Artikel

Sumbangan kajian Islam di Jepun

oleh Helmi pada 29 Aug 2006

Menurut salah seorang sarjana iaitu Abu Bakr Morimoto, lima terjemahan al-Quran ke bahasa Jepun telah dilakukan dalam tempoh berkenaan.

Terjemahan pertama dibuat oleh Keuiche Sakamoto, seorang sarjana dari Universiti Tokyo pada 1920.

Pada 1957, al-Quran diterjemahkan daripada bahasa Arab oleh Toshihiko Izutsu, seorang sarjana fasih berbahasa Arab.

Beliau juga menulis beberapa karya antaranya God and Man in the Quran: Semantics of Quranic Weltanschauung, Ethico-Religious Concepts in the Quran dan The Concept of Belief in Islamic Theology.

Kesemua buku berkenaan diulang cetak oleh penerbitnya, Islamic Book Trust Malaysia memandangkan pentingnya pemikiran sarjana Jepun ini.

Pada hakikatnya karya Izutsu membincangkan konsep penting dalam al-Quran dengan pendekatan baru iaitu ilmu linguistik.

Kaedah tersebut diperkenalkan oleh ahli bahasa Jerman Profesor Ernest Leisi tetapi beliau tetap merujuk ke atas pemikiran sarjana Muslim, selain menggunakan puisi Arab kuno untuk mentafsirkan al-Quran.

Pendekatan semantik yang digunakan Izutsu pula tidak saja mencari erti kata malah mengaitkan dengan ayat lain yang berada pada lingkungan makna yang sama.

Ia bertujuan untuk mencapai pandangan dunia (Weltanschauung) al-Quran.

Pengaruh Izutsu juga boleh dilihat dalam pandangan sarjana, Wan Mohammad Nor Wan Daud yang mengambil kira bahawa perbezaan mazhab hukum Islam dan teologi berpunca pada kelainan metod dalam mentafsirkan al-Quran dan hadis.

Oleh itu, cara pentafsir klasik menggunakan analisis gramatikal dan filologi dilihat tidak mencukupi.

Ini kerana ia tidak boleh mendapatkan penjelasan syumul sebagaimana jika diselidiki berasaskan bidang semantik terhadap konsep-konsep kunci Islam.

Sarjana Jepun lain yang menyerlah ialah Sachiko Murata melalui tulisannya The Tao of Islam: A Sourcebook on Gender Relationship in Islamic Thought.

Ia mendedahkan pemikiran Islam tentang hakikat hubungan Tuhan dan alam semesta, alam semesta dan manusia serta manusia dan Tuhan.

Beliau memusatkan perhatian pada simbolisme gender yang telah dirintis oleh pemikir klasik seperti Ikhwan al-Safa, Ibn al-Arabi, Ibn Sina dan al-Ghazali.

Menurutnya, realiti ketuhanan dalam hubungannya dengan alam dan manusia adalah bersifat saling melengkapi.

Gagasan ini sangat mirip dengan falsafah Cina tentang konsep yin-yang.

Oleh AHMAD SAHIDAH

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024