Artikel

Bistarikan Pembaca Muda

oleh Roziyah pada 04 May 2011

Artikel ini dipetik daripada Berita Harian Edisi Singapura pada 23 April 2011 dan ditulis oleh Anuar Othman

Sastera kanak-kanak dan remaja perlu menonjolkan karya yang dapat memberikan pendidikan dan hiburan kepada golongan itu.

Isinya harus meliputi nilai-nilai sejagat yang murni, kemanusiaan, keyakinan diri dan pemikiran positif serta jernih.

Ini ditekankan Sasterawan Negara Malaysia, A. Samad Said yang lebih mesra dipanggil Pak Samad di majlis pelancaran semula lima buku kanak-kanak dan remajanya yang pernah diterbitkan pada tahun 1986 oleh Mahir Sdn Bhd.

Diberi wajah kulit buku dan ilustrasi yang baru, Pak Samad 76 tahun melancarkan buku Siri Apresiasi Remaja Sasterawan Negara itu di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kelima-lima buku tersebut berjudul Bendera Di Atas Bukit, Rumah Rahsia, Jangan Ikut Jalan Ini, Yang Berat Sama Dipikul dan Mengejar Tetamu Di Waktu Senja.

Kesemua buku untuk bacaan remaja ini bercorak pengembaraan - tema yang digemari kanak-kanak dan remaja.

Pak Samad yang mendapat pendidikan awalnya di Sekolah Melayu Kota Raja sebelum melanjutkan pelajaran ke Victoria Institution di sini, begitu ghairah menceritakan kepada penulis akan penerbitan semula buku-bukunya.

"Sememangnya kanak-kanak dan remaja harus didedahkan dengan buku-buku cerita yang murni.

"Siri ini terbit lama dulu dan apabila Puan Ainon Mohd daripada PTS Publishing dan Distributors ingin menerbitkan semula, saya rasa bertuah dan beruntung.

"Saya harap siri ini akan membijaksanakan kanak-kanak dan remaja kerana itulah tujuan utama saya apabila saya menulis siri ini dalam tahun-tahun 1980-an.

"Menerusi cerita pengembaraan, kita dapat mendidik pembaca perihal unsur kepimpinan dan kerjasama. Ini amat perlu dalam perjalanan menuju kejayaan," jelasnya.

Pak Samad yang dinobatkan sebagai Sasterawan Negara Malaysia pada 1985, menambah:
"Sekiranya kita dapat membimbing dan seterusnya menyemai kanak-kanak dan remaja untuk mencintai sastera, mereka akan menjadi pembaca yang rajin apabila dewasa kelak.

Dengan bahan yang bermutu dan bertanggungjawab, bukan sekadar memikirkan pulangan material, buku untuk kanak-kanak dan remaja yang baik mampu menyuntik kognitif mereka. Itulah tugas murni penulis."

Menurut Pak Samad lagi, yang menerima ijazah Kehormat Doktor Pendidikan Kesusteraan daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris pada 2003, pasaran buku kanak-kanak dan remaja agak luas.

Maka itu, penulis wajar menghasilkan buku-buku yang dapat membangkitkan semangat golongan kanak-kanak dan remaja, 'memanusiakan mereka' dan merangsang mereka bahawa kejayaan boleh dicapai dengan usaha yang gigih dan bersungguh-sungguh.

Membaca buku pertama dalam siri ini - Bendera di Atas Bukit - memberi kita mesej perihal perlunya kerjasama mendaki ke puncak jaya. Dan, pengembaraan yang dilakukan remaja-remaja dalam buku ini semasa cuti sekolah, boleh dijadikan iktibar akan pentingnya melakukan sesuatu yang berfaedah dan sihat daripada membuang masa. Kelima-lima buku A. Samad Said ini boleh didapati di Toko Warisan di Joo Chiat Cmplex.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (198801006125) © 2000 - 2025