Artikel
Bahasa Kita Modal Kita
oleh Roziyah pada 07 Jul 2010
PTS membekalkan Bahasa Melayu Tinggi (BMT) kepada semua peringkat pembaca PTS menyedari wujud sesetengah golongan yang tidak mendapat bekalan BMT terutamanya anak-anak dari keluarga berpendapatan rendah.
Menurut Puan Ainon Mohd, masyarakat di Malaysia hari ini masih terbelenggu dalam kemiskinan bahasa yang dipertuturkan.
"Di Malaysia masih ada prejudis terhadap bahasa hasil daripada minda yang terjajah. Prejudis ini akhirnya dikenakan ke atas pelajar-pelajar di Malaysia," kata Puan Ainon dalam bengkel Bahasa Melayu Tinggi yang diadakan baru-baru ini.
Individu yang menguasai dan mengaplikasikan BMT akan dipandang lebih tinggi kerana bahasa yang mereka gunakan.
"Bahasa kita adalah modal kita. Semakin kita menguasai BMT, kita akan dipandang tinggi oleh orang lain. Apabila kita menguasai dan menggunakanBMT yang betul, kita akan dipandang tinggi kerana masyarakat kita masih mempunyai prejudis terhadap bahasa," kata Puan Ainon lagi.
PTS menggunakan dialog menggunakan BMT kerana dialog ini yang akan diserap dan digunakan pembaca terutamanya kanak-kanak dalam perbualan seharian mereka.
"Kita hanya dapat menghasilkan ayat yang terakam dalam memori kita," kata beliau lagi.
Buku yang menggunakan BMT juga mampu terbang tinggi dan mempunyai nilai eksport yang tinggi. Buku BMT mampu diedarkan di Indonesia kerana BMT mudah difahami.
Buku-buku PTS membekalkan BMT kepada semua golongan. Novel Kanak-Kanak dan Remaja PTS menggunakan BMT dalam dialog.
BMT yang terdapat dalam struktur-struktur ayat itu membolehkan pembaca terutamanya kanak-kanak dan merakam bahasa tersebut lantas secara tidak langsung mereka akan menggunakan BMT tersebut dalam perbualan seharian.
PTS juga menerbitkan buku yang isinya baik untuk bacaan remaja, manakala pada waktu yang sama buku-buku itu membantu mereka meningkatkan prestasi remaja dalam subjek Bahasa Melayu dalam peperiksaan.