Artikel
Bahasa tidak dinamis akan pupus
oleh Helmi pada 12 Aug 2004
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) semalam dilaporkan oleh media sebagai ‘tidak bersetuju’ dengan pihak RTM yang menggunakan perkataan ‘infotainmen’ dalam slogan barunya. DBP mencadangkan perkataan ‘Infohiburan’ atau ‘Inforia’.
Infotainment dalam bahasa Inggeris tidak tepat sekiranya diterjemahkan sebagai ‘infohiburan’ atau ‘inforia’. Infotainment seperti juga infomercial membawa makna yang khusus dan hukum semantik semata-mata tidak boleh digunapakai. Ini samalah halnya dengan ‘koperasi’ yang tidak boleh diterjemahkan sebagai ‘syarikat kerjasama’ dalam bahasa Melayu. Ada perbezaan makna kebudayaan dalam konsep dan pemakaiannya.
Ada yang menganggap telah muncul satu ‘makhluk’ baru dalam bahasa - linguistic centaur - yakni bahasa separuh percakapan separuh tulisan, yang mencorakkan bahasa SMS dan e-mel. Kedua-dua medium ini telah mencipta gaya pengucapan dan komunikasi baru yang selama ini tidak dimimpikan oleh ahli bahasa totok atau language purists.
Satu hakikat yang harus diterima ialah bahasa harus dinamis. Bahasa yang tidak dinamis akan pupus. Oleh sebab itulah bahasa Inggeris mampu berkembang sebagai bahasa komunikasi dan bahasa ilmu secara meluas kerana kesediaan bahasa itu untuk meminjam, mengubahsuai, mencedok, malah merompak dan membuat pengubahsuaian dari bahasa-bahasa lain. Bahasa Melayu juga berkembang sebagai bahasa komunikasi (kenapa tidak perhubungan?) dan bahasa ilmu kerana sifat keterbukaannya selama ini.
Saya dapat memahami kekhuatiran DBP mengenai masalah pembentukan istilah hari ini. Tetapi DBP juga harus sedar bahawa pengamal media sentiasa berada di barisan hadapan untuk mamaham, menanggap, menterjemah, mengguna dan menyebarluaskan pelbagai perkataan, istilah dan konsep yang datang saban hari.
Mereka tidak punya masa untuk membuat rujukan pada mana-mana pihak dalam menjalankan tugas hari-hari. DBP atau ahli-ahli bahasa tidak akan dapat memberikan panduan dan pedoman segera bagi pengamal media ini. Maka itu konsep ethnic cleansing, collateral damage dan unlawful combatant tidak dengan mudah dapat dicari terjemahan bahasa Melayunya.
Mereka pada akhirnya akan menganggap bahawa bahasa Melayu tidak berupaya berlari sama pantas dengan kemajuan dan perkembangan semasa. Mereka akan mempersalahkan bahasa Melayu akhirnya.
Bagi saya, sama ada infotainmen akan diterima atau tidak, samalah halnya sama ada komuniti karyawan filem dan media akan menggunakan penyegerakan atau visual lompat yang dicadangkan oleh DBP sebagai istilah filem dan penyiaran.
Datuk Johan Jaaffar, Ahli Lembaga Pengelola DBP.
————
Artikel penuh boleh didapati dari: