Artikel
Baca@Ramadan: Pusingan Penentuan Ramadan
oleh Hairul Faizal Adli Ab Ghani pada 29 Jul 2013
Lagu hari raya sudah berkumandang dan dilagukan di seluruh tempat. Iklan di televisyen juga sudah bertemakan hari raya dan mengurangkan tema Ramadan. Jemaah di masjid juga makin hari makin berkurangan.
Topik perbualan mula berkisar tentang persiapan raya dan hal ehwal yang bersangkut paut dengan hari raya. Fokus di bulan Ramadan yang pada awalnya adalah ibadah, kini bertukar kepada meraikan hari raya.
Sememangnya hari raya perlu disambut dengan kegembiraan, namun kita sesekali tidak boleh memudarkan fokus kepada Ramadan. Hari-hari terakhir Ramadan adalah hari yang paling indah dan ditunggu-tunggu oleh mereka yang rindukan Tuhan-Nya.
Mereka menghidupkan 10 malam terakhir Ramadan dengan ibadah dan doa yang bersungguh-sungguh. Mereka inilah orang yang memahami hakikat kegembiraan yang sebenar dan betul-betul mencintai sunnah Rasulullah.
Semasa hayatnya, Rasulullah memperbanyakkan solat malam, beriktikaf, dan mengejutkan ahli keluarganya untuk sama-sama beribadah pada 10 malam terakhir Ramadan. Tindakan Rasulullah ini menggambarkan betapa tinggi dan bernilainya hari-hari terakhir Ramadan.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, “Carilah malam Lailatulqadar pada 10 malam terakhir.” Hadis ini direkodkan oleh Al-Bukhari.
Alangkah ruginya jika kita tidak mencontohi Rasulullah dan tidak teruja untuk mencari lailatulqadar. Itulah malam yang penuh keberkatan, malam dimakbulkan doa, dan malam yang lebih baik daripada seribu bulan.
Sebagaimana kita teruja mahu mendapatkan wang berjuta-juta, begitu jugalah yang sepatutnya kita lakukan dalam soal ibadah.
10 hari terakhir inilah pusingan penentuan Ramadan. Inilah saatnya untuk kita mendapatkan sebesar-besar ganjaran pahala daripada Allah. Sekiranya kita menyibukkan diri dengan beribadah di dunia, maka Allah akan memberikan kesenangan di akhirat.