Artikel

Bicara Penulis : Kejayaan, di manakah kuncinya? Tn. Hj. Ahmad Fadzli Yusof di SA

oleh Helmi pada 12 Mar 2007

‘Ketahuilah tidak ada jalan singkat untuk berjaya, melainkan dengan berusaha mengikut cara yang betul’, merupakan kata-kata pembuka bicara dalam buku 55 Petua Orang Berjaya tulisan Dato’ Dr. Mohd. Fadzilah Kamsah dan Ahmad Fadzli Yusof. Semua insan di dunia ini bercita-cita untuk berjaya, namun tidak semua yang sudah mencapainya. Bukan kerana gagal, tetapi belum lagi berjaya. Yang paling penting ialah menggandakan lagi usaha dengan mengikut cara dan jalan yang betul.


Penerbit PTS Millennia Sdn Bhd dengan kerjasama MPH Bookstores SACC Mall dan pihak pengurusan PKNS telah menganjurkan satu program ‘Bicara Penulis : Kejayaan, di manakah kuncinya?’ pada hari Sabtu, 10 Mac 2007, bermula pada pukul 2.30 petang hingga 4.30 petang. Bertempat di lokasi yang strategik di Concourse Area, Centre Court, SACC Mall, program ini menyaksikan sambutan yang amat menggalakkan daripada para pengunjung SACC. Turut hadir di majlis berkenaan ialah En. Iqram, Senior Retail Executive dan Pn. Saadiah, Area Manager MPH Bookstores Sdn. Bhd.


Di SACC Mall, pengunjung juga diberi potongan harga istimewa 10% untuk semua buku tulisan Tn. Hj. Ahmad Fadzli Yusof di MPH Bookfair yang berlangsung dari 9 Mac 2007 hingga 25 Mac 2007. Program yang berlangsung lebih kurang dua jam ini menyaksikan Tn. Hj. Ahmad Fadzli Yusof berkongsi input-input kecemerlangan bersama-sama para hadirin yang hadir. Bagi mewujudkan suasana yang santai dalam majlis, program bicara penulis ini dibahagikan kepada tiga pusingan dan setiap sesi di selangi dengan alunan muzik yang cukup mendamaikan. Sebagai seorang penulis prolifik bagi produk motivasi kecemerlangan yang sedang membina nama di Malaysia, persembahan Tn. Hj. Ahmad Fadzli membuatkan sebilangan hadirin yang hadir tidak berganjak dari tempat mereka berdiri sehingga program selesai.


“Untuk cemerlang, kita mesti ada ‘mental focus’, menanamkan kepercayaan yang positif, meletakkan penapis minda, membuat keputusan untuk berubah dan membina strategi untuk berjaya serta tidak mudah putus asa,” kata Ahmad Fadzli ketika mengakhiri bicara beliau. Sebelum majlis berakhir, Tn. Hj. Ahmad Fadzli meluangkan masa beliau untuk beramah mesra dengan pengunjung yang hadir dan menurunkan autograf sebagai tanda kenang-kenangan.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (198801006125) © 2000 - 2025