Artikel

Mengurus Harta Pusaka Jadi Rujukan Berkaitan Harta Pusaka

oleh Roziyah pada 04 May 2011

Masalah pembahagian harta pusaka adalah salah satu daripada isu semasa dalam masyarakat yang sepatutnya diberikan perhatian oleh para pewaris yang terlibat. Ini kerana, harta pusaka yang tidak diselesaikan pembahagiannya akan menimbulkan masalah pemilikan harta dalam kalangan pewaris khususnya hartanah. Ia menyebabkan urusan pembangunan hartanah terbantut, menghalang urus niaga dan wujud tanah-tanah terbiar.

Melalui pengalaman selama 30 tahun dalam pembahagian harta pusaka, Tuan Wan Abdul Halim Wan Harun menghasilkan buku Mengurus Harta Pusaka kepada masyarakat yang kurang pengetahuan dalam hal menguruskan harta pusaka.

"Masyarakat kini tiada tempat rujukan berkaitan harta pusaka. Sebahagian kecil sahaja yang berpengetahuan dalam pembahagian harta pusaka ini," jelas Tuan Wan Abdul Halim.

Buku Mengurus Harta yang habis dalam masa yang singkat ini mendedahkan mengenai asas-asas hukum pembahagian harta pusaka yang perlu diketahui oleh setiap orang.

Lebih istimewanya, buku ini menceritakan bagaimana ingin menguruskan harta apabila berlaku kematian dan tindakan yang boleh diambil agar waris mengetahui cara pembahagian yang betul berkaitan harta pusaka.

"Buku ini secara langsung menekankan pentingnya pengetahuan berkaitan pembahagian harta pusaka dengan cara yang segar dan mudah difahami. Melalui buku ini, pembaca dapat mengubah persepsi dan sikap terhadap harta pusaka ini," jelas beliau lanjut.

Tuan Wan Abdul Halim juga menjelaskan beliau akan menghasilkan buku keduanya bersama PTS Profesional. Kali ini beliau lebih menekankan perihal soal jawab dalam pembahagian harta serta kajian kes yang berlaku dalam masyarakat.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (198801006125) © 2000 - 2025