Artikel
Kedudukan Malaysia dalam peta penerbitan
oleh Helmi pada 05 Feb 2006
Oleh Hamedi Mohd. Adnan
Dari segi jumlah judul penerbitan setahun, tentunya kita tidak pernah bermimpi untuk berganding bahu dengan enam negara paling maju dalam penerbitan - Amerika Syarikat (AS), Jerman, Britain, Perancis, Sepanyol dan Jepun.
Kita juga masih jauh di bawah bahu negara-negara lapisan kedua dalam penerbitan - China, Korea, Belanda, India, Australia, negara-negara Scandinavia dan lain-lain.
Finland cuma memiliki tujuh juta penduduk, tetapi pengeluaran bukunya setahun secara purata melebihi 20,000 judul. Kita dengan 26 juta penduduk hanya mengeluarkan selebih-lebihnya 7,000 judul buku setahun.
Jika begitu, kita terperosok di bawah sana, bersama-sama negara seperti Burundi, Maldives, Somalia, dan lain-lain yang sebahagiannya cukup mengagumi kita kerana pencapaian ekonomi negara yang lebih baik daripada mereka.
Lalu kita harus bertanya, di mana silapnya? Di manakah silapnya, sebuah negara yang pernah dijuluki sebagai salah seekor harimau Asia, tidak mampu membuktikan kegarangannya dalam penerbitan yang menjadi wahana tamadun manusia yang paling penting ini.
Di manakah silapnya, sebuah negara yang cukup berbangga kerana pencapaian ekonominya yang disimbolkan daripada Menara Berkembar Petronas itu, tiba-tiba mencari macam-macam alasan untuk menutupi kekurangannya dalam penerbitan.
Sewaktu mengikuti kursus pengurusan penerbitan di Stanford University pada tahun 2003 dahulu, penulis pada satu ketika, terpaksa mencari alasan-alasan bagaimana untuk mewajarkan kedudukan ini.
Seorang penerbit dari India yang cukup berbangga menyatakan dalam bahasa Inggeris, bahawa negaranya merupakan the third largest book producer di dunia, menempelak saya kerana jumlah pengeluaran buku kita yang sedikit itu.
Menurutnya, jumlah buku dalam bahasa Tamil di negaranya sahaja tiga kali lebih besar daripada Malaysia, belum lagi dalam bahasa Hindi. Lebih awal dari itu, seorang pengurus pemasaran sebuah penerbit dari Barcelona, Sepanyol menyatakan secara purata cetakan pertama untuk buku umum di negaranya ialah 30,000 naskhah; agak sinis penjelasan itu kerana sebelum itu di Malaysia saya katakan purata jumlah cetakan pertamanya 2,000 naskhah.
Lebih menyudutkan saya dalam perbincangan kumpulan lima orang untuk satu tugasan di Stanford itu apabila seorang editor kanan sebuah penerbit di Bogota, Columbia menyatakan bahawa syarikatnya yang hanya memiliki 20 orang kakitangan itu, menerbitkan 300 judul setahun.
Dalam menangkis serangan yang boleh menjatuhkan maruah negara kita, apa lagi yang dapat dikatakan, melainkan bahawa seperti negara membangun lain, Malaysia menghadapi krisis pengeluaran buku tempatan.
Jumlah pengeluaran buku kita sedikit kerana pasarannya kecil; kerana segmen pasarannya terpisah-pisah dalam empat bahasa - Melayu, Cina, Tamil dan Inggeris. Akibatnya, tumpuan diberikan kepada pengeluaran buku teks atau buku sekolah yang pasarannya lebih besar.
Penulis katakan bahawa rangsangan untuk menulis dalam bahasa tempatan kurang kerana jumlah royalti yang tidak seberapa akibat terbatasnya pasaran. Jumlah judul buku yang sedikit itu, tidak bererti rakyat Malaysia tidak membaca (harap ini betul), kerana jumlah buku yang kita import lebih besar daripada yang dapat kita sediakan sendiri (ini bukan fakta yang tepat, tetapi apalagi alasan yang dapat penulis katakan).
Untuk sekurang-kurangnya menyedapkan hati, kita sering membandingkan kedudukan yang kita peroleh dengan orang yang dekat dengan kita. Jika kita berasa lebih baik daripada mereka, dapatlah kita memujuk diri kita bahawa kedudukan kita tidaklah buruk sangat. Dalam bidang penerbitan, bagaimana kedudukan kita berbanding jiran-jiran kita.
Dengan Thailand dan Filipina, kedudukan kita samalah dengan kedudukan kontinjen Malaysia dalam Sukan SEA yang lalu - di belakang mereka. Thailand secara purata mengeluarkan 30,000 judul buku, Filipina lebih kurang 15,000.
Yang wajar kita pelajari daripada Thailand, hampir keseluruhan bukunya adalah dalam bahasa kebangsaannya, bahasa Thai. Sewaktu menyertai Bangkok Book Fair pada tahun lepas, kita dimaklumkan bahawa lebih 3,500 judul terbitannya dalam karya terjemahan.
Di Filipina pula, 60 peratus bukunya dalam bahasa Tagalog, sementara 40 peratus lagi dalam bahasa Inggeris, khususnya buku-buku asing yang diubahsuai dan diterbitkan semula untuk pasaran negara itu oleh penerbit tempatan.
Bagaimana dengan Indonesia? Adakah kedudukan kita lebih baik daripada jiran yang rata-rata orang Malaysia melihat sebagaimana mereka melihat pekerja binaan atau amah itu? Kita lebih maju daripada Indonesia, dan orang Indonesia sendiri mengakui hakikat itu.
Mereka mahu menjadi maju seperti kita, dan untuk memperoleh wang yang lebih banyak, ramai daripada mereka yang datang ke mari. Tetapi dalam bidang penerbitan, adakah kita juga menjadi kiblat kepada mereka?
Sejak beberapa tahun ini, penulis menyelidik lalulintas penerbitan Malaysia dengan Indonesia dan sebaliknya. Penulis sering ke negara itu - atas urusan penerbitan. Penulis mengenali para penerbit besar dari Indonesia dan pernah pula berurusan dalam jual beli hak cipta dengan mereka.
Sebenarnya dalam bidang penerbitan kini, kita yang menjadikan mereka kiblat, bukan sebaliknya. Lebih 30 peratus buku yang kita terbitkan kini bersumberkan Indonesia. Untuk buku agama, 90 peratus buku kita adalah daripada mereka - yang kita ubahsuai, kita cetak semula, atau yang ideanya kita ambil, dan yang segelintir daripada penerbit kita cetak rompak!
Benarlah kata Frans M. Parera, seorang pengamat dunia perbukuan negara seberang yang juga pemimpin majalah Matabaca, apabila dengan bangganya mengatakan bahawa buku-buku Malaysia adalah Made in Indonesia.
Tidak perlulah kita membandingkan kedudukan penerbitan kita dengan jiran-jiran kita yang lain - Myanmar, Kemboja, Brunei, Laos - kerana kita tidak harus meletakkan tanda aras kita pada tempat mereka. Kita tidak akan berasa gembira kalau sekadar dapat mengatasi negara-negara kecil itu, sedangkan dengan lain yang menjadi `lawan sebenar’ kita ketinggalan.
Malaysia kini menduduki tempat ke-124 dalam ranking bola sepak dunia - di belakang negara seperti Malta, Barbados, Benin dan Ethiopia. Yang lebih menyakitkan, kita berada di bawah Singapura yang berada di ranking 92.
Kalaulah dibuat ranking dalam bidang penerbitan pula, kedudukan kita tidak jauh lebih baik daripada ranking pasukan bola sepak kita itu. Cuma yang sedikit melegakan kita, kedudukan kita lebih baik daripada Singapura.