Fungsi Instrumental
Fungsi ini bermaksud manusia menggunakan bahasa bagi melayani pengelolaan lingkungan yang menyebabkan sesuatu peristiwa terjadi. Penggunaan kata-kata mengikut fungsi ini dapat menyempurnakan sesuatu kehendak sama ada dengan cara memerintah ataupun meminta. Contohnya:
Ayuh, kita bergerak sekarang!
Jangan pijak rumput itu!
Dia mahu makan nasi.

Fungsi Regulasi
Fungsi bahasa di sini bertindak sebagai pengawas dan mengendalikan peristiwa-peristiwa yang berlaku. Fungsi regulasi bermaksud bahasa digunakan untuk mengendalikan serta mengatur orang lain. Contoh:
Kalau kamu mencuri, kamu pasti dihukum.
Kenderaan hendaklah diletakkan di petak yang disediakan. Jika tidak, anda akan disaman.

Fungsi Pemerian
Penggunaan bahasa untuk membuat penyataan-penyataan, menyampaikan pengetahuan, membuat penjelasan atau melaporkan. Bahasa dalam konteks ini digunakan untuk membuat pemerian ataupun menggambarkan keadaan sebenarnya yang dilihat seseorang. Contoh:
Matahari panas.
Garam masin.
Pantai itu sangat cantik.
Hujan sedang turun dengan lebatnya.

Fungsi Interaksi
Fungsi bahasa ini memainkan peranan bagi menentukan supaya hubungan antara manusia dapat terus berlangsung ataupun dipertahankan. Oleh itu, kita memerlukan pengetahuan yang luas berkenaan loghat, jargon, gurauan, cerita rakyat, budaya setempat dan sebagainya.

Fungsi Peribadi
Fungsi ini memberi kesempatan kepada manusia bagi menyatakan perasaan, emosi, peribadi serta reaksinya. Contoh:
Saya suka kamu.
Saya berasa sangat letih.
Fungsi Heuristik
Ia melibatkan penggunaan bahasa bagi memperoleh ilmu pengetahuan. Ini kerana ia disampaikan dalam bentuk pertanyaan yang memerlukan jawapan. Kanak-kanak misalnya banyak menggunakan fungsi ini dengan sentiasa bertanya berkenaan dunia sekelilingnya. Mereka sentiasa berhadapan dengan peristiwa-peristiwa baru di sekeliling. Contoh:
Mengapakah ayam berkokok?
Bagaimanakah terjadinya pelangi?
Siapakah yang mencipta telefon?

Fungsi Khayalan
Fungsi ini digunakan oleh manusia bagi mencipta mimpi-mimpi yang mustahil dicapai oleh akal. Fungsi ini dibawa melalui buku-buku dan cerita-cerita dongeng.

Ketujuh-tujuh fungsi bahasa tersebut sebenarnya bersifat saling lengkap-melengkapi antara satu sama lain. Sekarang mari kita tinjau fungsi bahasa Melayu.

Fungsi Bahasa Melayu
Sejak mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, bahasa Melayu telah berkembang dengan pesat. Bahasa Melayu mengalami proses pemodenan daripada segi peristilahan, pengekodan dan penye-ragaman. Ini memungkinkan bahasa Melayu dapat menjalankan berbagai-bagai tugas baru sesuai dengan tarafnya sebagai bahasa kebangsaan, bahasa pengantar, bahasa rasmi dan bahasa ilmu. Setelah hampir empat dekad berlalu, bahasa Melayu kini dapat menjalankan berbagai-bagai fungsi. Antara fungsi itu ialah bahasa kebangsaan.

Bahasa Kebangsaan
Bahasa Malaysia ialah bahasa kebangsaan Malaysia. Selepas tercapainya kemerdekaan, Persekutuan Tanah Melayu memilih bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Pemilihan satu bahasa kebangsaan bertujuan mencari suatu lambang penyatuan. Tugas bahasa sebagai fungsi penyatuan akan disalurkan melalui sistem pelajaran kebangsaan sebagaimana termaktub dalam bab permulaan Akta Pelajaran 1961 yang antara lain menegaskan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama di sekolah. Sebelum 1969, bahasa kebangsaan ini dikenali sebagai bahasa Melayu tetapi selepas peristiwa 13 Mei 1969, bahasa ini diberikan nama baru iaitu bahasa Malaysia. Walaupun diberikan nama baru namun taraf bahasa itu tidak berubah seperti yang termaktub dalam Artikel 152 Per-lembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang menyebut bahawa, “Bahasa kebangsaan negara ini adalah bahasa Melayu…..”.

Di samping memenuhi keperluan sebagai lambang penyatuan, bahasa Melayu juga diperlukan dalam negara Malaysia atas keperluan bagi kepentingan kebangsaan. Ini bermaksud fungsi bahasa Melayu sebagai lambang kebebasan negara daripada belenggu penjajahan. Sebagai sebuah negara membangun, amat wajar sekali mempunyai satu bahasa kebangsaan kerana kehadirannya akan memberikan sifat kesatuan.
Sebagai sebuah bahasa kebangsaan, penggunaan suatu bahasa baku dapat menjalankan beberapa fungsi. Antaranya, fungsi penyatuan iaitu bahasa baku bertindak sebagai alat yang meng-hubungkan penutur-penutur yang menuturkan berbagai-bagai dialek bahasa yang sama dan dengan itu dapat menyatukan mereka ke dalam suatu masyarakat pertuturan. Di samping itu, suatu bahasa baku juga dapat menjalankan tugas prestij iaitu kewujudan atau kepunyaan suatu bahasa baku menimbulkan perasaan kewujudan atau kepunyaan dan bersifat megah bagi negara Malaysia.

Sebagai sebuah bahasa kebangsaan, bahasa Melayu dikehendaki memikul tugas baru. Bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi negara, bahasa pentadbiran, bahasa perhubungan umum dan bahasa pengantar serta bahasa ilmiah di sekolah dan institusi pengajian tinggi. Semua fungsi ini dijalankan oleh bahasa Melayu selepas 1957. Bagi menjalankan berbagai-bagai fungsi tersebut, usaha-usaha merancang, membina dan mengembangkan bahasa Melayu perlu dijalankan bagi menjadikan ia sebuah bahasa komunikasi yang lengkap, sempurna, sesuai dan berkeupayaan memperkatakan pelbagai aspek baru dalam kehidupan manusia.
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) memainkan peranan yang sangat besar dalam usaha ini. Usaha murni mereka berjaya menyeragamkan sistem ejaan dan sebutan bahasa Melayu. DBP juga berjaya memainkan peranan yang besar dalam bidang perkamusan bahasa Melayu dengan lebih 600 ribu istilah teknikal dalam berbagai-bagai bidang disiplin.

Bahasa Ilmu

Bahasa Melayu adalah bahasa pengantar ilmu di sekolah-sekolah termasuk di maktab-maktab perguruan dan di universiti. Sebagai bahasa ilmu, bahasa yang memperkatakan segala ilmu pengetahuan, bahasa Melayu seharusnya diperkembangkan dan disesuaikan dengan kehendak-kehendak baru. Perbendaharaan katanya perlu diperluaskan. Ia digunakan untuk menyampaikan ilmu pengetahuan moden dalam berbagai-bagai bidang seperti bidang sains dan teknologi, undang-undang, kedoktoran, kejuruteraan, sastera dan sebagainya. Dalam bidang perubatan misalnya, pelbagai istilah telah diwujudkan dalam bahasa Melayu. Antaranya ialah dalam bidang anatomi, mikrobiologi, fisiologi, biokimia, ginekologi dalam sebagainya.
Dalam bidang kejuruteraan pula, terhasil berbagai-bagai istilah baru terutama dalam bidang kejuruteraan awam, mekanikal, kimia, elektrik, kejuruteraan teknologi maklumat, kejuruteraan angkasa lepas dan sebagainya.
Bahasa Melayu boleh menjadi bahasa ilmu kerana mempunyai ciri-ciri keintelektualan bahasa. Keintelektualan bahasa bermaksud keupayaan bahasa dalam menyampaikan buah fikiran, hujah, pendapat dan sebagainya dengan tepat. Keintelektualan bahasa ini dapat dicapai melalui pengembangan kosa kata ataupun penukaran bentuk kata.
Bahasa Melayu juga boleh menjadi bahasa ilmu kerana mem-punyai ciri-ciri kesempurnaan bahasa. Ciri-ciri kesempurnaan bahasa Melayu yang pertama ialah kestabilan. Ini bermaksud bahasa yang mempunyai sistem dan peraturan. Antaranya ialah sistem ejaan, sebutan, pemakaian, tatabahasa dan lain-lain lagi. Yang kedua ialah kelenturan. Ciri ini bermaksud bahasa Melayu mudah menyesuaikan diri dengan persekitaran dan perubahan yang berlaku daripada semasa ke semasa.

Bahasa Rasmi
Sesudah dipilih sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Melayu juga berfungsi sebagai bahasa rasmi negara kita. Ini bermaksud, bahasa ini digunakan bagi menjadikannya sebagai bahasa utama dalam apa-apa sahaja acara yang bersifat rasmi. Ini termasuklah mesyuarat-mesyuarat persekutuan dan negeri, di persidangan-persidangan dan seminar-seminar, dalam pidato-pidato, di parlimen dan dalam perbicaraan di mahkamah. Penggunaan bahasa selain bahasa Melayu menyalahi Artikel 152, Perlembagaan Malaysia.

Bahasa Pengantar
Oleh kerana Malaysia mempunyai masyarakat yang berbilang bangsa, dasar pendidikan negara Malaysia berusaha menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama di pusat-pusat pengajian. Dasar Pelajaran Kebangsaan, sebagaimana yang termaktub dalam Penyata Razak telah dilaksanakan pada tahun 1957, dan dasar ini disokong pula oleh Penyata Rahman Talib pada tahun 1961. Antara tahap-tahap penting dalam proses pelaksanaan ini ialah penubuhan sekolah-sekolah yang mengunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar (1963), pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar bagi mata pelajaran khusus di sekolah-sekolah rendah jenis kebangsaan (1968) dan permulaan pelaksanaan berperingkat bahasa Melayu (BM) sebagai bahasa pengantar tunggal di sekolah-sekolah rendah jenis kebangsaan (1971).
Pada peringkat sekolah menengah, BM menjadi satu mata pelajaran pada tahun 1957 dan tidak lama kemudian menjadi satu mata pelajaran dalam Sijil Peperiksaan Seberang Laut. Pada tahun 1970, dengan pengambilalihan Sijil Seberang Laut oleh Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), BM dijadikan mata pelajaran wajib bagi semua calon yang mengambil peperiksaan tersebut.

Pelaksanaan sepenuhnya penggunaan BM sebagai bahasa pengantar bermula pada tahun 1983. Sehingga kini, semua sekolah jenis kebangsaan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar bagi kebanyakan mata pelajaran. Pada tahun 2002, timbul desakan banyak pihak yang memberi penekanan kepada penggunaan Bahasa Inggeris (BI) sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah. Daripada desakan ini, kabinet memutuskan penggunaan bahasa Inggeris (BI) dalam mata pelajaran sains dan matematik bermula pada tahun 2002. Walau bagaimanapun, menurut Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia, BM kekal sebagai bahasa pengantar di sekolah. (Berita Harian, Isnin 15 Julai 2002)

Pada peringkat pengajian tinggi, pertukaran daripada bahasa Inggeris (BI) ke BM berlaku secara beransur-ansur pada tahun-tahun enam puluhan di beberapa buah maktab perguruan dan beberapa jabatan di Universiti Malaya. Pada tahun 1970, Universiti Kebangsaan Malaysia ditubuhkan iaitu sebuah universiti yang menggunakan BM sebagai bahasa pengantar tunggal.
Selain fungsi di atas, bahasa Melayu juga berfungsi sebagai penggambar akal budi masyarakat Melayu. Ini kerana terdapat pelbagai unsur dalam bahasa Melayu yang dapat menggambarkan dengan jelas kehidupan masyarakat Melayu. Antara unsur itu ialah pantun Melayu dan pepatah Melayu. Antara pantun yang terkenal ialah:

Pulau Pandan jauh ke tengah,
Gunung Daik bercabang tiga,
Hancur badan di kandung tanah,
Budi yang baik dikenang jua.

Pisang emas dibawa belayar,
Masak sebiji di atas peti,
Hutang emas boleh dibayar,
Hutang budi dibawa mati.

Pantun di atas menggambarkan dalam masyarakat Melayu, budi pekerti adalah aspek yang amat ditekankan. Sejak kecil sehingga dewasa, anak-anak diasuh agar mengenang budi dan jasa orang.
Selain pantun, pepatah Melayu juga dapat menggambarkan pemikiran Melayu. Cuba kita tinjau pepatah-pepatah berikut:

Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa.
Hidup dikandung adat, mati dikandung tanah.
Air dicincang tidak akan putus.
Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.
Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri.

Kesimpulannya, penerangan di atas sudah cukup menggambarkan fungsi bahasa Melayu yang pelbagai. Hari ini, bahasa Melayu boleh menjadi bahasa kebangsaan, bahasa pengantar, bahasa ilmu, bahasa perpaduan dan bahasa komunikasi.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024