Artikel

Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Pengantar Matematik & Sains

oleh Helmi pada 09 Aug 2005

oleh
Prof. Datuk Abu Bakar Hamid
Pengerusi
Yayasan Penataran Ilmu


PEMBUKA KATA

1. Dasar Pendidikan Kebangsaan negara ini digubal berasaskan ciri-ciri kebangsaan daripada sudut kurikulum, latihan guru, bahan pengajaran dan bahasa penghantarnya. Inilah semangat yang terkandung dalam Penyata Razak 1956, Penyata Rahman Talib 1960, Akta Pelajaran 1961 dan kemudian Akta Pendidikan 1996.

2. Sistem pendidikan kebangsaan yang menetapkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama telah berjaya membentuk sistem pendidikan yang mantap, meneguhkan perpaduan rakyat berbilang kaum, mengilmukan generasi demi generasi muda dalam acuan sendiri daripada sudut bahasa, pemikiran dan sistem nilai. Dalam hal penyediaan tenaga penggerak dan pekerja pembangunan negara dalam pelbagai bidang, sistem pendidikan kebangsaan telah melahirkan jutaan profesional dan pekerja yang memperoleh pendidikan sekurang-kurang selama 11 tahun dalam bahasa Melayu.

3. Pelaksanaan sistem pendidikan ini bukan tanpa masalah. Salah satu masalah yang ketara pada hari ini terlihat pada kelemahan pelajar menguasai bahasa Inggeris. Walaupun bahasa Inggeris diajar daripada darjah satu Sekolah Rendah, setelah 11 tahun lulusan SPM masih tidak boleh bertutur dan menulis dalam bahasa Inggeris. Pada tahun 2002, Kerajaan telah memutuskan pelaksanaan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris pada tahun 1 di sekolah rendah, tingkatan 1, 4 dan 6 rendah serta pusat matrikulasi telah bermula pada tahun 2003. Kementerian Pelajaran Malaysia telah membuat unjuran bahawa pada tahun 2008, 80% mata pelajaran sains, matematik dan teknikal akan diuji dalam bahasa Inggeris dalam peperiksaan umum.

a. Pada amalannya, bahasa Inggeris sudah menjadi bahasa penghantar utama mengambil alih tempat bahasa kebangsaan. Ini dilaksanakan tanpa meminda Akta Pendidikan yang sedia ada. Perubahan ini menimbulkan kecelaruan dan kakacauan; mana satu dasar dan mana satu pengkecualian kepada dasar tersebut.
b. Pengurangan peranan bahasa Melayu ini melarat pula ke pusat pengajian tinggi awam apabila pegawai tinggi IPTA diarahkan mengubah bahasa penghantar kursus sains dan teknologi daripada bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris. Kecelaruan berlaku apabila semua arahan ini dibuat secara lisan sahaja. Misalnya, apabila Naib Canselor UPM mengumumkan semua kursus di universitinya akan dijalankan dalam bahasa Inggeris dalam tempoh lima tahun, ramai pemimpin kerajaan yang melenting dan membuat kenyataan bahawa ini bertentangan dengan Dasar Pendidikan Negara. Beliau dikatakan terlalu ghairah. Bukankah ini arahan Kementerian Pengajian Tinggi secara bisik-bisikan? Contoh kecelaruan yang lain, di UPSI mata pelajaran Kesusasteraan Melayu pula diajarkan dalam bahasa Inggeris, kononnya untuk memenuhi kuota kursus berbahasa pengantar Inggeris.

ANTARA DASAR DENGAN PENGKECUALIAN

1. Penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar, baik pada peringkat sekolah mahupun IPT bukanlah dasar pendidikan tetapi pengkecualian kepada dasar tersebut. Kini apa yang dikatakan pengkecualian sudah menjadi norma sementara dasar yang sudah termaktub sekian lama sudah mulai terpingir.

2. Malahan mereka yang mempertahankan dasar, sering dituduh sebagai anti dwibahasa, anti bahasa Inggeris, nasionalis sempit malahan sudah terdengar suara menuduh mereka pelampau kebangsaan dan pengkhianat. Mereka yang menyeleweng daripada dasar dianggap sebagai wira. Benarlah kata penyanyi A.R. Azmi, Dunia ini sudah terbalik, 

3. Penyelewengan ini telah dilaksanakan dengan tergesa-gesa, tanpa penyelidikan yang rapi dan projek percubaan (pilot project). Tindakan merubah dasar yang sudah mantap tanpa lebih dahulu membuat penyelidikan adalah sikap yang tidak saintifik dan tidak rasional. Lebih aneh lagi apabila sekarang terbukti berdasarkan penyelidikan bebas bahawa perubahan ini banyak membawa keburukan, kita diberitahu kajian perlu dibuat lebih dahulu. Bukankah aneh? Kajian diperlukan untuk melaksanakan semula dasar tetapi tidak dirasakan perlu apabila mahu menyeleweng daripada dasar yang sudah sekian lama mantap?

4. Belum terbukti di mana-mana pun di muka bumi ini bahawa mengajar sains dan matematik boleh membantu penguasaan sesuatu bahasa. Kajian bebas yang dijalankan oleh DBP-UKM dan sarjana-sarjana tempatan menunjukkan bahawa sejak dilaksanakan perubahan ini, tidak tampak peningkatan penguasaan bahasa Inggeris atau subjek sains dan matematik, malah timbul pelbagai masalah dalam kalangan pelajar dan guru.

5. Dalam keputusan Olimpiad Matematik Antarabangsa 2003 (IMO 2003), tiada sebuah negara pun daripada 10 negara teratas yang pesertanya belajar matematik dalam bahasa asing, manakala IMO 2002 dan 2001 hanya sebuah negara sahaja berada dalam kumpulan 10 teratas yang matematiknya diajar dalam bahasa asing. Negara yang paling kerap mendapat tempat 1-10 dalam olimpiad matematik ialah China = Vietnam (10/10), diikuti oleh Bulgaria (9/10), dan Iran=Korea Selatan=Romania (8/10) dan AS=Hungary=Jepun (7/10); semuanya bersistem pendidikan sains dan matematik dalam bahasanya sendiri. Keputusan yang serupa juag didapati untuk Biologi, Fizik, Kimia dan Teknologi Maklumat.   

6. Selalu dihujahkan bahawa perubahan ini hanya bagi dua mata pelajaran untuk sekolah rendah sahaja. Hakikatnya jauh berbeza:

Sekolah Rendah:

BM 60%; BI 40%

Sekolah Menengah:

Tingkatan 3: BM 62%; BI 38%
Tingkatan 4 & 5 Sastera: BM 56%; BI 44%
Tingkatan 4 & 5 Sains: BM 36%; BI 64%
Tingkatan 4 & 5 Biologi: BM 33%; BI 67%
Tingkatan 4 & 5 Reka Cipta: 32%; BI 68%
Tingkatan 4 Akaun: BM 47%; BI 53%
SPM: BM 29%; BI 71%
Tingkatan 6 Sastera: BM 60%; BI 40%
Tingkatan 6 Sains dan Matrikulasi: BM 20%; BI 80%

Peringkat Universiti:

BM: Kursus Sastera dan Pengajian Islam; BI Semua kursus lain
       
AKIBAT PENYELEWENGAN DASAR

1. AKIBAT KEPADA BAHASA MELAYU

Proses menjadikan bahasa Melayu bahasa ilmu dan bahasa moden akan terhenti. Sebaliknya bahasa Melayu akan terperosok sebagai bahasa pasar sahaja. Istilah yang telah dicipta tidak akan digunakan dan istilah baru tidak lagi akan dicipta. Buku dalam bidang sains, perubatan, ekonomi, perniagaan dan teknologi tidak akan diterbitkan dalam bahasa Melayu kerana tidak akan ada lagi pembacanya. Kedududkan bahasa Melayu dalam semua bidang terutama dalam bidang ilmu dan perniagaan di negara bertuah Malaysia ini akan jatuh ke nombor tiga di bawah bahasa Inggeris dan Mandarin.

2. AKIBAT KEPADA PELAJAR-PELAJAR MELAYU

Kesannya kepada pelajar terutama pelajar Melayu daripada sudut penguasaan ilmu sains dan matematik buruk sekali. Kajian menunjukkan pelajar yang masih belum mempunyai kemahiran kecekapan bahasa yang asas akan menghadapi masalah untuk membaca buku teks, berdailog, berdebat dan memberi gerak balas bertulis dalam ujian dan peperiksaan. Inilah masalah sebenar yang dihadapi oleh pelajar-pelajar Melayu kini. Masalah ini tidak dapat diselesaikan dengan hanya menuding jari kepada pelajar dan guru bahawa mereka mahu mencari jalan mudah. Belum terbukti di mana-manapun alat teknologi boleh menggantikan guru di dalam darjah. Yang perlu diingat, wajarkah kita memperjudikan nasib masa depan anak bangsa kita dengan menggunakan kaedah yang tidak, atau sekurang-kurangnya belum terbukti berhasil di mana-mana di muka bumi ini? Seorang bernama Steven Lee telah membangkitkan hal ini dalam Berita Harian 19 April 2005 bertajuk, Pendekatan Pembelajaran Bukan Boleh Dicuba-cuba. 
 
1. AKIBAT KEPADA MEDIA MASSA BERBAHASA MELAYU

Tahun 60-an dulu tulisan Jawi dikeluarkan daripada bilik darjah. Akibatnya hari ini ramai orang Melayu yang buta Jawi. Akhbar Utusan Melayu dulu menjadi lidah dan alat perjuangan bangsa Melayu. Kini Utusan Melayu dalam keadaan nazak. Tidak lagi boleh menjadi wadah pemikiran dan penyatuan umat Melayu. Inilah yang akan berlaku kepada media berbahasa Melayu 20 tahun dari sekarang. Akhbar Melayu tidak akan lagi memuatkan ruangan teknologi, kesihatan, ekonomi, perniagaan, komputer dan lain-lain kerana tidak akan ada pembacanya. Pembaca akhbar nanti tidak lagi menguasai istilah dalam bidang-bidang ini dalam bahasa Melayu. Bolehkah akhbar hidup tanpa ruangan ekonomi, perniagaan, kesihatan, sains, teknologi dan sebagainya? Lihat saja Utusan Melayu. Itulah gambaran masa depan akhbar arus perdana berbahasa Melayu. Pada hari ini pun, di negara Malaysia yang kita cintai ini, edaran akbbar terbesar berbahasa Melayu jatuh ke nombor tiga di bawah akhbar berbahasa Mandarin dan Inggeris. Bayangkan 10 tahun dari sekarang akibat penukaran bahasa penghantar 80% mata pelajaran di sekolah ke dalam bahasa Inggeris. 

2. AKIBAT POLITIK KEPADA ORANG MELAYU DAN UMNO

Kemerosotan kedudukan bahasa Melayu, kelemahan pelajar Melayu menguasai ilmu-ilmu sains, teknologi dan matematik serta kemerosotan akhbar Melayu akan membawa padah politik yang cukup menggerunkan bagi UMNO dan umat Melayu. Bagaimanakah UMNO mahu mempengaruhi orang Melayu kalau akhbar arus perdana Melayu nanti sudah seperti Utusan Melayu hari ini amat tipis, terbit hanya seminggu sekali, kecil jumlah edarannyannya dan tidak lagi berupaya menggembleng pemikiran orang Melayu?  Dengan serangan globalisasi dan masuknya pelbagai aliran fahaman Islam dari luar, pandangan dan pegangan hidup umat Melayu pastinya akan bertamah rencam dan berserpihan. Dan pada waktu itu alat yang ampuh untuk mempersatukan pemikiran mereka sudah tidak lagi bertenaga untuk berbuat demikian. 

Kos budaya, pendidikan dan politik bagi penyelewengan kepada Dasar Pendidikan Kebangsaan ini terlalu menggerunkan untuk diabaikan. Apa yang dikatakan sebagai perubahan bahasa pengantar dua mata pelajaran sahaja sebenarnya akan membawa durjana kepada bangsa Melayu. Inilah akibatnya apabila kita melompat sebelum berfikir panjang.


DI MANA LETAK PENYELESAIANNYA? 

Sebenarnya masalah yang sedang kita hadapi ini hasil ciptaan kita sendiri. Lain yang luka lain yang dibebat.  Kita sudah mempunyai Dasar Pendidikan yang telah terbukti mantap. Ini tidak bermakna pelaksanaan dasar ini tidak mengalami masalah. Terdapat masalah mutu pendidikan sekolah kebangsaan, terdapat kelemahan disiplin, tidak memberi ruang yang cukup untuk membuka minda pelajar menjadi kreatif dan isu yang sedang kita bincangkan - terdapat kelemahan yang ketara penguasaan pelajar dalam bahasa Inggeris. Cara menyelesaikan masalah ini ialah pertama fokus, kedua fokus dan ketiga fokus. Kita harus memfokuskan perhatian untuk menyelesaikan masalah ini bukan mengundang masalah baru dengan mencipta kaedah yang belum teruji di mana-mana pun.

1. Dalam hubungan dengan isu yang sedang dibicarakan ini kita harus fokuskan perhatian kepada masalah meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris pelajar di sekolah dengan menggunakan kaedah yang lebih kemas kini dan berkesan dan memberi latihan yang sempurna kepada guru bahasa Inggeris. Sering dibangkitkan bahawa penguasaan bahasa inggeris sebahgian daripada guru bahasa Inggeris itu sendiri tidak memuaskan.

3. Mungkinkah pengajaran bahasa dijalankan dengan sempurna dalam kelas yang melebihi 40 orang, terutama pada peringkat darjah satu? Pada banyak negara yang maju, pada sekolah rendah jumlah pelajarnya kecil sekali sehingga tidak sukar bagi guru mengawal kelasnya.

4. Di Amerika di mana terdapat ramai pelajar berbahasa ibunda asing, bahasa Inggeris diajar secara tuisyen, satu pelajar satu guru bagi pelajar yang lemah. Kita mesti mengkaji dan mengguna pakai kaedah yang telah terbukti berkesan di tempat lain. 


KESIMPULAN

Kerajaan selalu menyeru rakyat supaya bersikap rasional dan saintifik dalam menghadapi sesuatu masalah dan cabaran. Dalam isu bahasa terutamanya, kita selalu mendapat seruan dan teguran agar jangan emosional. Ini seruan yang baik sebagai natijah daripada penekanan kepada pemikiran berasaskan sains, matematik dan teknologi moden. Tetapi bagaimanakah kaedah kerajaan menghadapi masalah kelemahan pelajar menguasai bahasa Inggeris?

Keputusan yang melibatkan perubahan kepada dasar pendidikan kebangsaan ini dibuat secara senyap-senyap tanpa perundingan dengan pihak-pihak yang berkepentingan. Tidak ada perdebatan atau perbincangan secara akademik dan mendalam. Bahawa pelaksanaan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris ini dijalankan dengan tergesa-gesa tanpa didahului oleh penyelidikan yang rapi dan percubaan secara kecil-kecilan menimbulkan syak wasangka bahawa terdapat agenda tersembunyi di sebalik kegigihan ini.

Sikap ini tidaklah dapat dikatakan sikap yang saintifik dan rasional. Lebih-lebih lagi ini melibatkan orang awam dan masa depan anak bangsa. Tidak ada siapapun yang berhak memperjudikan masa depan anak bangsa dengan bereksperimen dengan kaedah yang belum berhasil dikuktikan berjaya di mana-manapun.

Ini disertai pula dengan arahan-arahan yang disampaikan secara lisan sahaja kepada pemimpin IPTA supaya menukar bahasa pengantar kursus-kursus tertentu. Tujuannya jelas dan nyata; menukar bahasa pengantar dalam semua peringat pendidikan daripada bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris. Apabila lebih 90% kursus pada semua peringkat telah dilaksanakan dalam bahasa Inggeris, soal meminda Akta Pendidikan menjadi fait accompli. 

Kami menyeru agar kerajaan mengkaji semula tindakan tergesa-gesa untuk merubah bahasa pengantar matematik dan sains pada peringkat sekolah dan pengajian tinggi. Kami menyeru agar kerajaan kembali kepada Dasar Pendidikan Kebangsaan. 

Marilah kita bersama-sama memperkasakan sekolah kebangsaan. Marilah kita bersama-sama menghadapi cabaran ini secara rasional dan saintifik. Marilah kita bersama-sama mencari kaedah yang jitu demi masa depan anak bangsa kita dan negara. Jangan sekali-sekali mengambil tindakan nekad memperjudikan masa depan anak bangsa dan negara kita. Jangan sampai yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.


Resolusi


1. Kerajaan bersikap rasional dalam melaksanakan sebarang dasar baru dengan mengadakan perundingan dan penyelidikan. Pelaksanaan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar tidak dilakukan secara demikian.
2. Kerajaan mengkaji semula kesan pelaksanaan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar sains dan matematiks demi mengelakkan kesan-kesan negatif pada kuasa politik UMNO.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (198801006125) © 2000 - 2025