Artikel

Benarkah dua saksi wanita sama dengan seorang saksi lelaki?

oleh Helmi pada 29 Mar 2005

Apabila kedua-dua saksi itu adalah lelaki, dua orang saksi sudah mencukupi. Sebaliknya apabila melibatkan saksi wanita, diperlukan tiga orang saksi, iaitu dua saksi wanita dan seorang saksi lelaki.

Berhubung dengan ini Allah berfirman: Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu mengadakan transaksi perniagaan tidak secara tunai untuk waktu yang ditentukan, hendaklah kamu menulis perjanjian tentangnya.

Dan ambillah dua orang lelaki sebagai saksi dari kalangan kamu. Jika tidak terdapat dua orang saksi lelaki, maka boleh diambil saksi daripada seorang lelaki dan dua orang wanita dari kalangan mereka yang kamu redhai agar jika salah seorang daripada mereka terlupa, maka yang seorang lagi akan mengingatkannya.

Musuh-musuh Islam melihat ketetapan ini sebagai perkara yang menghina wanita. Bagi mereka, ini adalah bukti bahawa Islam memandang kecil akan kemampuan wanita.

Sebenarnya, ayat ini secara dasarnya menjelaskan bahawa Islam menerima kesaksian wanita. Ini berbeza dengan ajaran agama Yahudi yang menganggap wanita sebagai makhluk yang dikutuk tuhan.

Salah satu kesan daripada kutukan itu adalah kesaksian mereka tidak diterima.

Demikian juga dengan agama Kristian yang tidak menerima wanita sebagai saksi sehingga abad kesembilan belas.

Di dalam Encarta Encyclopedia disebutkan: ``Pada abad kesembilan belas, kebanyakan isteri di Eropah dan Amerika tidak mempunyai hak di sisi undang-undang. Status ini dikenali sebagai coverture.

``Wanita tidak berhak membawa kesnya ke mahkamah, tidak dibenarkan menjadi juri, tidak dibenarkan memiliki harta dan tidak dibenarkan menulis wasiat.

``Di dalam kes yang melibatkan penjagaan anak, mahkamah terus memberikan hak penjagaan itu kepada kaum bapa.’‘

Berbalik kepada kes kesaksian wanita, sebagaimana yang disebutkan di dalam surah al-Baqarah ayat 282, ia hanya berkaitan dengan kes khusus, iaitu kes transaksi perniagaan yang sering kali berisiko tinggi dan dikuasai kaum lelaki, terutamanya pada zaman dahulu.

Dalam kes-kes lain, kesaksian wanita adalah sama dengan lelaki, malah kadang-kadang kesaksian wanita dapat membatalkan kesaksian lelaki.

Sebagai contoh, dalam kes mula`anah, apabila suami mendapati isterinya berzina tetapi ia tidak mempunyai saksi, ia hendaklah bersumpah empat kali dengan nama Allah bahawa ia bercakap benar dan kemudian pada sumpahnya yang kelima ia hendaklah berkata, kutukan Allah akan menimpa dirinya sekiranya ia berdusta.

Bagi membatalkan dakwaan suaminya, isterinya hanya perlu bersumpah empat kali dengan mengatakan suaminya berbohong dan kemudian pada sumpah yang kelimanya ia hendaklah berkata, kutukan Allah akan menimpa dirinya apabila ia berbohong.

Perkara ini disebutkan secara terperinci dalam surah an-Nur ayat 6 hingga 9.

Di dalam Islam, wanita bukan sahaja dibenarkan menjadi saksi, malah ia juga dibenarkan menjadi hakim yang mendengar dan menilai kesaksian orang lain seperti yang difatwakan oleh Imam at-Tabari.

Justeru itu, isu kononnya agama Islam menghina wanita berdasarkan hukum kesaksian yang ada dalam surah al-Baqarah, adalah tidak berasas sama sekali kerana ayat itu hanya membicarakan kes pindah-milik harta yang bertujuan memelihara wanita dalam transaksi yang mempunyai risiko harta benda.

Dengan kerjasama PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024