Artikel
BICARA BUKU Bersama Dr. Tengku Asmadi T.Mohamad di BookFest@Malaysia 2007, KLCC
oleh Helmi pada 01 Jun 2007
Pentas Utama di Dewan 2, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur menyaksikan Bicara Buku ini merupakan satu-satunya program di dalam bahasa Melayu berbanding program-program lain yang dikendalikan dalam bahasa Inggeris dan Mandarin. Turut hadir di majlis berkenaan ialah pengerusi PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.,En. Arief Hakim dan pengurus PTS Millennia Sdn. Bhd., En. Fauzul Naim B. Ishak. Dalam program ini, penerbit PTS Millennia Sdn. Bhd. melancarkan dan mempromosikan buku sulung beliau yang bertajuk Motivasi Alihan Pelajar. Ini merupakan pelancaran kedua buku M.A.P setelah pelancaran pertama diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur pada 1 Mei 2007 yang lalu di PWTC. Terkenal di seluruh Malaysia sebagai pengasas dan pelatih kursus Motivasi Alihan Pelajar (MAP Training) sejak tahun 1996, persembahan beliau di atas pentas memukau audiens dengan panduan dan tip-tip yang padat berkenaan motivasi, kecemerlangan dan perubahan sikap untuk berjaya. Ramai di antara pelajar saya yang mempersoalkan, mengapa kami rajin belajar tetapi tidak cemerlang? Jawapannya ialah ‘S.P.A’ Strategi Pembelajaran Aktif, iaitu keseimbangan antara proses input dan output dan menjadikan belajar itu satu aktiviti yang menyeronokkan, jawab Dr. Tengku Asmadi ketika menjawab soalan moderator di program Bicara Buku tersebut. Program yang dijadualkan berlangsung hampir satu jam ini berakhir dengan jayanya dan diakhiri dengan sesi tandatangan bersama peminat di ruang Malay Section, BookFest @ Malaysia 2007.