Artikel
Hanna Alkaf Grand Book Tour Bukti Komitmen Bookiut Mengangkat Karya Bertaraf Antarabangsa
oleh Nor Fadhilah Fauzan pada 26 Jul 2026
KUALA LUMPUR – Selepas mencipta perhatian menerusi pelancaran mega novel The Warung Between Worlds di Pentas Utama Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026, Bookiut meneruskan momentum tersebut dengan menganjurkan Hanna Alkaf Grand Book Tour, satu siri jelajah yang bakal membawa penulis bertaraf antarabangsa, Hanna Alkaf, bertemu para pembaca di seluruh Malaysia, Brunei Darussalam dan Singapura.
Jelajah ini merupakan antara inisiatif terbesar pernah digerakkan oleh Bookiut bagi meraikan penerbitan The Warung Between Worlds, sekali gus membawa Bookiut sebagai penerbit tempatan yang terus membawa karya bertaraf antarabangsa kepada pembaca serantau.
Sebagai imprint fiksyen ‘young adult’ di bawah PTS Media Group, Bookiut terus mengorak langkah dengan memperluaskan horizon penerbitannya. Sejak diperkenalkan pada tahun 2019 menerusi novel-novel Melayu, Bookiut kemudiannya memasuki pasaran novel berbahasa Inggeris pada tahun 2023 dengan penampilan rekaan kulit yang mendapat perhatian ramai. Perkembangan itu diteruskan pada tahun 2024 menerusi penerbitan novel-novel penuh yang tampil dengan kemasan premium, sekali gus meletakkan Bookiut sebagai antara penerbit fiksyen tempatan yang semakin mendapat tempat dalam kalangan pembaca muda.
Penerbitan The Warung Between Worlds pula membuka satu lagi lembaran penting apabila Bookiut menjadi penerbit tempatan pertama yang menerbitkan karya fiksyen Hanna Alkaf di Malaysia. Penulis kelahiran Kuala Lumpur itu sememangnya dikenali di peringkat antarabangsa menerusi karya-karya seperti The Weight of Our Sky, The Girl and the Ghost, Queen of the Tiles dan Hamra and the Jungle of Memories, yang diterbitkan oleh penerbit-penerbit antarabangsa serta menerima pelbagai pengiktirafan dunia.
Menerusi The Warung Between Worlds, Hanna Alkaf seolah-olah "pulang" membawa sebuah kisah yang lebih dekat dengan identiti Malaysia. Novel fantasi tersebut menggabungkan unsur magis, budaya tempatan dan kehangatan sebuah warung kampung, sekali gus memperlihatkan sisi Malaysia yang jarang diketengahkan dalam karya fantasi moden.
Berbeza dengan siri jelajah buku konvensional, Hanna Alkaf Grand Book Tour memberi peluang kepada pembaca untuk berinteraksi secara lebih dekat bersama penulis. Setiap persinggahan bukan sahaja menampilkan sesi perkongsian eksklusif bersama Hanna Alkaf, malah membuka ruang kepada pembaca untuk berbincang tentang proses penulisan, mendapatkan tandatangan, bergambar serta mengenali dunia The Warung Between Worlds dengan lebih mendalam.
Menariknya, setiap lokasi jelajah turut dikendalikan oleh moderator yang terdiri daripada individu yang aktif dalam dunia buku, termasuk penulis, editor dan pencipta kandungan buku (bookstagrammer). Antara moderator yang terlibat ialah Whatafireads, Nadiah Zakaria, Persephtiyareads, Fadzlishah Johanabas, dan Elysian_booksish. Pemilihan moderator daripada komuniti pembaca sendiri menjadikan setiap sesi lebih santai, dekat dan relevan. Perbincangan yang berlangsung bukan sahaja sesuai untuk peminat setia Hanna Alkaf, malah turut membuka ruang kepada pembaca baharu yang ingin mengenali karya-karya beliau buat kali pertama.
Setakat ini, jelajah tersebut baru sahaja menamatkan persinggahan di MPH TRX dan MPH Alamanda Putrajaya dengan sambutan yang menggalakkan. Siri jelajah akan diteruskan pada awal bulan Ogos ke SMO Mayang Mall, Terengganu; Kinokuniya KLCC; Kinokuniya Pavilion Damansara Heights; Tsutaya Bukit Jalil sebelum merentasi sempadan ke Berakas Indoor Stadium, Brunei Darussalam dan Wardah Books, Singapura.
Penganjuran jelajah ini membuktikan komitmen Bookiut dalam memperkasakan budaya membaca serta mendekatkan penulis dengan komuniti pembaca. Lebih daripada sekadar mempromosikan sebuah buku, Hanna Alkaf Grand Book Tour menjadi medan meraikan karya tempatan yang bertaraf antarabangsa dan membina hubungan yang lebih erat antara penulis, penerbit serta pembaca di rantau ini.
Dengan kejayaan membawa Hanna Alkaf menyertai keluarga Bookiut, PTS Media Group terus membuktikan kesungguhannya dalam memperkenalkan karya-karya berkualiti tinggi kepada pasaran tempatan dan antarabangsa. Melalui The Warung Between Worlds serta siri jelajah ini, Bookiut berjaya membawa pembaca menyelami sebuah dunia yang meraikan imaginasi, budaya dan identiti Malaysia kepada khalayak yang lebih luas.



