Artikel

Baca@Ramadan: Buku Menarik Sepanjang Ramadan

oleh Roziyah pada 16 Jul 2010

Sempena Ramadan yang bakal menjelma tidak lama lagi, PTS menyediakan pelbagai buku menarik untuk bacaan pembaca sepanjang bulan puasa ini.

Menurut Eksekutif Hubungan Media, Tuan Roslan Md Isa, budaya membaca di bulan Ramadan ini telah dipraktikkan di Indonesia secara meluas.

“Musim Ramadan sebenarnya adalah musim jualan puncak untuk pelbagai jenis buku,” jelas Tuan Roslan.

Antara buku yang menjadi pilihan pembaca yang diterbitkan oleh PTS adalah Diari Ramadan hasil tulisan Tuan Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Tuan Ahmad Fadli Fauzi.

Diari Ramadan yang diterbitkan oleh PTS Islamika Sdn. Bhd menghimpunkan segala senarai amalan mengikut waktu yang boleh dilakukan sepanjang masa.

Senarai amalan ini bermula dari bulan Rejab, Syaaban, Ramadan dan seterusnya amalan baik dan sunat yang dilakukan pada bulan Syahwal.

Buku ini juga turut memuatkan kelebihan-kelebihan amalan, renungan, panduan dan banyak lagi bahan bagi menjadikan bulan puasa kali ini dipenuhi dengan amalan dan kebaikan.

Selain itu, buku Peristiwa Bersejarah Sepanjang Ramadan hasil tulisan Tuan Zamri Zainal Abidin. Buku ini mengisahkan suka duka yang ditanggung oleh umat islam bermula dari zaman Rasulullah hingga ke zaman pertengahan.

Di dalam buku ini, pembaca akan dapat melihat banyak kejayaan dan kegemilangan besar dalam sejarah dunia berlaku dalam bulan Ramadan walaupun mereka berpuasa dalam keadaan yang cukup susah.

Pembaca boleh menambahkan input dan ilmu selain mengumpul pahala di bulan Ramadan yang mulia ini dengan membaca buku-buku yang disediakan oleh PTS sempena Baca @Ramadan.

PTS juga berharap melalui kempen ini menggalakkan budaya membaca menuju bulan Ramadan di kalangan pembaca. Menjadi harapan syarikat dapat menukar corak pemikiran lama pada Ramadan dan serentak itu dapat menjana jualan.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024