Artikel

Bahasa Sentuhan

oleh Helmi pada 19 Jul 2004

ADA KALANYA kita tidak suka disentuh dan tidak mahu menyentuh orang lain. Kajian menunjukkan orang-orang yang takut berkomunikasi secara lisan juga tidak suka berkomunikasi menggunakan sentuhan. Orang-orang yang tidak suka mendedahkan dirinya juga tidak suka disentuh dan mereka tidak menyentuh orang lain. Didapati juga perempuan lebih banyak memulakan sentuhan daripada lelaki, dan mereka juga lebih banyak menerima sentuhan. Sentuhan mempunyai lima fungsi:

1. Menyampaikan emosi
Kita menyentuh seseorang itu bagi menyampaikan emosi positif, seperti sokongan, penghargaan, cinta, kasih sayang dan penerimaan. Kajian menunjukkan perbuatan ini hanya dilakukan oleh kalangan mereka yang mempunyai hubungan rapat. Didapati pasangan-pasangan banyak menggunakan sentuhan pada fasa pertengahan hubungan mereka. Mereka tidak banyak bersentuhan pada peringkat awal ataupun selepas hubungan mereka mapan.

2. Mengawal
Kita juga menggunakan sentuhan bagi mengawal kelakuan orang lain, termasuk sikap dan perasaan mereka. Kita sentuh mereka apabila kita mahu mereka patuh kepada kita apabila kita berkata kepada orang itu, “Ke tepi sedikit” atau “Cepat!” atau “Duduk sini.”

3. Menunjukkan status
Kita juga menyentuh orang bagi memberitahu kepadanya kedudukan dan status kita yang lebih tinggi daripadanya. Orang bawah tidak boleh menyentuh orang atas. Lelaki banyak menyentuh perempuan dengan maksud ini. Tetapi apabila perempuan menyentuh lelaki, ia ditafsirkan oleh lelaki sebagai minat seksual, walaupun bukan.

4. Sentuhan sopan
Ada satu lagi jenis sentuhan yang dipanggil sentuhan sopan-santun. Ia kita lakukan dalam keadaan seperti baru bertemu atau akan berpisah. Sebagai contoh kita bersalam atau berpelukan.

5. Sentuhan tugas
Satu lagi jenis sentuhan ialah sentuhan tugas. Ia kita lakukan kerana kehendak tugas yang dijalankan. Sebagai contoh, kita sentuh dahi orang itu kerana hendak merasa suhu badannya. Sentuhan jenis ini sentiasa dianggap baik oleh yang menerimanya.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024