Artikel
Baucar Buku MADANI 2026 Perkasa Budaya Membaca, PTS Sedia Ribuan Pilihan Buku Berkualiti untuk Pelajar
oleh Nor Fadhilah Fauzan pada 25 Jul 2026
KUALA LUMPUR – Selepas pengumuman pemberian Baucar Buku MADANI bernilai RM100 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena Majlis Perasmian Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026, pelaksanaan inisiatif tersebut kini mula memberi manfaat kepada jutaan pelajar sekolah menengah serta mahasiswa di seluruh negara.
Inisiatif Kerajaan MADANI itu membuka peluang kepada pelajar untuk mendapatkan bahan bacaan berkualiti secara lebih mudah menerusi dua platform rasmi, iaitu BookCapital bagi pelajar sekolah menengah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan MySiswaPlace bagi mahasiswa institusi pengajian tinggi awam serta swasta di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). Program ini dilaksanakan bagi memperluaskan akses kepada bahan bacaan berkualiti, memupuk budaya membaca, menyokong pembangunan modal insan berilmu serta memperkukuh ekosistem industri buku tempatan melalui pendigitalan.
Pelajar sekolah menengah yang layak boleh menebus baucar melalui akaun DELIMa masing-masing sebelum mengakses Portal BookCapital, manakala mahasiswa pula boleh menyemak kelayakan dan menebus baucar menerusi portal MySiswaPlace mengikut mekanisme yang telah ditetapkan oleh kerajaan.
Sebagai antara penerbit yang mengambil bahagian dalam inisiatif ini, PTS Media Group menyambut baik usaha kerajaan dalam memperkasakan budaya membaca dan memperluaskan capaian bahan bacaan kepada generasi muda. Selaras dengan slogan "Baucar Anda, Hak Anda", PTS turut menggalakkan para pelajar menggunakan baucar tersebut secara bijaksana dengan memilih bahan bacaan yang mampu memberi nilai tambah kepada pembelajaran, pembangunan diri dan pembentukan sahsiah.
Melalui platform BookCapital dan MySiswaPlace, PTS menawarkan ribuan pilihan bahan bacaan yang memenuhi keperluan pelbagai kelompok pembaca. Koleksi tersebut merangkumi novel, novela, komik, komik interaktif, buku kanak-kanak daripada imprint-imprint di bawah PTS serta pelbagai judul bukan fiksyen seperti buku agama, pembangunan diri, sejarah, politik, STEM, buku terjemahan dan buku umum.
Bagi membantu pelajar mendapatkan lebih banyak buku dengan nilai yang lebih berbaloi, PTS turut menyediakan pelbagai pakej kombo yang menggabungkan beberapa judul dalam satu pembelian pada harga lebih menjimatkan. Lebih menarik, khusus untuk pengguna MySiswaPlace, PTS menyediakan hadiah eksklusif kepada pembeli. Pelajar yang membuat pembelian bernilai RM50 ke atas dalam satu resit akan menerima sebuah novela secara percuma, manakala pembelian RM80 ke atas pula melayakkan mereka menerima sebuah novel percuma. Inisiatif ini diharapkan dapat menggalakkan pelajar memanfaatkan sepenuhnya nilai baucar dengan membawa pulang lebih banyak bahan bacaan berkualiti.
Pelaksanaan Baucar Buku MADANI turut memperlihatkan peranan penting Perbadanan Kota Buku sebagai rakan strategik kerajaan dalam membangunkan ekosistem penebusan digital melalui platform BookCapital. Kerjasama ini bukan sahaja memudahkan proses penebusan baucar, malah membuka akses kepada ratusan ribu judul buku daripada pelbagai penerbit tempatan dan antarabangsa dalam satu platform sehenti.
Bagi penerima Baucar Buku MADANI melalui BookCapital, pelajar juga dikehendaki memilih sekurang-kurangnya satu judul daripada kategori Judul Khas Baucar Buku MADANI 2026 yang merangkumi karya sastera, sejarah, falsafah, ekonomi, geopolitik, kecerdasan buatan (AI), teknologi serta bidang STEM. Langkah ini bertujuan memperluaskan pendedahan pelajar terhadap bahan bacaan yang mampu membina pemikiran kritis dan memperkukuh budaya ilmu.
Usaha ini turut seiring dengan aspirasi PTS Media Group melalui slogan "Memandaikan Bangsa", yang sejak penubuhannya komited menerbitkan bahan bacaan berkualiti untuk semua lapisan masyarakat. PTS percaya bahawa akses kepada buku yang baik merupakan antara asas penting dalam melahirkan masyarakat berilmu, berfikiran kritis dan berdaya saing.
Dalam masa yang sama, inisiatif ini juga menyokong hasrat kerajaan untuk membudayakan amalan membaca dalam kalangan rakyat sejak di bangku sekolah. Peranan ibu bapa dan guru turut dilihat penting bagi memastikan bantuan yang diberikan dimanfaatkan sepenuhnya untuk mendapatkan bahan bacaan berkualiti serta membina tabiat membaca dalam kehidupan seharian.
Semoga inisiatif Baucar Buku MADANI 2026 terus memberi manfaat kepada seluruh warga pendidikan, memperkukuh industri perbukuan negara dan melahirkan generasi yang mencintai ilmu, menghargai buku serta bersedia menjadi pemimpin masa hadapan yang berpengetahuan luas.

