Artikel

Beberapa Kemudahan Dalam Solat Yang Jarang Kita Tahu

oleh Asri Yussof pada 29 Jul 2016

Berikut perkara-perkara dalam solat yang jarang kita tahu

1. Mempercepatkan solat

Dibolehkan mempercepatkan solat kerana mengurus anak atau ada urusan yang sangat penting.

Annas bin Malik mengatakan bahawa Rasulullah saw berkata, “Aku mulai solat dan ingin memanjangkan solatku. Tiba-tiba, aku mendengar bayi menangis, lalu aku percepatkan solatku kerana aku tahu pasti ibunya sedih mendengarkan tangisan bayinya.

(Hadith direkodkan oleh Al-Bukhari dan Muslim)

 

2. Tidak perlu berkejar dalam berjemaah

Tidak perlu berlari mengejar solat berjemaah, sekiranya tertinggal.

Abu Hurairah r.a. Berkata, “Aku mendengar Rasulullah saw berjata, ‘Apabila kamu mendapati orang mendirikan solat, janganlah kamu berlari-lari mengejarnya. Berjalanlah seperti biasa dan hendaklah kamu bersikap tenang. Pada rakaat mana saja kamu sempat, teruskanlah. Rakaat yang tertinggal itu sempurnakanlah.”

(Hadith direkodkan oleh Al-Bukhari)

 

3. Solat sambil memangku anak

Dibolehkan solat sambil memangku anak.

Abu Qatadah berkata, “Kami keluar bersama Rasulullah saw, sedangkan Umamah binti Abi Al-Ash berada di atas bahu Rasulullah (digendong). Lalu, Baginda solat. Ketika rukuk, Umamah diletakkan dan ketika bangun daripada rukuk, Umamah diangkat semula.”

(Hadis direkodkan oleh Al-Bukhari)

 

4. Solat di daerah kutub

Sekiranya masih ada malam dan siangnya, aturan solat adalah sebagaimana di daerah tropika. Contohnya, sekiranya malamnya hanya dalam tempoh dua jam, solat yang mempunyai tiga waktu dapat dilakukan sekali gus, iaitu maghrib dan isyak (boleh dijamak dan qasar). Kemudian, berhenti sebentar lalu tunaikan solat subuh.

Sekiranya malam tidak ada dan hanya ada siang, solat boleh dilakukan lima atau tiga kali, iaitu maghrib dan isyak digabungkan, zuhur dan asar digabungkan dan solat subuh diasingkan. Begitu juga sekiranya hanya ada waktu malam.

 

5. Solat di tempat orang bukan Islam

Tidak ada tempat yang khas untuk setiap muslim di mana pun di atas bumi ini untuk bersolat. Di dalam gereja sekalipun, solat itu tidak terlarang. Umar al-Khathab pernah melaksanakan solat di dalam Gereja Bethlehem, tempat yang dianggap rumah ibadah bagi kaum nasrani.

Rasulullah saw berkata, “Aku diberi lima perkara yang tidak diberikan kepada nabi lain sebelumku. Dijadikan tanah ini sebagai masjid dan alat untuk bersuci. Dengan demikian, apabila tiba waktu solat, hendaklah dia segera melakukannya di mana pun dia berada.”

(Hadith direkodkan oleh Al-Bukhari dan Muslim)

 

6. Mengantuk

Sekiranya sudah masuk waktu solat, tetapi mata kita sudah mengantuk, kita boleh menundanya sehingga bangun daripada tidur.

Rasulullah saw berkata,“Apabila seseorang daripada kamu mengantuk tetapi mahu menunaikan solat, tidurlah sehingga rasa mengantuk itu hilang kerana sekiranya dia melaksanakan solat dalam keadaan mengantuk, dia tidak sedar apa yang dibaca dan dilakukannya. Berkemungkinan doanya untuk meminta ampun kepada Tuhan, berubah menjadi kata-kata maki keatas dirinya sendiri.”

(Hadith direkodkan oleh Al-Bukhari)

 

7. Cuaca Terlalu Panas

Sekiranya cuaca sangat panas, kita boleh menunggu sehinggga cuaca panas itu berkurang.

Abu Dzar berkata, “Kami pernah bersama Rasulullah saw, ketika muazin hendak mengumandangkan azan Zuhur, Rasulullah saw berkata, “Tunggulah hingga dingin!” Kemudian, muazin hendak mengumandangkan azan lagi, Rasulullah saw berkata lagi kepadanya, “Tunggulah sampai dingin!” Apabila kami melihat bayangan bukit, Rasulullah saw berkata, “Sesungguhnya, panas itu wapnya neraka. Oleh itu, sekiranya keadaan sangat panas, boleh dilambatkan solat hingga keadaan menjadi dingin.”

(Hadith direkodkan oleh Al-Bukhari dan Muslim)

 

Nota editor: Tulisan ini merujuk kepada buku Indahnya Ibadah Muslim Kosmopolitan: Kaedah Beribadah dalam Kesulitan, Kesibukan dan Kesempitan Kehidupan di Bandaraya. Ditulis oleh Prof. Dr. K. H. Miftah Faridi. Terbitan PTS.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024