Artikel

BUKU: 10 Buku Terlaris 2019

oleh Hidaya Arshad pada 31 Dec 2019

Sebagai penutup tahun 2019, kami kongsikan karya-karya yang menjadi pilihan pembaca sepanjang tahun ini. Bersedia?

via GIPHY

As-Syamail Al-Muhammadiyah oleh Imam Tirmidzi

Karya tulisan Imam Tirmidzi ini menghuraikan profil lengkap keperibadian Nabi Muhammad s.a.w. berdasarkan hadith-hadith yang direkodkan beliau. Ditahqiq (disemak secara teliti) dan diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu, buku ini membahaskan dua aspek kehidupan Rasulullah s.a.w. iaitu aspek fizikal (khalqiah) dan perilaku (khuluqiah).

Panduan Solat Praktikal Untuk Perempuan oleh Nor Aniza Mad Azeri

Buku praktikal solat ini didatangkan dari sumber kitab-kitab muktabar, dalil daripada Al-Quran, hadith-hadith sahih, dan pendapat ulama. Dijelaskan dengan terperinci, mudah, dan ringkas serta diletakkan gambar supaya lebih difahami dan dipraktikkan.

Urus Rumah With Hani oleh Dr. Hani Mynis

Ramai antara kita yang tidak gemar mengemas rumah kerana terlalu banyak barang yang perlu diurus. Tetapi sebilangan daripada kita tidak dapat berhenti membeli barang baru. Melihat kepada keadaan ini, Dr. Hani Mynis mencurahkan segala ilmu pengurusan rumah yang diambil daripada pengalamannya sendiri dan tunjuk ajar orang tuanya. Beliau menyatakan, sekiranya kita mengetahui teknik pengurusan rumah yang efektif dan sistematik, kerja-kerja mengurus rumah tidak menjadi suatu tekanan dan perkara yang memenatkan.

Amalan Yang Mengundang Rahmat Allah oleh Ustaz Jafri Abu Bakar Mahmoodi & Ustaz Hamid Addin

Mungkin kita tidak sedar akan pentingnya rahmat dalam kehidupan. Malah, ramai yang menganggap rahmat bukanlah sesuatu yang boleh dikejar dan dituai, melainkan ia adalah milik mutlak Allah SWT. Sesungguhnya kefahaman sebegini adalah tidak benar sama sekali. Sebagai insan, kita berhak mengharap dan berusaha bagi mengundang rahmat. Buku ini disusun bagi membantu kita lebih mengetahui apakah itu rahmat dan bagaimanakah cara mengundang rahmat dalam kehidupan kita.

Panduan Solat Praktikal Untuk Lelaki oleh Nor Aniza Mad Azeri

Satu buku panduan perlaksanaan solat untuk golongan lelaki yang berpandukan sumber-sumber yang sahih. Dijelaskan dengan terperinci, mudah, dan ringkas serta diletakkan gambar supaya lebih difahami dan dipraktikkan.

77 Resipi Kek Lapis Sarawak oleh Noy Yullan

Buku ini adalah himpunan 40 resipi kek lapis Sarawak moden dan tradisional yang dimasak menggunakan kaedah bakar dan kukus. Resipi-resipi ini dihasilkan oleh Noy Yullan yang berasal daripada Sarawak. Beliau begitu teliti dalam menghasilkan setiap resipi kek lapis Sarawak.Terdapat penambahan resipi yang diambil dan diolah daripada resipi kek lapis yang lama. Sukatan resipi lama ditukar mengikut sukatan standard (gram, cawan, dan sudu metrik) kerana sukatan lama agak sukar diimplimentasi.

Travelog Haji (Edisi Terkini) oleh Prof. Dr. Muhd Kamil Ibrahim

Ibadah haji memberi debaran kepada para bakal haji. Kerap kali untuk mengurangkan debaran ini, kita akan bertanya pengalaman-pengalaman jemaah haji yang sudah mengerjakan ibadah agung ini. Melalui buku Travelog Haji ini, penulis menyatakan ia ditulis untuk berkongsi pengalaman sebenar haji yang dilihat daripada kaca mata seorang manusia yang serba kekurangan terutamanya dalam konteks pendidikan agama. Dengan menggunakan konsep penceritaan, beliau berkongsi pengajaran, pelajaran, dan kuliah kerohanian yang diterima beliau. Kemudian, diselitkan pula cerita pasca-haji yang memberi kesan kepada yang sudah bergelar ‘haji’.

BTS: Icons of K-pop (Edisi Bahasa Melayu) oleh Adrian Besley

BTS: Icon of K-Pop melakarkan perjalanan tujuh anak muda dari Korea Selatan, dari saat debut hingga menjadi fenomena sensasi yang menggegarkan dunia dan media sosial. Buku ini membongkar asal usul setiap ahli, keunikan muzik yang mereka persembahkan serta faktor yang membezakan mereka daripada yang lain, yang menyaksikan mereka mencapai kegemilangan di peringkat global.

180 Koleksi Doa Mustajab

Buku ini menghimpunkan 180 doa mustajab yang dipetik daripada hadith dan ayat-ayat Al-Quran. Sesuai diamalkan dalam kehidupan seharian bagi mendapatkan ketenangan hati, kekuatan jiwa, dan kebahagiaan hidup. Antara doa-doa yang terkandung dalam buku ini, doa harian, doa untuk keluarga, doa mohon kecemerlangan, doa mohon rezeki, dan ayat-ayat Syifa.

Bersedia Untuk Mati oleh Dr. Rozaimi Ramle

Mengingati kematian adalah suatu yang dituntut dalam agama ini. Ia menjadikan manusia berakhlak baik dan melakukan kebaikan. Ia membuka pintu pengharapan bagi orang yang dizalimi. Karya tulisan Dr. Rozaimi Ramle ini menjelaskan persiapan menghadapi kematian termasuk amalan taubat dan muhasabah diri juga pengurusan jenazah sebagai fardhu kifayah.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024