Artikel

Indahnya Islam: #AmoiBerhijab

oleh Adzkia Amanah Ugi Suharto pada 18 Jun 2015

“Kalaulah benda begitu mudah, sehelai kain di atas kepala pun mampu beri saya ketenangan, bagaimana pula dengan seluruh ajarannya?”

Terdiam seketika membaca untaian kata-kata di wajah buku ini. Siapa sangka hati gadis Cina ini akan terusik hanya dengan sehelai hijab?

Padahal dia sebelumnya adalah seorang Playboy Bunny antarabangsa. Jangan main-main!

Dulu mungkin Rara tidak beragama, namun kini beliau muslimah yang dikenali dunia.

Dulu juga dia terkenal dengan indah tubuhnya, tapi kini semakin cantik bila auratnya tertutup sempurna.

Hari demi hari, lakaran hidupnya semakin bermakna. Rara masih lagi seorang peragawati, tetapi peragawati yang memperagakan pakaian seorang wanita muslim.

Bukan hanya itu, jemari halusnya turut laju menaip kata-kata hikmah di laman sosial miliknya.

Ya, kini beliau mula berdakwah atas tiket seorang peragawati yang mempunyai populariti.

Tidak ada kejayaan yang datang bergolek sendiri. Setiap satunya perlu dibeli dengan harga yang mahal.

Apa yang dimiliki Rara pada hari ini tidak wujud secara tiba-tiba.  Ada zaman silam yang membentuk dirinya kini, sama ada putih atau hitam.

Kisah perpisahan dengan bapanya sejak kecil, pengalaman menjadi mangsa buli, kelas moral di Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) sehinggalah ke bibit-bibit yang membawa beliau ke dunia glamor permodelan, rupanya akan melorongkan beliau kepada sebuah perkenalan dengan Islam.

Selamat menghayati kisah seorang Rara.

Kisah ini bukan kisah biasa-biasa, tetapi kisah inspirasi yang akan menyuntik jiwa kita dengan kuasa hidayah Yang Maha Esa.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024