Artikel

Polio dan Vaksin: Lampu Amaran Buat Malaysia

oleh Hidaya Arshad pada 10 Dec 2019

Malaysia digemparkan dengan satu kes jangkitan virus polio yang dilaporkan berlaku di Sabah. Memetik kenyataan akhbar oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah:

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan dukacita ingin memaklumkan kejadian satu kes yang disahkan dijangkiti virus polio di Malaysia, setelah 27 tahun Malaysia bebas daripada penyakit tersebut. Kes melibatkan seorang bayi lelaki warganegara Malaysia berumur tiga bulan dari Tuaran, Sabah yang telah mengalami demam diikuti dengan lemah anggota badan dan telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi di hospital. Beliau telah disahkan dijangkiti vaccine-derived poliovirus type 1 (VDPV1) pada 6 Disember 2019. Hasil ujian pengesahan yang dijalankan oleh World Health Organization (WHO) Polio Regional Laboratory di Australia, virus tersebut mempunyai perkaitan genetik dengan virus polio yang dikesan pada kes Acute Flaccid Paralysis (AFP) di negara Filipina. Seterusnya, vaccine-derived poliovirus type 1 ini diklasifikasikan sebagai circulating vaccine-derived poliovirus type 1 (cVDPV 1).

Pesakit kini masih dirawat di wad isolasi dan berada dalam keadaan stabil tetapi masih memerlukan bantuan pernafasan. Memandangkan pesakit masih memerlukan rawatan rapi, orang ramai dan pihak media adalah dipohon untuk tidak mengganggu waris atau petugas kesihatan di hospital dalam menjalankan tugas memberi rawatan kepada pesakit tersebut.

Penyakit polio adalah penyakit berjangkit yang boleh menyebabkan kelumpuhan kekal. Ia disebabkan oleh virus polio yang merebak lazimnya melalui oral-fekal dan boleh juga melalui makanan dan air yang tercemar. Penyakit ini hanya boleh dicegah melalui pemberian imunisasi.

Dunia sedang bergerak ke arah penghapusan total penyakit poliomyelitis. Ia dapat dicegah dengan vaksin. Hasil pengenalan vaksin ini, penyakit ini hampir pupus. Penyakit ini hanya menjadi wabak kecil di negara-negara tertentu seperti Pakistan, Afghanistan, dan Nigeria. Di negara ini, vaksin tidak dapat dihantar dengan baik akibat kemelut dalaman dan perang. Oleh itu, penyakit ini tidak dapat dihapuskan sepenuhnya lagi dari muka bumi ini.*

Lain pula ceritanya yang berlaku di negara aman makmur, Malaysia ini di mana pemegang fahaman anti-vaksin menolak pengambilan vaksin kerana ragu (tanpa memikirkan kemudaratan) akan bahan di dalam vaksin tersebut. Dalam buku Kau Vaksin Anak Kau?! Habislah, penulis ada berkongsi penerangan tentang penghasilan vaksin polio yang dipertikaikan kerana menggunakan sel ginjal monyet.

Tapak semaian kuman untuk vaksin ini menggunakan sel ginjal monyet. Pun begitu, tapak semaian tersebut hanya digunakan semasa pembiakan. Kemudian hanya kuman yang dipetik, disulingkan, dan dibersihkan agar kuman menjadi tulen sebelum dilakukan proses nyahaktif atau teknik rekombinan. Satu proses yang teliti secara berperingkat serta kompleks dalam makmal. Dan tapak semaian dari ginjal monyet itu tidak dimasukkan langsung ke dalam vaksin.

Tapak semaian virus polio pada sel buah pinggang monyet yang diberi nama Vero cell ini adalah media pertumbuhan yang terbaik bagi membiak virus polio kerana virus ini adalah virus yang paling susah dikembang biak, berbeza dengan kuman-kuman lain yang boleh dibiakkan dengan senang dalam telur dan agar-agar. Terdapat juga vaksin polio yang tapak semaiannya berasal daripada sel khinzir (vaksin polio berjenama Imovax Polio) tetapi ia tidak digunakan di premis KKM.

Perlu diketahui bahawa sel berkenaan adalah semasa proses awal pembiakan. Setelah dipetik, diproses dalam makmal, hasil akhir bukan daripada bahan tersebut. Malah virus polio sudah berubah bentuk fizikalnya hasil teknik rekombinan yang digunakan.

Kesemua sel yang digunakan bagi membesarkan virus-virus bagi penghasilan vaksin ini, tidak dimasukkan langsung ke dalam vaksin, apatah lagi disuntik ke dalam badan. Umpamanya, kita menanam sayur. Yang dimasak adalah sayur. Kita tidak ambil tanah dan masukkan sekali ke dalam masakan kita.

Mengambil nasihat akhir pada kenyataan akhbar Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah:

“Orang ramai khususnya ibu bapa dinasihatkan untuk memastikan anak-anak telah mendapat imunisasi polio yang lengkap. Kanak-kanak yang cicir imunisasi boleh dibawa ke mana-mana fasiliti kesihatan berhampiran untuk mendapatkan imunisasi. Di samping itu, sentiasa mengamalkan kebersihan diri dan kebersihan persekitaran yang berterusan.”

*Fakta dalam artikel dipetik daripada buku Kau Vaksin Anak Kau?! Habislah.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024