Artikel
Ayat Ringkas Jadi Barah
oleh Roziyah pada 07 Jun 2011
Sebelum ini, banyak pihak membahaskan penggunaan ayat ringkas yang digunakan oleh masyarakat secara berleluasa seperti dalam SMS, blog dan laman sosial seperti Facebook dan Twitter. PTS sendiri selaku penerbit buku berbahasa Melayu di Malaysia juga menolak sekeras-kerasnya penggunaan ayat ringkas yang digunakan dalam buku-buku berbahasa Melayu.
Hakikatkan penggunaan ayat singkat secara berleluasa terutamanya di kalangan pelajar sekolah sememangnya memberikan kesan jangka panjang kepada pelajar sekolah yang terkeliru dengan penggunaan ayat singkat ini.
Hal ini terbukti apabila berita harian hari ini membongkar fenomena pelajar sekolah yang menggunakan ayat singkat ini apabila menulis karangan di sekolah. Berita Harian menjelaskan yang penggunaan ayat singkat dalam kegunaaan seharian menimbulkan kesan yang mendalam dan menjadi barah kepada pelajar sekolah yang sentiasa menggunakan ayat singkat dalam penggunaan seharian sama ada menerusi SMS dan laman web sosial.
Penulis remaja yang menjadi kegemaran ramai remaja, Puan Ain Maisarah sendiri menganggap penggunaan ayat singkat dalam perbualan seharian adalah sesuatu yang serius dan perlu diambil perhatian. Beliau sendiri selaku penulis yang mendapat perhatian remaja mula melancarkan kempen menulis penuh di facebook beliau bagi menggalakan peminat facebook beliau yang kebanyakan daripadanya terdiri daripada remaja menggunakan bahasa penuh ketika menulis di ruangan facebook sendiri.
Menurut Puan Ain Maisarah, beliau kini giat mengingatkan peminatnya menulis ayat penuh tidak kira di facebook dan di mana sahaja sebagai latihan kepada pelajar ini supaya tidak kekok menggunakan ayat penuh.
"Setiap kali ternampak penggunakan ayat singkat dalam facebook, kita akan menegur secara halus melalui facebook Ain Maisarah. Kita laksanakan kempen ini di facebook kerana ramai peminat facebook Ain Maisarah terdiri daripada remaja dan pelajar sekolah. Kita tidak mampu pergi ke semua sekolah bagi melaksanakan kempen ini. Langkah awal, Kak Ain menggunakan facebook sebagai medium kempen menulis penuh ini," jelas Puan Ain Maisarah.
Beliau menjelaskan, penulis sendiri harus menjadi contoh yang baik dan mengambil inisiatif menyebarkan kempen menulis ayat penuh di ruangan sosial seperti facebook.
PTS sendiri mengambil langkah mengaplikasikan penggunaan Bahasa Melayu Tinggi (BMT) dalam setiap buku yang diterbitkan dengan tujuan melatih dan membentuk remaja menggunakan bahasa Melayu yang betul dalam penggunaan seharian mereka. Penggunaan BMT digunakan dalam setiap karya yang diterbitkan termasuklah komik, buku kanak-kanak dan buku remaja sendiri.
Buku-buku terbitan PTS masih lagi diterima umum walaupun menggunakan BMT dalam setiap bait ayat dalam karya yang dihasilkan. Ibu bapa dan guru juga menyokong penggunaan BMT dalam setiap buku terbitan PTS kerana penggunaan BMT ini dapat melatih anak-anak mereka menggunakan BMT dengan betul. Hal ini juga diakui sebilangan pembaca buku PTS yang berbangsa Cina yang membeli buku-buku terbitan PTS bagi melatih anak-anak mereka menggunakan bahasa Melayu yang betul dalam subjek bahasa Melayu di sekolah.