Artikel

Banyakkan buku terbaru di KLIBF 2006

oleh Helmi pada 21 Mar 2006

Oleh: ZAWIYAH BABA

Acara tahunan ini memang ditunggu-tunggu bukan sahaja oleh masyarakat Kuala Lumpur tetapi juga mereka yang mencintai buku dan yang suka membaca di seluruh negara.

Tahun ini Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur menyambut ulang tahun ke-25 atau Jubli Perak. Pesta ini bermula sebagai Pesta Buku Malaysia di Changkat Pavilion, berhampiran dengan Stadium Merdeka, Kuala Lumpur. Nama pesta buku ini diubah kepada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur pada tahun 1992 selaras dengan hasrat untuk menarik minat dan penyertaan penerbit buku luar negara.

Seperti mana beratus atau beribu keluarga yang lain, kami sekeluarga turut mengunjungi pesta buku ini sejak ia diadakan di Changkat Pavilion. Saya, suami dan tiga orang anak mula mengunjungi pesta buku ini sejak anak-anak kami mula bersekolah pada tahun lapan puluhan hingga mereka tamat sekolah. Anak bongsu kami yang lahir pada tahun 1990 juga mengikut jejak abang-abang dan kakaknya apabila masuk sekolah rendah.

Setiap kali ke pesta buku mereka diberi bajet untuk membeli 23 buku pilihan sendiri. Bajet ini ditambah setiap tahun mengikut peningkatan umur mereka. Malah, kunjungan ke pesta buku merupakan acara tahunan yang menyeronokkan bagi keluarga kami.

Kini apabila anak-anak telah dewasa, keluarga kami masih mengunjung pesta buku setiap tahun. Salah seorang anak saya yang bekerja di Terengganu sanggup mengambil cuti khusus untuk mengunjungi pesta buku dan membeli buku. Dia akan menghabiskan dua hari untuk melawat gerai-gerai buku dan membeli buku dari senarai buku pilihannya pada hari ketiga.

Setiap pesta buku, dia membeli tidak kurang dari 10 buah buku. Saya sendiri amat tertarik dengan buku-buku pilihannya dan sering meminjamnya untuk dibaca. Walaupun seorang jurutera anak kedua kami ini juga sangat berminat membaca sastera klasik dan sejarah. Kalau masa kecil dulu saya membantunya memilih buku, kini anak saya yang lebih bijak memilih buku!

Menurut penganjur, bilangan peserta KLIBF bertambah setiap tahun, termasuk peserta dari luar negara. Pengunjung juga dikatakan meningkat tahun demi tahun. Tahun lepas, dianggarkan 500,000 orang telah mengunjungi pesta buku. Begitu juga jualan buku di pesta tersebut. Saya yakin jumlah ini akan meningkat lagi jika masalah tempat letak kereta dan pengangkutan awam ke PWTC dapat diatasi.

Harapan saya untuk KLIBF 2006 ialah penerbit dan penjual buku akan lebih berusaha memastikan ketersediaan sebilangan besar buku-buku terbaru dan buku-buku yang merangkumi bidang perkara yang luas. Buku-buku yang dipamerkan hendaklah berjaya bukan sahaja memenuhi keperluan pelajar, guru dan perpustakaan tetapi juga cita rasa pembaca dan pencinta buku.

Buku-buku baru dan berkualiti amat penting untuk menarik minat pembaca dan menghidupkan suasana di pesta buku serta mencerminkan industri buku yang segar dan bertenaga di Malaysia. Pesta Buku ini akan mengecewakan jika penerbit dan penjual buku terlalu mementingkan keuntungan jualan buku sehinggakan rak-rak dipenuhi dengan buku-buku teks dan buku-buku kerja sekolah serta stok lama untuk dihabiskan melalui potongan harga.

Pesta Buku seperti ini juga patut diadakan di peringkat negeri dan daerah kerana tidak semua dapat mengunjunginya di Kuala Lumpur. Kita juga sedia maklum kekurangan kedai buku mahupun perpustakaan di kawasan luar bandar. Penganjuran pesta buku di peringkat daerah akan dapat memberi pendedahan dan peluang masyarakat luar bandar mengenali dan menghayati buku-buku yang ada di pasaran.

Daripada maklumat yang diperoleh melalui laman web, KLIBF 2006 bakal menunjukkan beberapa pembaharuan. Pertama, tapak pamerannya kali ini, Dewan Tun Abdul Razak 1, merupakan tapak pameran yang baru dibina berhampiran dengan PWTC, dengan kemudahan serba moden.

Pihak penganjur juga telah memulakan Katalog Dalam Talian untuk buku-buku terbaru terbitan Malaysia yang boleh diakses melalui laman web KLIBF. Akan tetapi ia baru dimulakan dan nampaknya masih perlu banyak lagi input daripada penerbit-penerbit tempatan untuk mencapai hasrat yang dinyatakan.

Saya memang berharap Online Catalogue ini kelak akan menjadi sumber rujukan penting untuk buku-buku tempatan yang masih ada dalam pasaran, seperti Global Books in Print atau British Books in Print yang masing-masing dihasilkan oleh penerbit-penerbit buku di Amerika Syarikat dan Britain.

Laman web KLIBF juga mengumumkan penubuhan Pusat Hak Antarabangsa atau International Rights Centre di pesta buku kelak. Ini merupakan langkah positif dan berani dan menunjukkan peningkatan profesionalisme pesta buku tahun ini.

Memang telah tiba masanya KLIBF melangkah ke arena antarabangsa dengan menyediakan ruang dan kemudahan khusus bagi mereka yang terlibat dalam perdagangan buku. Pusat Hak ini akan memudahkan urusan pendaftaran, perundingan, pembelian dan penjualan hak atau lesen penerbitan, penerbitan bersama, penterjemahan buku-buku Malaysia dan luar negara.

Pusat Hak merupakan agenda yang paling penting di pesta buku antarabangsa seperti Frankfurt, London dan Tokyo. Delhi World Book Fair 2006 juga telah memperkenalkan Sudut Hak buat pertama kali pada awal tahun ini. Penerbit-penerbit tempatan perlu membuat persiapan rapi untuk melibatkan diri dalam perundingan tersebut dengan ejen-ejen luar negara yang amat berpengalaman dalam bidang ini.

Dengan berbekalkan pengalaman suku abad, pihak penganjur KLIBF mampu membuat penilaian prestasi mereka berbanding dengan pesta buku antarabangsa di negara-negara lain untuk menentukan hala tujunya di masa akan datang. Adakah kita berhasrat untuk menjadi negara jemputan di Frankfurt Book Fair atau mengemukakan bida untuk dipilih sebagai World Book Capital City pada tahun-tahun yang akan datang?

* DATUK ZAWIYAH BABA ialah bekas Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (198801006125) © 2000 - 2025