Artikel

Budaya Niaga Orang Jepun

oleh Helmi pada 24 Jan 2006

Ya membawa pelbagai pengertian. Ia mungkin bermakna beliau faham terhadap perkara yang dibincangkan tetapi belum tentu bersetuju ataupun bersedia menerimanya. Setiap perkataan yang diucapkan oleh orang Jepun membawa banyak pengertian. Berurus niaga dengan orang Jepun tidak mudah seperti mana menjalankan urusan dengan orang Cina. Maka tidak hairanlah mereka yang pertama kali berurus niaga dengan orang Jepun berasa kecewa dengan perundingan yang dijalankan.

Orang Jepun selalunya memulakan perundingan dengan membincangkan perkara yang tidak ada kaitan dengan perkara utama yang ingin dibincangkan. Mereka juga kadang-kala dengan sengaja tidak mahu berterus terang dalam memberikan jawapan kepada tawaran yang dibuat oleh ahli perniagaan yang berurusan dengannya. Mereka tidak bermaksud hendak mengelirukan peniaga asing, tetapi mereka ingin menunjukkan betapa susahnya hendak menolak tawaran itu dengan menyatakan perkataan tidak. Orang Jepun mempunyai cara yang halus bagi menolak sesuatu urus niaga. Jika boleh, mereka tidak mahu melukakan hati orang yang berurusan dengannya. Tetapi apabila hati orang Jepun terluka, jangan harap kita dapat berurusan dengannya lagi.

Kaedah itu adalah sebahagian daripada cara orang Jepun menunjukkan reaksinya pada pandangan dan pendapat yang tidak dipersetujui bagi menjaga keharmonian serta mengelakkan perselisihan. Orang Jepun percaya urus niaga yang tidak berjaya tidak bermakna mereka tidak boleh menjalinkan hubungan persahabatan. Urusan rasmi tidak sepatutnya dicampuradukkan dengan urusan peribadi. Orang Jepun memang suka berhibur dan dihiburkan. Oleh sebab itulah banyak urus niaga dengan orang Jepun dijalankan di pusat-pusat hiburan. Namun begitu, ini tidak bererti keputusan orang Jepun dapat dibeli dengan sogokan hiburan. Mereka dapat membezakan antara pemberian peribadi dengan tanggungjawab pada organisasi. Oleh itu, berhati-hatilah supaya tidak terperangkap dalam jerangkap yang dipasang sendiri.     

Satu perkara yang perlu disedari oleh kita adalah perundingan yang dilakukan oleh organisasi Jepun banyak dipengaruhi oleh sistem membuat keputusan secara muafakat yang dikenali sebagai ‘ringi’. Dalam sistem ini, sesuatu cadangan diedarkan kepada mereka yang bersangkutan dengan organisasi dan dibincangkan secara bersama sehingga persepakatan dapat dicapai. Proses ini mengambil masa, namun membolehkan perlaksanaan menjadi mudah kerana ia dipersetujui secara bersama apabila dibandingkan dengan keputusan yang cepat dan dibuat oleh suatu kelompok kecil pihak pengurusan sahaja. Orang yang berurus niaga di Jepun perlu menyesuaikan dirinya dengan sistem ‘ringi’. Mereka perlu bersabar dan tenang apabila berurusan dengan firma Jepun. Jangan sesekali mengharapkan urusan itu selesai dalam jangka waktu yang singkat.

Perundingan itu kadangkala mengambil masa berbulan-bulan. Begitu juga bagi mencapai keputusan yang penting. Orang sangat berhati-hati dalam membuat keputusan kerana ia menjadi penentu kejayaan ataupun kegagalan kepada tindakan yang diputuskannya. Orang Jepun teliti dan mereka tidak suka terburu-buru. Justeru itu, jangan suka mendesak dan menekan semasa menjalankan urus niaga dengan mereka. Tujuan mereka berbuat demikian adalah bagi mengurangkan risiko dan mengelakkan masalah yang menyebabkan gangguan terhadap perlaksanaan sesuatu urus niaga. Setiap keputusan sama ada yang besar ataupun kecil tetap dianggap penting. Mereka perlu bersikap serius kerana sikap yang leka mendatangkan padah kepada diri dan organisasi.

Satu lagi perkara yang perlu diberikan perhatian oleh mereka yang berurus niaga di Jepun adalah berusaha menjalinkan hubungan ‘aisatsu’ dengan rakan sejawatnya dalam syarikat dan firma. Aisatsu bermakna memberikan ucap selamat yang sebenarnya mengandungi pengertian yang cukup mendalam. Walaupun ucapan itu ringkas, namun dapat mengeratkan hubungan perdagangan dengan syarikat Jepun. Dengan melakukan aisatsu, ia bukan sahaja dapat mengukuhkan hubungan yang wujud antara kedua-dua belah pihak, namun menjamin kepentingan masa hadapan mereka yang berurus niaga di Jepun. Sikap peramah perlu ada dalam sesuatu urus niaga. Elakkan daripada berlagak sombong dan bersikap bongkak kerana ia tidak digemari oleh orang Jepun dan mana-mana bangsa di dunia ini.

Satu lagi amalan yang perlu diketahui adalah perkenalan yang dibuat oleh orang tengah atau perantaraan selalunya lebih mesra dan mudah dilaksanakan. Layanan ini tidak mungkin dapat diperoleh apabila seseorang masuk ke dalam firma tanpa sokongan ataupun pertolongan daripada orang perantaraan. Jikalau boleh, bina jalinan dan hubungan dengan seberapa ramai kenalan di Jepun serta gunakan saluran mereka bagi memudahkan urus niaga di sana. Hubungan niaga dan dagang yang dilakukan melalui cara ini membolehkan sesuatu urus niaga berjalan dengan lancar dan sempurna serta mengambil masa yang lebih singkat berbanding dengan proses dan prosedur biasa. Dalam hal ini, berjaya ataupun gagal sesuatu urus niaga juga bergantung pada berapa ramai orang Jepun yang kita kenal dan berapa ramai orang Jepun yang mengenali kita.

Dipetik daripada: ‘Rahsia Bisnes Orang Jepun’ oleh Ann Wan Seng (akan terbit)

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (198801006125) © 2000 - 2025