Artikel

Baca@ Ramadan: Kenikmatan Malam Ramadan

oleh Hairul Faizal Adli Ab Ghani pada 02 Aug 2013

Betapa beruntungnya orang mukmin, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan. Waktu malamnya dianugerahkan dengan kemustajaban doa sewaktu berbuka, diserikan dengan solat terawih, dihiasi dengan tahajud, dan disambung dengan keberkatan sahur.

Allah turun ke langit dunia pada waktu sepertiga malam dan berkata, “Adakah hamba-Ku yang berdoa kepada-Ku, supaya Aku mengabulkan permintaannya? Adakah hamba-Ku yang meminta ampun kepada-Ku, supaya Aku mengampuninya? Adakah hamba-Ku yang meminta kepada-Ku, supaya Aku memenuhinya?” Sanggupkah kita melepaskan tawaran langsung daripada Allah ini?

Jadikan ibadah malam sebagai kebiasaan, nescaya Allah memberikan kemuliaan. Lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan, Allah janjikan kepada kita satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan dan malam yang penuh dengan keberkatan, iaitu lailatulqadar.

Sekiranya kita bersungguh-sungguh beribadah dan terbiasa bertahajud, pasti kita akan bertemu dengan lailatulqadar. Inilah hadiah istimewa untuk hamba Allah yang betul-betul mencintai-Nya.

Bagaimanakah mahu merasakan kenikmatan malam Ramadan? Mulakan sejak waktu sahur lagi. Bersahurlah kerana dalam sahur itu ada keberkatan. Teruskan dengan zikir atau membaca al-Quran dan sambunglah dengan solat sunat dhuha.

Sebelum menjelang zohor, ambillah sedikit masa untuk tidur sunat qailulah. Tidur yang sekejap di siang hari akan memudahkan kita untuk bangun bertahajud pada malam hari. Makanlah secara sederhana ketika berbuka supaya badan tidak keletihan dan berat untuk beribadah.

Segerakan tidur selepas selesai solat terawih. Semoga Allah mempermudahkan kita untuk bangun beribadah pada malam hari.

Sekiranya kita berat untuk bangun beribadah, mohonlah keampunan Allah. Mungkin bebanan dosa melemahkan kita dan menjauhkan kita daripada Allah.

Jika kita betul-betul mencintai Allah dan rasul-Nya, biasakanlah diri dengan ibadah malam. Jangan beribadah dengan kekuatan jasad, kerana kita akan keletihan. Beribadahlah dengan kekuatan cinta, nescaya Allah beri nikmat kemanisan iman.

 

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024