Artikel

Baca@ Ramadan: Tewas Pada Malam Pertama

oleh Hairul Faizal Adli Ab Ghani pada 10 Jul 2013

Malam pertama Ramadan sungguh mengasyikkan. Nikmatnya hanya mampu dikecapi oleh orang yang beriman. Pencarian lailatulqadar, iaitu malam yang lebih baik daripada seribu bulan bermula secara rasmi. Solat fardu dan terawih berjemaah dilengkapkan lagi dengan pesta ibadah pada malam hari.

Mereka tenang dalam kesunyian malam, berehat daripada kesibukan dunia, dan tenggelam dalam kesyahduan doa. Mereka juga membersihkan dosa dengan linangan air mata taubat dan bersungguh-sungguh memohon doa daripada Tuhan yang Maha Pengampun.

Waktu mustajab ketika sahur pula diisi dengan doa dan perut mereka hanya diisi dengan bersederhana. Inilah kisah malam pertama Ramadan bagi orang yang beriman. Malam pertama mereka penuh dengan kenikmatan.

 Berbeza pula dengan manusia lalai yang jauh daripada Tuhannya. Kedatangan Ramadan tiada ubahnya seperti hari-hari biasa. Walaupun syaitan sudah dibelenggu, namun hati dan tubuh mereka masih dirantai nafsu. Kakinya berat mahu melangkah ke masjid.

Tubuhnya pula berat mahu menghabiskan tarawih. Namun, ringan pula mulutnya bersembang dan bergerak laju ketika mengunyah santapan moreh. Mujurlah sebelum tidur, niat untuk berpuasa Ramadan masih terlintas di hatinya.

Malam pertama Ramadan bermula, namun mereka mereka tetap sama seperti biasa. Kenikmatan ibadah malam telah dikaburi dengan belaian nafsu. Malam yang penuh keberkatan berlalu pergi dan diisi dengan dengkuran semata-mata. Mereka terbeban dengan beratnya selimut, tanpa merasa terbeban dengan banyaknya dosa mereka selama ini. Mereka tewas pada malam pertama. Alangkah ruginya mereka, dan alangkah ruginya kita, andai diri ini termasuk dalam golongan yang lalai.

Namun, Tuhan Maha Pengampun. Wahai pendosa sekalian, Tuhanmu Maha Pengampun. Keampunan-Nya meliputi langit dan bumi. Jangan sesekali berputus asa daripada rahmat-Nya. Walaupun dirimu tewas pada malam pertama Ramadan, namun bangkitlah sekarang.

Beristighfarlah dan pohon keampunan daripada Allah. Mulakan hari pertama Ramadan dengan penuh harapan. Bayangkan hari ini, adalah hari terakhir yang terakhir buat diri kita di dunia ini.

Semoga Allah mengampuni dosa kita dan memberi kekuatan untuk beribadah dengan sebanyak-banyaknya pada bulan Ramadan. Semoga Ramadan pada tahun ini sentiasa lebih baik daripada Ramadan yang lepas. Amin.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024