Artikel

Karipap-Karipap Cinta Umpama Permata - Othman Hafsham

oleh Roziyah pada 19 Jul 2010

Karipap- Karipap Cinta bukan sekadar kisah cinta biasa kerana ia bagaikan permata di hati Tuan Othman Hafsham.

“Saya begitu ghairah dengan filem ini dan saya berharap penonton di Malaysia tahu membezakan antara kaca dan permata.

“Sekarang ini banyak filem yang dikeluarkan namun kebanyakannya hanya kaca,” kata pengarah filem Karipap-Karipap Cinta, Tuan Othman Hafsham ketika menyerahkan kontrak antara PTS dan Lotus Studio serta pelakon-pelakon Karipap-Karipap Cinta
 Jumaat lalu.

Beliau juga berharap filem adaptasi ini merupakan permulaan kepada filem-filem adaptasi yang seterusnya.

Tuan Othman Hafsham berkata beliau tidak melakukan sebarang perubahan dalam filem Karipap-Karipap Cinta kerana menghormati karya penulis.

“Saya berharap apabila pintu panggung terbuka, semua penonton akan tersenyum dan terhibur dengan filem ini kelak,” kata Tuan Othman Hafsham lagi.

Menurut penerbit filem Karipap-Karipap Cinta, Datuk Dora Singgam dari The Lotus Corporation Berhad, sekiranya filem Karipap-Karipap Cinta ini berjaya, beliau berbesar hati untuk melahirkan filem Karipap-Karipap Cinta 2.

Jumaat lalu berlangsungnya majlis penyerahan kontrak antara PTS dan Lotus Corporation serta pelakon-pelakon yang terlibat dalam filem Karipap-Karipap Cinta ini.

Antara pelakon yang menjayakan filem Karipap-Karipap Cinta ini adalah Gambit Saifullah sebagai Ali, Melia Aimelia sebagai Sarah, Eman Manan dan sebagai Datuk Razali Bunari. Selain itu turut membantu menjayakan filem ini adalah Rosnah Johari, Jegan dan ramai lagi. 

Penulis novel Karipap-Karipap Cinta, Tuan Nazri M Annuar berkata beliau gembira dan tidak menyangka karyanya akan pergi sejauh ini.


 

Dari kiri, pelakon pembantu KKC, Syamira Azmil bersama pelakon wanita utama KKC, Melia Aimeelia sebagai Sarah

 

“Saya berharap filem ini boleh diterima semua penonton dan berharap ia menjadi jalan untuk adaptasi novel bertapak di Malaysia kerana Malaysia kekurangan filem adaptasi seperti ini,” kata Tuan Nazri.

Filem Karipap-Karipap Cinta ini dijadualkan ke lokasi pengambaran 18 Julai dan ia dijangka akan disiapkan sebelum bulan puasa ini.

 

Teraju utama KKC, Tuan Gambit Saifullah sebagai Ali  bersama pengarah KKC, Tuan Othman Hafsham.

 

Menurut Tuan Faizal Mukthar, Pengurus Penerbitan PTS Fortuna Sdn. Bhd, PTS sendiri akan menjadi lokasi pejabat Ali, watak utama dalam filem yang bakal diterbitkan tidak lama lagi ini.

Tuan Othman Hafsham, pengarah yang dikenali ramai ini pernah mencapai anugerah Pengarah Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia kali ke-4, 1983 dan kali ke-7, 1987.

Selain itu, beliau juga pernah mencapai anugerah penulis Skrip Terbaik pada Festival Filem Malaysia Pertama, 1980.

Antara filem arahan beliau ialah Adik Manja (1979), Mekanik (1983), Rahsia (1987), Ujang (1989), Driving School (1990), Soal Hati (2000) dan Soalnya Siapa? (2002).

Filem Karipap-Karipap Cinta merupakan kisah cinta Ali kepada Sarah. Kisahnya bukanlah cinta luar biasa tetapi kisah hidup mencari cinta yang membawa peristiwa lucu, sedih dan tidak masuk akal dalam usaha Ali menawan hati Sarah.

Nantikan filem yang penuh dengan kisah yang menarik ini di layar perak anda.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024