Artikel

BUKU: 10 Komik Paling Diminati Sepanjang 2019

oleh Hidaya Arshad pada 03 Jan 2020

Melangkah ke tahun baru pastinya peminat komik ternanti-nanti karya terbaharu daripada pekomik kegemaran. Sebelum itu, kita lihat komik apa terlaris di pasaran sepanjang tahun 2019.

Misi Budak Tahfiz: Dua Dilema

Kisah berkisar Wajdi yang melangkah masuk ke sekolah tahfiz. Dia perlu berhadapan dengan pelbagai cabaran sebelum mampu bergelar seorang hafiz al-Quran. Wajdi juga perlu memilih untuk terus belajar di sekolah tahfiz ataupun sekolah lain dan melupakan janjinya.

Misi Budak Tahfiz

Wajdi tidak pandai membaca al-Quran. Dia juga tidak kenal huruf. Tetapi kerana ibu bapanya, dia berani memasang satu misi besar, iaitu menghafal al-Quran! Komik ini memaparkan pengalaman luar biasa Wajdi menempuh kem tahfiz selama 40 hari.

Ultra Qalif #10: Hentakan Matraxa

Akibat peningkatan mendadak kuasa Ultra Qalif, Gorx semakin terdesak. Lantas, dia mengambil keputusan untuk menggunakan sebuah senjata larangan yang diperbuat daripada serpihan batu angkasa yang dinamakan Matraxa. Mengeluarkan senjata keramat itu bermakna menjemput maut. Di sini Ultra Qalif berdepan antara hidup dan mati.

Misi Solat Lima Waktu #2: Diari Doa Imran

Ketika pementasan drama di sekolah, Imran dengan tidak sengaja mencederakan pelajar paling digeruni di sekolah mereka, Bob. Kerana terlalu takut, dia buntu mencari jalan untuk mengelak terjumpa Bob. Sehinggalah satu hari dia diberitahu dengan berdoa segala masalah boleh selesai.

Ultra Qalif X Adiwira: Kristal Kunci Dimensi

Adi bangun pagi dan mendapati bandarnya kacau-bilau dilanda wabak zombie. Berita melaporkan ia adalah angkara makhluk misteri bertopeng yang bernama Ultra Qalif. Maka, ini adalah masa untuk Adiwira beraksi demi melindungi bumi.

Aku, Kau & Meow

Kucing yang selalu dijadikan haiwan peliharaan kini dipilih sebagai tema lukisan. Komik ini menampilkan karya-karya pekomik Komik-M yang berkisar tentang kucing. Dibarisi pekomik-pekomik terkenal antaranya Ben Wong, Froggypapa, dan ramai lagi.

Misi Solat Lima Waktu: Diari Solat Imran

Seorang guru Pendidikan Islam baharu ditugaskan di sekolah Imran dan beliau akan mengadakan amali solat. Imran berasa sangat cemas kerana dia tidak tahu solat dan Ustaz Azhar terkenal sebagai seorang yang garang. Bermulalah misi Imran belajar tatacara solat.

Misi Angkasa

Pemilihan angkasawan untuk Ekspedisi ke Marikh bermula. Namun, ia adalah pilihan yang sangat sukar kerana Fizi diminta menandatangani surat wasiat andai mati ataupun tidak dapat kembali ke Bumi. Akhirnya, Fizi memilih untuk meneruskan impiannya, bersama ribuan peserta lain, tetapi cuma seorang yang akan terpilih. Fizi perlu berdepan cabaran menjadi angkasawan yang terpilih ke Marikh.

Aku, Kau & Zombie

Sebuah kompilasi komik-komik berlatar belakang fenomena zombie yang dihasilkan oleh pekomik-pekomik Komik-M antaranya Bophairy, Froggypapa, dan ramai lagi.

Misi 6A: Misi Cikgu Zahid

Impian Zahid kini hampir tercapai. Tanpa disangka, dia dilantik sebagai guru ganti di sebuah sekolah rendah. Di sana, Zahid berkenalan dengan Zaed, murid yang paling bermasalah di sekolah. Dalam masa yang sama, Zahid dapat mengesan ada sesuatu yang tidak kena di sekolah itu. Sesuatu yang berbahaya. Maka, bermulalah misi Zahid sebagai seorang cikgu.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024