Artikel

Bersama Guru Agama: 101 Soal Jawab Akidah (versi jawi)

oleh Adzkia Amanah Ugi Suharto pada 26 May 2015

Berbicara soal akidah dan kehidupan seorang muslim, ianya adalah sesuatu yang tidak boleh dipisahkan.

Umpama cerucuk besi yang dipasak ke dalam bumi di awal pembinaan sebuah rumah, tempangnya ia bisa mengakibatkan malapetaka besar di kemudian hari.

Lihat sahaja di sekeliling kita, kepercayaan kepada perkara-perkara khurafat masih tebal dalam kalangan masyarakat.

Walaupun sudah jelas statusnya yang dilarang dalam agama, namun perbuatan ini tetap sahaja berleluasa kerana rapuhnya kefahaman umat ini dalam soal akidah atau juga dikenali sebagai tauhid.

Melihat kepada permasalahan ini, PTS tampil menterjemahkan kitab Al-Jawahir Al-Kalamiah, hasil tulisan Syeikh Tahir Muhammad Al-Jazairi.

Kitab yang berusia hampir 200 tahun ini mengumpulkan pelbagai soal jawab berkaitan akidah yang sering menjadi tanda tanya dalam kalangan masyarakat.

Suka untuk dikongsikan bersama, walaupun kitab terjemahan ini telah melalui sedikit sentuhan moden agar ia boleh bersaing seiring aliran zaman, sisi aslinya masih dapat dihayati terutama dengan konsep tulisan Jawi yang diperkenalkan bagi edisi kali ini.

Tulisan Arab yang masih dibawa dari edisi lama juga mampu mengekalkan initipati asal kitab ini.

Menyingkap aspek penulisan pula, usah khuatir kerana penulis sangat bijak menyusun ayat agar pembaca mampu mencapai mesej yang ingin disampaikan.

Huraian beliau tentang tajuk-tajuk berat seperti zat Allah dan perkara-perkara samiyyat (perkara-perkara ghaib yang wajib diimani) dilakukan secara cermat dan teliti agar pembaca tidak merasa terbeban dalam usaha memahaminya.

Semoga dengan membaca dan memahami buku ini kita dapat menambah kefahaman tentang akidah Islam sekaligus menjadikan kita umat yang mempunyai jati diri yang kukuh.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024