Artikel

Baca@ Ramadan: Muflis di Bulan Ramadan

oleh Hairul Faizal Adli pada 09 Jul 2013

Mati pada hari ini. Pernahkah kita terfikir yang kita akan menemui ajal pada hari ini? Bersediakah kita untuk berhadapan dengan malaikat maut dan merasai sakaratul maut yang teramat dahsyat sakitnya? Persoalan ini sangat mudah untuk dijawab.

Lihatlah persediaan kita menyambut Ramadan. Orang yang siap sedia menyambut Ramadan dengan iman dan takwa, mereka sedia dipanggil menemui Tuhannya pada bila-bila masa. Mereka berdoa supaya Alla memberi peluang untuk menemui Ramadan, tetapi mereka juga bersedia menghadapi kematian pada bila-bila masa.

Mengikut kiraan awal, esok adalah hari pertama bulan Ramadan. Sehari sebelum Ramadan, pelbagai perasaan bercampur-baur. Ada yang gembira, ada yang teruja, dan ada yang bersedih mahu menyambutnya.

Orang yang beriman, sudah lengkap perancangan Ramadannya. Mereka tidak sabar-sabar lagi mahu berpesta ibadah. Kita pula sebaliknya. Alangkah ruginya kita.

Ketika orang lain menunggu-nunggu bulan Ramadan, kita masih berharap supaya anak bulan tidak kelihatan dan masih ada sehari untuk berpesta makanan. Kita mahu makan sepuas-puasnya, sedangkan orang lain mahu beribadah sebanyak-banyakknya.

Bulan Ramadan itu penuh kegembiraan dan penuh keberkatan. Namun, takutlah kita kepada ancaman Allah melalui ucapan malaikat Jibril kepada Rasulullah,“Celakalah bagi mereka yang bertemu Ramadan dan keluar darinya sedangkan dosanya tidak diampunkan oleh Allah.

” Inilah orang yang paling rugi, muflis di dunia dan muflis di akhirat. Datangnya Ramadan tidak membawa manfaat kepada dirinya.

Namun, belum terlambat untuk mendapatkan pengampunan Allah dan meraih keberkatan Ramadan. Sambutlah kedatangan Ramadan seolah-olah inilah Ramadan terakhir kita. Berdoalah bersungguh-sungguh, supaya Allah beri peluang untuk kita bertaubat dan menyucikan diri sebelum kembali kepadanya.

Marhaban ya Ramadan. Selamat datang Ramadan. Ampunilah dosa kami ya Allah.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024