Artikel
Pilihkan judul untuk pembaca
oleh Helmi pada 09 Aug 2005
Oleh SHAHAROM TM SULAIMAN
Sebuah buku adalah sebuah dunia pesona yang tersendiri. Melaluinya, kita menemukan kegembiraan, kesedihan, keceriaan. Itulah kuasa pesona buku. Apa tidaknya kepelbagaian ragam buku mampu membuat kita ketawa, menangis, marah, membangkitkan semangat dan motivasi diri, bahkan memperkaya ``rohani’’ kita. Itulah sentuhan nikmatnya.
Kita mudah ``tenggelam’’ dalam keasyikan melayani buku dalam dunia yang tersendiri. Cendekiawan Arab pada abad silam pernah mengatakan bahawa buku merupakan teman setia terbaik. Ia tidak pernah mengecewakan kita. Walau bagaimanapun layanan kita terhadapnya, ia tetap di situ, bersedia untuk berkhidmat kepada kita.
Memang setiap buku yang kita baca meninggalkan kesan yang tersendiri. Bagi Datuk Seri Adnan Yaakob, Menteri Besar Pahang, membaca buku Di Bawah Lindungan Kaabah karya Allahyarham Hamka memberi banyak pengajaran dan keinsafan kepadanya tentang makna kehidupan dan betapa hidup ini hanyalah sementara dan akhirat jualah tempat kembali. Begitu juga dengan Tan Sri Samsudin Osman, Ketua Setiausaha Negara, yang suka membaca karya-karya Frederick Forsyth yang bersifat action packed thriller, kerana melaluinya beliau dapat menghilangkan penat daripada rutin kerja dan `melarikannya’ daripada hal-hal yang perlu diuruskan sehari-hari. Tidak kurang juga kesan buku The Soul of Malaya karya Henri Fauconnier kepada Prof. Diraja Ungku Abd Aziz, yang mengatakan buku itu ditulis begitu bijak sekali menggunakan pantun dan puisi Melayu. Bahkan bagi Pak Ungku Aziz, buku tersebut merupakan buku terbaik menggunakan pantun Melayu dalam bentuk yang paling romantis dan indah sekali.
Segala luahan dan penghargaan Adnan, Samsuddin dan Ungku Aziz terhadap buku tersebut diungkapkan dalam buku Bacaan Kegemaran Rakyat Malaysia yang diterbitkan oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM). Sebetulnya banyak lagi tokoh yang memberi penghargaan teristimewa terhadap buku kegemaran mereka dalam buku ini seperti Shuhami Baba (pengarah filem), Khairy Jamaluddin (Naib Ketua Pemuda UMNO), Datuk Ahmad Zahid Hamidi (Timbalan Menteri Pelancongan). Penerbitan buku ini adalah hasil daripada Program Bacaan Kegemaran Saya (BKS) yang dilaksanakan pada tahun 2000 sebagai projek perintis oleh PNM sempena Bulan Membaca Kebangsaan yang kebetulannya berakhir semalam.
Program BKS kemudiannya berkembang dengan penyertaan lebih banyak perpustakaan awam negeri. Sepanjang pelaksanaan program BKS, ia telah melibatkan 244 orang yang terdiri daripada tokoh masyarakat, para profesional, pelajar, selebriti, pensyarah, pakar motivasi dan orang awam. Dalam buku ini, dinyatakan salah satu objektif program BKS ialah mengadakan perkongsian ilmu melalui pembacaan dan mengumpul serta menerbitkan bacaan kegemaran rakyat Malaysia.
Buku ini memuatkan 120 ulasan buku terpilih yang disampaikan oleh peserta-peserta BKS yang menerangkan kenapa buku-buku tersebut menjadi kegemaran mereka yang merangkumi elemen-elemen seperti tema dan jalan cerita, masa dan kekerapan membaca serta manfaat dan kesan bacaan.
Popular
Hampir kesemua buku yang dipilih menggambarkan kepelbagaian bidang yang luas daripada fiksyen ke nonfiksyen, daripada yang ilmiah hinggalah yang popular. Kesemua buku pilihan ini memberi sentuhan yang tersendiri dan unik kepada para peserta BKS.
Penerbitan buku terbitan PNM ini mengingatkan penulis kepada sebuah buku yang diterbitkan oleh Setesen Penyiaran British (BBC) yang bertajuk The Big Read: Books of Books, The Nations’s 100 Favourite Books (2003) yang menyenaraikan seratus buah buku yang diminati oleh rakyat Inggeris berdasarkan tinjauan terhadap 140 ribu pembaca.
Cuma yang membezakan antara The Big Read dan Bacaan Kegemaran Rakyat Malaysia, ialah The Big Read hanya menyenaraikan dan memilih karya-karya novel sahaja, daripada yang klasik seperti The Count of Monte Cristo, sehinggalah yang moden seperti Harry Potter and the Prisoner of Azkaban.
Sebenarnya dalam konteks Barat, menyenaraikan buku-buku terbaik atau buku-buku yang perlu dibaca oleh manusia `Barat’ bukanlah sesuatu yang baru. Sebelum ini sudah ada buku-buku daftar seperti Books that Change the World (1956); New York Public Library’s Books of The Century (1996), The Western Canon: The Book and School of the Ages (1994) dan paling terbaru daftar buku yang menjadi pilihan selebriti tersohor dunia, Oprah Winfrey melalui Reading Oprah: How Oprah’s Book Club Changed the Way America Reads (2005).
Buku-buku yang dipilih Oprah ini dalam rancangan televisyennya terkenal, The Oprah Winfrey Talk Show, benar-benar mempengaruhi sikap dan minat rakyat Amerika Syarikat (AS) terhadap karya-karya sastera sehingga setiap buku yang diperkenalkan Oprah akan menjadi buku terlaris. Dan, paling menarik Oprah tidak pernah berbincang atau memperkenalkan karya-karya sastera popular murahan sebaliknya memperkenalkan karya-karya sastera yang estetik atau novel-novel bermutu.
Penerbitan buku-buku daftar semacam ini masih baru dalam konteks Malaysia, walaupun telah ada usaha Yayasan Karyawan Malaysia menerbitkan Karya-Karya Agung Melayu dan Early Malay Printed Books (1993) oleh Ian Proudfoot, tetapi masih tertumpu pada karya-karya klasik. Usaha PNM ini menerbitkan Bacaan Kegemaran Rakyat Malaysia boleh dianggap sebagai salah satu buku daftar bacaan rakyat Malaysia walaupun ia menggabungkan buku-buku bahasa Melayu dan Inggeris dari luar negara.
Mungkin sesuatu yang lebih bermakna jika pada masa hadapan dapat diterbitkan daftar karya-karya atau buku-buku berbahasa Melayu yang dibaca atau harus dibaca oleh setiap rakyat Malaysia untuk memahami tradisi budaya bangsa dan mengikat diri dengan kesinambungan tradisi tersebut.
Kerana buku adalah komoditi atau aset budaya yang mampu melahirkan masyarakat `berbudaya tinggi’ yang terangkum di dalamnya menjadi manusia berilmu, beradab, dan berjati diri, kerana inilah peranan akhir buku yakni ``memanusiakan’’ manusia.