Artikel

Bahasa adil di mahkamah

oleh Helmi pada 29 Aug 2006

Mencungkil sesuatu fakta bertujuan mendapatkan kebenaran, bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan. Banyak aspek perlu dipenuhi bagi memastikan kebenaran yang diperoleh kelak benar-benar adil bagi semua pihak dan tiada yang merasakan diri mereka tertindas.

Jika di mahkamah, kebenaran yang diperjuangkan, tidak lari daripada landasan mempertimbangkan kepentingan tertuduh dan mangsa. Dalam kes sivil pula, kepentingan plaintif mahupun defendan juga tidak diabaikan.

Justeru untuk melihat pihak-pihak yang terlibat membawa sesuatu kes (pengadu) mahupun tertuduh, beroleh keadilan (kebenaran) yang sewajarnya maka hakim biarpun majistret yang mendengar prosiding perlu bijak dan peka dalam menilai situasi atau plot cerita yang dibentangkan di hadapan mahkamah terbuka.

Sebagai contoh, baru-baru ini, seorang hakim telah mendengar keterangan seorang saksi keturunan Cina dalam kes rakannya yang didakwa merogol seorang bekas penyanyi sebuah kumpulan. Saksi terbabit, tidak begitu fasih berbahasa Melayu dan dia telah menggunakan suatu perkataan yang kurang enak didengar bagi merujuk kepada perbuatan hubungan seks membabitkan kes rogol.

Melihatkan kekurangan saksi terbabit dalam menguasai bahasa Melayu, hakim bicara telah memainkan peranan bukan sahaja sebagai pendengar malahan menjalankan tugas-tugas sampingan selaku pemudah cara iaitu mengemukakan semula soalan peguam dan timbalan pendakwa raya dengan menggunakan bahasa pasar (perkataan yang paling mudah).

Hakim bicara mengambil inisiatif bertanyakan semula soalan setelah melihat peguam dan pendakwa raya seolah-olah sudah kehilangan punca atau ketandusan idea dalam usaha untuk menentukan soalan mereka benar-benar difahami oleh saksi.

Berdasarkan pengamatan dalam prosiding tersebut, adalah jelas tindakan hakim berkomunikasi dengan saksi menggunakan bahasa pasar telah mencapai matlamat bagi memastikan prosiding berjalan lancar meskipun tanpa kehadiran jurubahasa.

Setidak-tidaknya, ia secara tidak langsung akan mengurangkan jumlah keskes tertunggak semata-mata disebabkan alasan yang tidak begitu konkrit misalnya ketiadaan jurubahasa.

Agak mengejutkan juga ketika itu, saksi kelihatan lebih memahami soalan hakim (yang diolah menggunakan bahasa pasar) dan menjawabnya secara spontan jika dibandingkan dengan kualiti soalan pendakwa raya dan peguam bela yang lebih selesa menggunakan perkataan-perkataan bombastik, tetapi ternyata tidak difahami langsung oleh saksi.

Justeru, demi untuk menentukan soalan yang dikemukakan difahami oleh saksi, hakim bicara berkali-kali mengingatkan semua pihak agar menggunakan bahasa dan perkataan yang paling mudah yang bersesuaian dengan tahap pendidikan saksi.

Meskipun begitu, oleh kerana jarang sekali berhadapan dengan masalah komunikasi, pendakwa dan peguam kelihatan sudah kelu dan tidak dapat mencari perkataan-perkataan yang mudah dan ringkas.

Tidak dapat dinafikan bahawa bahasa menjadi alat paling penting untuk mencungkil sesuatu fakta dan perlu diberikan penekanan serius.

Namun apa pula ceritanya, jika pengadu atau saksi ataupun tertuduh, seorang yang rendah tahap pendidikannya dan berasal dari suatu daerah (kampung) yang serba kekurangan. Dan, bahasanya pula jauh ketinggalan jika dibanding kandungan bahasa Melayu standard yang diterima pakai oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Bekas timbalan pendakwa raya, Datin Nik Sarina Lugman Hashim kini bergelar peguam, mengakui bahawa beliau seringkali berhadapan dengan situasi tersebut misalnya saksi, mangsa dan tertuduh yang sukar untuk bercakap menggunakan bahasa Melayu standard seperti yang digunakan di sekolah-sekolah. Sebaliknya mereka lebih selesa dan bertutur dengan lancar menggunakan bahasa pasar yang tidak mencapai piawaian yang ditetapkan.

Menurut Nik Sarina, beliau berhadapan dengan masalah tersebut apabila merekodkan nota prosiding perbicaraan ketika bertugas sebagai majistret di Selangor suatu ketika dahulu.

Dalam situasi tersebut, saya mesti menerima dan merekodkan setiap patah perkataan asal dan ayat yang keluar dari mulut saksi tanpa mengubah struktur ayatnya. Jika perkataan yang disebut oleh saksi, sukar untuk difahami maksudnya, maka kata Nik Sarina, beliau akan merekodkan pengertiannya (diletakkan di dalam kurungan) supaya tidak timbul masalah pemahaman dan dijadikan isu di peringkat rayuan kelak.

Sungguhpun begitu, Nik Sarina tidak pernah merasakan jurang antara bahasa Melayu standard dengan bahasa pasar, suatu masalah besar dalam tugasnya ketika itu.

Ini kerana, yang paling mustahak ialah asalkan hakim atau majistret yang mendengar prosiding faham maksud ayat yang direkodkan hasil keterangan saksi, ia sudah mencukupi, ujar beliau.

Bagi seorang lagi pengamal undang-undang, peguam Hashim Ibrahim, dahulunya pernah bertugas sebagai majistret berkata, apa jua perkataan yang diucapkan oleh saksi, beliau akan mencatatkannya.

Seandainya saya tidak memahami maksud ayat ataupun perkataan tersebut, saya akan bertanya lebih lanjut kepada saksi. Ini kerana ketika merekodkan nota keterangan, seseorang majistret mahupun hakim mesti mencatatkan perkataan demi perkataan yang diucapkan oleh saksi.

Ketika bertugas di Sarawak, menurut Hashim, beliau pernah berhadapan dengan suku kaum misalnya Iban, Bidayuh, Penan dan banyak lagi.

Bagi beliau, kesukaran untuk berkomunikasi dengan mereka adalah suatu perkara biasa. Namun dengan khidmat jurubahasa yang pakar berkomunikasi dalam dialek tersebut, segalanya berjalan lancar.

Seorang anggota polis pernah memberikan keterangan di hadapan saya bahawa dia telah didatangi oleh seorang lelaki berketurunan Iban. Lelaki itu menurut saksi, bercerita dengan tujuan untuk memberitahu satu perkara.Sungguhpun begitu, satu perkara yang ingin diberitahu itu, misalnya A telah membawa maksud yang lebih luas misalnya menjangkaui ABCDE, kata Hashim.

Oleh yang demikian, menurut Hashim, mahkamah tidak boleh sekali-kali membuat andaian atau interpretasi tersendiri terhadap keterangan saksi. Sebaliknya mahkamah perlu mendapatkan penjelasan mengenai maksud sesuatu perkataan mahupun ayat yang diucapkan oleh saksi agar tidak timbul sebarang kekeliruan.

Hashim berpendapat: Penggunaan bahasa pasar (bukan bahasa Melayu standard) mahupun dialek-dialek tertentu, tidak menjejaskan integriti (kewibawaan) mahkamah. Ini kerana, hakim bicara akan merekodkan apa sahaja yang saksi beritahu, tanpa menterjemahkan sendiri maksud sesuatu ayat.

Secara peribadi, ujar Hashim, beliau tidak menganggap atau memandang penggunaan bahasa pasar di mahkamah, suatu masalah ataupun isu di peringkat rayuan. Ini kerana, menurut beliau, majistret mahupun hakim bicara akan memberikan penjelasan lanjut (pengertian) mengenai perkataan-perkataan yang kurang jelas maksudnya misalnya mat rempit dan skodeng , di dalam alasan penghakiman (finding) masing-masing.

Ini kerana dalam nota keterangan, hakim bicara hanya akan merekodkan keterangan saksi.

Kesimpulannya, apa juga dialek (loghat) mahupun bahasa yang digunakan untuk berkomunikasi, bukanlah suatu alasan yang mampu membantutkan atau mengaburkan jalan-jalan untuk mendapatkan suatu keadilan.

Serendah mana pun tahap kualiti bahasa yang digunakan, ia tidak harus dipersoalkan dan dipandang rendah, asalkan keadilan untuk semua dapat ditegakkan.

Oleh: NORAZLITA MOHD. SIES (Wartawan Utusan)

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024