Bijak Wang: Rich Dad’s Guide to Becoming Rich

oleh Amirah pada 24 Jun 2015

Anda pernah membaca novel hasil penulis Sophie Kinsella yang bertajuk Confession of  A Shopaholic?

Novel tersebut mendapat tempat di hati pembaca novel di seluruh dunia sehingga ia telah dijadikan sebuah filem yang berjaya menjadi box office.

Ceritanya berkisar tentang Becky yang mempunyai masalah kewangan melampau apabila hutang kad kreditnya mencecah puluhan ribu dan disebabkan itu dia terpaksa lari daripada si pengutip hutang.

Nampak seperti kad kredit itu tidak baik bukan? Namun, Robert T. Kiyosaki berpendapat sebaliknya.

Siapa yang tidak mahu menjadi kaya? Mempunyai wang yang berkepuk-kepuk di dalam poket, dompet dan bank memang menjadi idaman hampir semua orang.

Membayangkan diri tidak bekerja tetapi mempunyai aset dan wang yang banyak bukanlah satu angan-angan mat jenin lagi.

Ada banyak cara untuk kita memperoleh kekayaan atau kesenangan tanpa berdiet dalam bentuk kewangan.

Buku terbaru daripada penulis kewangan tersohor ini akan membuka mata pembaca mengenai ilmu kewangan yang nampak mudah tetapi mempunyai kesan dalam kehidupan kita.

Sering kita dengar, kalau mahu senang, jangan punya kad kredit.

Selain itu, kita juga sering dengar kata-kata orang, kad kredit ini bahaya kerana ia boleh menyebabkan kita tersalah guna.

Namun menurut penulis buku ini, anda tidak perlu memotong kad kredit anda untuk jadi kaya.

Apa yang penting adalah ilmu kewangan yang hebat. Dalam apa-apa aspek, ilmu sentiasa adalah yang paling utama.

Penulis juga banyak kali mengulang kata dalam bukunya, ‘untuk menjadi kaya, ada harga yang perlu anda bayar.’

Di dalam buku kali ini, anda akan didedahkan dengan cerita bagaimana penulis menguruskan liabiliti beliau. Adakah anda tahu rupa-rupanya hutang ini ada yang bagus dan ada yang tidak bagus?

Kepada siapa yang mempunyai kad kredit tetapi takut untuk membelanjakannya, anda mungkin boleh dapatkan buku ini.

Tidak semestinya hutang itu akan menjurus kepada keburukan. Penulis sendiri pernah rugi sebanyak USD1 juta di awal kerjayanya.

Namun, beliau bangkit setelah mendalami ilmu kewangan ini. Maka, anda semua digalakkan untuk mendapatkan segera naskah Robert T. Kiyosaki yang terbaru ini.

Namun, anda jangan lupa. Dalam misi mencari kekayaan, kesederhanaan itu adalah yang paling utama dan digalakkan.