Artikel

Berlari Bersama: Running Star: Pencarian Bintang Terhebat

oleh Adzkia Amanah Ugi Suharto pada 18 Jun 2015

Sebuah lagi nomik keluaran Blink Book Sdn. Bhd telah keluar.

Pasti ramai peminat rancangan bersiri Korea, Running Man akan meminati buku yang diinspirasi daripada rancangan terkenal ini.

Saksikan perjalanan sepuluh orang calon Running Star dalam misi mereka untuk memenangi kedudukan sebagai pemenang Best Running Star buat rancangan yang julung kali diadakan ini.

Mampukah si cantik Luna berdepan dengan letupan ikan keli yang menggila dalam cabaran mereka semua?

Bagaimana pula nasib si licik Raizel yang mempunyai otak geliga dan mahir memainkan 1001 tipu helah?

Jangan lepaskan peluang bergelak ketawa dengan telatah setiap peserta yang mencuit hati.

Perjalanan mereka menggapai misi pasti membuatkan anda tidak kering gusi.

Usah risau jika anda bukan pembaca tegar, siri nomik memang bertujuan untuk menjadikan bahan bacaan lebih ringan agar pembaca cilik terutamanya mudah memupuk tabiat membaca bak kata pepatah, sikit-sikit lama-lama jadi bukit.

Kepada para ibu bapa, anda boleh menghela nafas lega kerana anak-anak anda mempunyai alternatif untuk membaca komik yang terjaga dari sudut bahasa dan kosa kata.

Tiada bahasa rojak dan slanga, moga skor A bagi kertas bahasa Melayu.

Buat para pembaca, selamat berlari bersama peserta Running Star yang lain.

Hati-hati, jangan sampai ikan keli anda rentung!  

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024