Artikel
Baucar Buku Guru Madani 2025: Penghargaan Bermakna buat Pendukung Ilmu
oleh Nor Fadhilah Fauzan pada 18 Jul 2025
Guru adalah seroang pendidik yang sering diumpamakan bak pelita yang menerangi dengan sinar ilmu, bimbingan dan kasih. Dengan sabar dan ikhlas, seorang guru tidak pernah jemu menyulam harapan agar bakal pemimpin bangsa ini mampu memimpin negara, bangsa, bahkan dunia pada masa hadapan. Setiap waktu yang terluang, diisi dengan ilmu yang bermakna dan bermanfaat tanpa keluh kesah demi menjelmakan harapan untuk masa depan yang gemilang.
Sebagai tanda penghargaan di atas pengorbanan dan pengabdian para pendidik, kerajaan menerusi YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri ke‑10, telah melancarkan inisiatif — Baucar Buku Guru Madani 2025. Dalam acara penutupan PBAKL 2025 yang berbangkit pada Jun lalu, beliau mengumumkan pemberian baucar bernilai RM100 khusus untuk guru seluruh negara—suatu penghormatan besar kepada para pendidik.
Program ini dilihat sedikit berbeza kerana baucar buku sering kali bersinonim diberikan kepada pelajar sekolah atau institusi pengajian tinggi. Namun bagi tahun ini, perhatian tertumpu kepada lebih 400,000 guru di seluruh negara. Langkah ini bukan sekadar inisiatif bantuan membeli buku, tetapi simbol penghormatan kepada para pendidik yang setia menyemai budaya membaca dalam kalangan murid dan masyarakat.
“Tahun lalu kita beri baucar kepada pelajar. Tahun ini, kita beri kepada guru‑guru pula kerana mereka memainkan peranan penting dalam menggalakkan pelajar membaca,” tegas Perdana Menteri.
Baucar ini boleh ditebus secara dalam talian melalui portal BookCapital bermula 1 Julai hingga 30 September 2025 dengan beberapa langkah yang cukup mudah.
Daftar dan log masuk melalui akaun DELIMa (melalui portal KPM).
Cepat baucar RM100 dikreditkan secara automatik kepada Pegawai Perkhidmatan Pendidikan yang layak.
Pilih sekurang‑kurangnya satu judul daripada senarai “Judul Khas Baucar Buku Guru”, kemudian tambah pilihan lain seperti ilmiah, novel atau majalah secara umum.
Penebusan hanya sah sekali sahaja dalam satu transaksi. Jika pembelian melebihi RM100, guru boleh menambah harga melalui bayaran secara dalam talian.
Pesanan diproses dalam 3 hari dan dihantar dalam tempoh 6 hari. Tempoh penebusan berakhir pada 30 September 2025.
Di samping itu, PTS juga menyemarakkan semagat ilmu dengan ganjaran hebat dan tidak mahu ketinggalan dalam merai jasa guru. PTS Media Group melangkah setapak lagi dengan menawarkan ganjaran bagi setiap pembelian yang menebus dan membeli buku PTS di kedai rasmi BookCapital. Satu set pen whiteboard marker (merah, biru & hitam) bakal diberikan secara percuma, bagi pembelian RM50 dan ke atas — hadiah yang sangat praktikal untuk proses pengajaran harian. Selain itu, ganjaran sebuah buku TIP juga diberikan secara percuma untuk pembelian RM80 dan ke atas. Kedua-dua pembelian ini sah di dalam satu resit sahaja. Hadiah ini diharapkan menjadi alat bantu yang bermanfaat, mengukuhkan lagi kualiti pengajaran dalam bilik darjah.
Inisiatif Baucar Buku Guru Madani 2025 bukan sahaja sebuah insentif semata-mata, tetapi sebuah penghormatan kepada legasi ilmu dan komitmen para pendidik negara. Semoga penghargaan ini bukan sekadar acara tahunan, tetapi dijadikan budaya berterusan sebagai langkah untuk memandaikan bangsa.
Dengan kerjasama antara kerajaan dan sektor perbukuan dan penerbitan seperti PTS, harapan untuk membentuk masyarakat yang celik ilmu menjadi semakin nyata. Setiap guru yang dihargai hari ini, adalah generasi pemimpin bangsa yang dibentuk pada masa akan datang.

