Artikel
Bahasa Pergerakan
oleh Helmi pada 19 Jul 2004
ADAKAH mungkin kita mengetahui peribadi seseorang itu dengan cepat, iaitu tanpa menunggu lama? Jawabnya, ya boleh. Sebagai contoh, seseorang yang sentiasa berjalan cepat, seolah-olah ada sesuatu yang sedang dikejarnya, ialah seorang yang gemar kepada persaingan. Mereka tidak sabar hendak mencapai kejayaan yang diidamkan, sama ada dalam kehidupan profesional mahupun dalam kehidupan peribadi. Mereka adalah orang-orang yang keras kemahuan. Mereka tahu apa yang mereka mahu dan orang lain tidak dapat menghalang kehendak mereka. Sesiapa yang cuba mengubah tujuan hidupnya akan ditolak ke tepi. Orang-orang yang berjalan lambat seolah-olah waktu bukan sesuatu yang berharga ialah orang-orang yang mahu kalau boleh, supaya orang lain mengikut rentaknya. Bagi mereka masa tidak penting dan mereka anggap masa orang lain pun tidak penting. Mereka tidak peduli kalau orang lain terpaksa menunggunya. Daripada suatu segi mereka kelihatan seperti orang yang sabar dan tidak tergesa-gesa, sebenarnya dengan cara itu mereka dapat menguasai orang lain.
Seperti juga orang-orang yang sentiasa berjalan laju, orang-orang ini pun tidak mahu menyesuaikan dirinya kepada orang lain. Dia mementingkan dirinya sendiri. Orang-orang yang berjalan dengan bahu jatuh dan mata memandang jalan adalah orang-orang yang kecewa dengan diri mereka dan kehidupan. Mereka bersikap negatif kepada kehidupan. Orang-orang ini tidak memaksa orang-orang lain supaya mengikut cara-caranya. Mereka membiarkan sahaja orang lain berbuat apa yang mereka suka. Mereka bergantung kepada orang-orang yang lebih kuat dan menjadi beban kepada orang lain.
Orang-orang yang berjalan tegak memandang ke hadapan adalah orang-orang yang jelas matlamat hidup mereka. Mereka akan berusaha dengan tabah demi mencapai cita-cita dan akan menumpukan semua perhatiannya ke situ. Apa-apa yang mengganggu cita-citanya akan ditolak ke tepi.
Orang-orang yang memandu keretanya dengan sangat perlahan dan berhati-hati ialah orang-orang yang tidak pandai menguasai keadaan. Mereka takut mencuba perkara-perkara baru dan mereka lebih suka menurut serta membiarkan orang lain menguasai keadaan. Mereka kurang inisiatif dan takut kepada kegagalan, oleh itu mereka takut mengambil risiko. Mereka tidak suka membuat keputusan dan selalu berasa serba tidak pasti.
Orang-orang yang nampaknya tenang di luar, tetapi sebaik-baik masuk ke dalam kereta tiba-tiba mereka menjadi pelumba kereta, mencelah sana, mencelah sini, laju dan sentiasa hendak memotong kenderaan-kenderaan di depannya, mudah hilang sabar kalau ada kereta perlahan, ialah orang-orang yang agresif. Mereka tidak suka kepada peraturan yang membatasi kebebasannya. Mereka tidak suka bertolak-ansur dengan orang lain. Orang-orang yang suka menekan hon kereta adalah orang-orang yang cepat hilang sabar. Apabila berada di luar kereta, mereka suka bercakap dengan suara tinggi bagi mendapatkan apa yang dia mahu.
Orang-orang yang patuh kepada peraturan-peraturan jalan raya adalah orang-orang yang yakin kepada dirinya sendiri. Mereka juga tahu nilai diri mereka, oleh itu bagi mereka, jalan raya bukan tempat membuktikan siapa diri mereka. Sebaliknya, kereta dan jalan raya hanyalah tempat untuk pergi ke sesuatu destinasi, itu sahaja. Mereka juga percaya segala yang dilakukan perlu sederhana. Mereka tidak cepat marah dan mereka pandai menguasai keadaan. Orang-orang ini boleh dijadikan tempat bergantung.
Orang-orang yang selalu datang lambat dan tidak cuba menelefon bagi memberitahu dia lambat, adalah orang-orang yang kurang perasaan tanggungjawabnya. Mereka tidak mengutamakan perasaan orang lain.
Orang-orang yang apabila berbual, mereka yang lebih banyak bercakap adalah orang-orang yang berminat kepada dirinya sendiri. Orang-orang yang dengan mudah sahaja memberitahu kita dia suka kepada orang-orang seperti kita adalah orang-orang yang kata-katanya penuh kepalsuan. Orang-orang yang suka mengkritik kita adalah orang-orang yang suka menguasai orang-orang lain di sekelilingnya.
Orang-orang yang suka bercerita dia mempunyai banyak masalah dan dia juga mempunyai pelbagai masalah dengan adik-beradik, kaum keluarga dan rakan-rakannya membayangkan dirinya menjadi punca kebanyakan daripada masalah yang dihadapinya. Orang-orang seperti ini mahukan orang-orang lain patuh kepada cara-caranya dan mereka tidak mahu mengalah kepada cara-cara orang lain. Salah satu cara membaca peribadi seseorang ialah dengan melihat binatang belaannya. Sebagai contoh, orang-orang yang romantik dan suka disentuh dan suka menyentuh, mereka membela binatang-binatang yang boleh dipeluk dan dielus-elus. Orang-orang yang suka menguasai orang-orang lain pula, mereka membela binatang-binatang yang mudah dilatih dan boleh dikurung.